PENEMUAN kapal penjelajah British, HMS Endeavour yang pelayarannya pernah diketuai oleh Kapten James Cook tetapi karam di perairan Amerika Syarikat (AS) akhirnya diumumkan kepada orang ramai di Australia baru-baru ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Eksekutif Muzium Maritim Nasional Australia, Kevin Sumption pada Khamis lalu pada satu sidang akhbar di Sydney dan menyatakan para arkeologi yakin bahawa mereka telah menemui kapal berkenaan di dalam perairan AS.
Penemuan kapal bersejarah yang berusia lebih 200 tahun itu bagaimanapun mencetuskan perbalahan kerana ia diumumkan terlebih dahulu oleh Australia yang melakukan kerjasama lebih 21 tahun antara para penyelidik AS dan Australia untuk mengenal pasti kapal itu.
Ia adalah kerana pengumuman tersebut melanggar kontrak oleh rakan kongsi penyelidikan tentang kapal bersejarah itu.
Kapal tersebut ditemui di luar pantai Rhode Island, AS setelah melakukan kajian tentang kapal berkenaan sejak tahun 1999 bersama dengan rakan kongsi penyelidikan dari negara Uncle Sam itu.
Menurut Sumption pada sidang akhbar itu, sejak tahun 1999, pihaknya telah menyiasat beberapa bangkai kapal pada abad ke-18 di kawasan seluas kira-kira 5.17 kilometer persegi yang dipercayai tempat HMS Endeavour tenggelam.
"Berdasarkan bukti arkib dan arkeologi, saya yakin ia ialah Endeavour," katanya pada sidang akhbar itu seperti dilaporkan oleh AFP.
Beliau berkata, penemuan itu merupakan momen bersejarah kerana peranan kapal ini dalam penerokaan, astronomi dan sains berlaku bukan hanya untuk Australia tetapi juga untuk New Zealand, United Kingdom dan AS,
KERJASAMA ARKEOLOGI
Sumption adalah antara anggota pasukan ahli arkeologi yang mengumumkan pada tahun 2018 bahawa mereka percaya bahawa kapal HMS Endeavour berada di dalam perairan Rhode Island tetapi beliau kemudian berkata, lebih banyak analisis yang perlu dilakukan.
Namun, rakan kongsi Australia itu, Projek Arkeologi Marin Pulau Rhode (Rimap) menyatakan bahawa pengumuman tentang lokasi HMS Endeavour itu adalah satu pelanggaran kontrak.
Ia juga menyatakan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kapal tersebut ialah HMS Endeavour.
Dalam satu kenyataan, pengarah eksekutif projek itu, DK Abbass berkata, pengumuman itu adalah pelanggaran kontrak sambil menambah bahawa satu kesimpulan tentang kapal tersebut perlu dilakukan menerusi proses saintifik yang betul dan bukannya disebabkan emosi atau politik Australia.
Menurut portal penyiaran berita BBC, Abbas dilaporkan berkata bahawa tiada data yang tidak dapat dipertikaikan bagi membuktikan ia adalah kapal ikonik itu tetapi terdapat juga banyak soalan yang tidak terjawab yang boleh membatalkan pengenalan kapal HMS Endeavour.
Bagaimanapun, seorang jurucakap muzium Australia itu dilaporkan berkata bahawa Abbass berhak untuk mengeluarkan pendapatnya sendiri.
Pihak muzium itu juga tidak percaya bahawa ia telah melanggar mana-mana kontrak.
HMS Endeavour ialah kapal yang pelayarannya diketuai oleh Cook dan ia belayar dari England ke Tahiti dan kemudian ke New Zealand sebelum tiba di Australia pada tahun 1770.
Ia juga digunakan dalam kerja-kerja memetakan pantai New Zealand dan pantai timur Australia sebelum menuntut tanah untuk Great Britain pada 22 Ogos 1770.
SEJARAH
Ketika ia karam di Pelabuhan Newport, Rhode Island, AS pada Ogos 1778, kapal itu telah menggunakan nama Lord Sandwich bagi menggantikan nama HMS Endeavour dan ia telah digunakan oleh British untuk menahan tawanan-tawanan perang semasa berlakunya revolusi Amerika.
Ia menggunakan nama Lord Sandwich setelah dijual kepada pemilik swasta dan dilaporkan sengaja ditenggelamkan pada tahun 1778 oleh tentera Inggeris semasa Perang Kemerdekaan Amerika.
Kapal itu mula dilancarkan pada tahun 1764 dengan menggunakan nama Earl of Pembroke sebelum namanya ditukar kepada Endeavour pada tahun 1768.
Selepas lebih seabad berada di dasar laut, hanya kira-kira 15 peratus daripada badan kapal HMS Endeavour kekal utuh, menurut Muzium Maritim Nasional Australia.
"Tumpuan kini adalah pada apa yang boleh dilakukan untuk melindungi dan memeliharanya," kata Sumption seperti dilaporkan AFP pada Khamis. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca