KAJI selidik Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati sebanyak 47 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai haiwan peliharaan. Antara yang popular ialah kucing. Membela kucing juga sangat istimewa kerana bukan sahaja sebagai terapi, malah... Klik di sini untuk terus membaca

KAJI selidik Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati sebanyak 47 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai haiwan peliharaan. Antara yang popular ialah kucing.

Membela kucing juga sangat istimewa kerana bukan sahaja sebagai terapi, malah membentuk diri kita agar menjadi seorang bertanggungjawab dan berdisiplin. Bagi yang tidak mempunyai ramai kawan, memiliki haiwan kesayangan berupaya memenuhi keperluan sosial diri khususnya dalam meningkatkan rasa harga dan keyakinan diri.

Namun, kita bertanggungjawab ke atas kebajikan haiwan tersebut termasuk pengurusan sisa najisnya. Walau semahal, secantik dan secomel mana sekalipun seekor kucing, najis mereka tetap akan berbau. Natijahnya, najis kucing yang dibuang secara tidak terurus dan tidak sempurna, berselerakan di kawasan sekitar menyebabkan bau busuk, apatah lagi jika dibawa angin, selain dihantui masalah lalat. Lantaran itu, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) menganggap najis haiwan sebagai ‘pencemar sumber tanpa titik'.

Maka, disyorkan agar kotak najis kucing disediakan. Bahan bersesuaian hendaklah disediakan dengan kedalaman yang mencukupi. Sebarang najis haiwan peliharaan hendaklah dibuang segera dan dihapuskan dengan selamat serta bersih.

Paling utama, pasir kucing perlu sentiasa dibersihkan dan tidak dibiarkan kotor. Sangkar atau litter box yang menjadi tempat pembuangan najis kucing boleh menjadi tempat pengumpulan pelbagai bakteria. Hakikatnya, kucing merupakan haiwan pembersih dan cerewet. Jika pasir kucing terlalu kotor dan tidak dibersihkan, mereka tidak akan menggunakannya. Jika mempunyai kucing lain, pastikan satu bekas najis untuk setiap kucing disediakan.

Bau tidak menyenangkan juga akan wujud sekiranya tidak dibersihkan secara berkala. Bekas najis perlu dibersihkan sekurang-kurangnya sekali sehari, dinyahkuman sekali seminggu dan dibasuh setiap dua minggu.

Kualiti pasir juga penting supaya dapat memerangkap bau dan menggumpal sisa buangan agar persekitaran kediaman tidak berbau dan selesa, selain menggunakan alternatif pasir dengan bau-bauan seperti lemon atau lavender.

HILANG BAU

Bahan semula jadi yang mudah didapati di rumah seperti daun pandan dan serai juga boleh digunakan bagi menghilangkan bau haiwan peliharaan dan najisnya selain berkesan menghalau serangga seperti lalat, semut dan lipas.

Kaedah lain adalah dengan mewujudkan pengaliran udara yang baik dengan membuka tingkap. Elak meletak sangkar atau litter box haiwan peliharaan dalam kawasan tertutup kerana udara yang tertutup dan kedap menggalakkan kewujudan bau tidak menyenangkan.

Jika mempunyai bajet lebih, anda disarankan membeli kotak pasir kucing yang boleh membersihkan pasir telah digunakan secara automatik seperti Tong Bokashi iaitu inovasi dari Jepun mengitar semula najis binatang peliharaan seperti kucing.

Paling membimbangkan, sesetengah kucing mungkin menjadi perumah kepada parasit toxoplasma yang boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit toxoplasmosis jika terdedah kepada najisnya. Wanita hamil dengan jangkitan ini boleh mengalami keguguran, kelahiran pramatang, penyakit kronik dan kebutaan pada bayi baru lahir.

Maka, sentiasa mencuci tangan dengan betul selepas mengumpul najis, walaupun memakai sarung tangan pakai buang bagi mengurangkan kemungkinan penyebaran kuman.

Pengurusan dan pembuangan sisa najis yang tidak sempurna turut menyebabkan manusia berpotensi dijangkiti parasit Blastocystis kerana menyentuh najis haiwan boleh mencemari tangan atau anggota tubuh badan lain.

Bakteria dan parasit lain yang boleh bertahan dalam najis kucing termasuk cacing pita, Salmonella, Giardia dan Escherichia coli (E coli). Sisa najis yang masih melekat pada badan haiwan juga dapat disebarkan kepada manusia melalui hubungan langsung dengan haiwan secara sentuhan dan belaian terhadap haiwan peliharaan.

Maka, uruslah najis haiwan kesayangan dengan berhemah.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca