SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, kepincangan yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu disiasat secara telus agar ia tidak kelihatan seolah-olah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, kepincangan yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu disiasat secara telus agar ia tidak kelihatan seolah-olah diuruskan seperti 'kongsi gelap'.

Katanya, isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, pelanggaran tatatertib, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam semua institusi utama negara sudah menular menjadi satu masalah yang sistemik tidak terkecuali GLC dan GLIC.

"Untuk menyelesaikan isu ini dan memastikan tiada pihak yang merasakan diri mereka kebal daripada diambil tindakan, boleh jadi baik diwujudkan satu badan atau suruhanjaya bagi menyiasat dengan teliti salah laku yang berlaku dalam GLC dan GLIC.

"Apabila bukti sudah jelas dan nyata maka tindakan undang-undang wajib diambil terhadap pihak terlibat. Namun sekiranya kesalahan dilakukan adalah atas sebab tertentu seperti tekanan birokrasi, mungkin tindakan rekonsiliasi boleh diambil.

"Menerusi tindakan rekonsiliasi, salah laku didedahkan kepada umum dan pihak terlibat dinasihatkan untuk tidak mengulanginya dan boleh juga disertakan dengan tindakan tatatertib," katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, kegagalan mengambil berat soal ketelusan dalam pengurusan sesebuah institusi awam, termasuk GLC dan GLIC adalah antara punca Malaysia sering dikaitkan dengan rasuah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu salah guna kuasa dan integriti yang sedang menggegarkan Mara melibatkan anak syarikatnya iaitu Mara Corporation (Mara Corp).

Dua minggu sebelum isu Mara 'panas', secara kebetulan Kadir yang juga kolumnis Sinar Harian turut menulis dalam kolum beliau Asam Pedas mengenai isu pengurusan dalam syarikat GLC dan GLIC.

Dalam tulisannya, Kadir mengambil contoh laporan tahunan sebuah GLC menunjukkan jumlah gaji, upah dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pengarah eksekutif serta pengarah bukan eksekutif berjumlah RM4.8 juta berbanding RM2.6 juta pada 2019.

"Gaji, upah dan caruman KWSP bagi pengurusan utama naik daripada RM25.6 juta kepada RM45.3 juta dalam suasana di mana hampir 100,000 pekerja di seluruh negara hilang mata pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia merupakan penambahan sebanyak RM19.7 juta, sedangkan bagi tempoh sama, keuntungannya jatuh merudum daripada RM7.4 bilion kepada RM2.9 bilion.

"Pada 2020, GLC itu menjual 85 juta saham biasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mendapat keuntungan modal RM1 bilion dan 172.3 juta saham Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi memperoleh RM734.7 juta.

"Maksudnya, RM1.73 bilion atau lebih separuh keuntungan tahun 2020 adalah daripada penjualan harta dikumpulkan selama berpuluh tahun," tulis beliau.

Dalam pada itu, setakat Ahad dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka Kertas Enkuari Polis (KEP) berhubung kes lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang didakwa terbabit dengan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan Mara Corp.

Sebelum itu Mara, timbul isu melibatkan pemberian pinjaman tanpa cagaran oleh tiga buah bank tempatan yang mempunyai kaitan dengan GLC kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong yang kemudian diisytihar muflis dan akhirnya menjadi hutang lapuk.

Kata Kadir, kes-kes tersebut merupakan antara contoh yang boleh kita lihat yang menampakkan pelbagai kepincangan melibatkan GLC akibat tidak menghiraukan soal ketelusan dan tadbir urus korporat seolah-olah tidak ada lagi yang mana betul dan yang mana salah.

"Mereka yang diamanahkan mengetuai GLC, GLIC dan badan-badan awam dibayar gaji lumayan untuk membawa kebaikan bukan kerosakan," kata A Kadir.

Tegas beliau, pada tahap kritikal ini, tindakan pentadbiran seperti menukar kerajaan, menyiasat, membicara dan memenjarakan pihak terlibat kes-kes rasuah misalnya sudah tidak lagi memadai kerana kerosakan yang berlaku terlalu meluas.

"Paling utama adalah mengubah sikap rakyat daripada menerima rasuah sebagai satu perkara biasa kepada menolak rasuah sepenuhnya termasuk juga pelbagai lagi bentuk salah laku yang akan menjejaskan nama baik negara," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca