SHAH ALAM - Malaysia tidak memerlukan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghentikan lonjakan kes Covid-19 susulan gelombang varian Omicron memandangkan peratusan kes serius iaitu kategori tiga hingga lima adalah sangat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia tidak memerlukan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghentikan lonjakan kes Covid-19 susulan gelombang varian Omicron memandangkan peratusan kes serius iaitu kategori tiga hingga lima adalah sangat kecil.

Meskipun realitinya, sekatan perjalanan yang pernah dilaksanakan sebelum ini berjaya menurunkan kadar jangkitan, namun kesan lebih besar khususnya ekonomi akan lebih membebankan rakyat.

Justeru, adalah memadai bagi kerajaan melaksanakan PKP mengikut lokaliti kes tinggi jangkitan wabak tersebut, bukannya membuat sekatan perjalanan secara menyeluruh.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, PKP juga bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menghentikan jangkitan Covid-19 yang kembali mengganas susulan varian Omicron ketika ini.

"Kalau kita tengok daripada sudut jumlah yang (dijangkiti Covid-19 adalah bagi kategori) tiga hingga lima (adalah rendah dan) saya rasa tidak perlu kita hendak buat PKP.

"Saya tidak nampak kewajaran kita buat (PKP). PKP bukan satu jalan penyelesaian untuk kita hentikan jangkitan Covid-19 ini.

"Hujungnya kita hendak pergi ke era endemik. Ini realitinya kalau kita hendak pergi ke era endemik kita tidak boleh duduk dalam PKP (yang) tidak henti-henti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Malaysia sekali lagi akan berdepan PKP walaupun kerajaan sebelum ini menjelaskan tiada lagi sekatan kecuali mengikut lokaliti.

Hanafiah berkata, dengan lonjakan kes ketika ini juga syarikat yang mempunyai kakitangan yang perlu bekerja dalam jumlah ramai dalam satu-satu masa terutamanya sektor perkilangan disyor supaya menghadkan jumlah.

Beliau turut mencadangkan supaya sistem penggiliran pelajar ke sekolah dilaksanakan semula secara serta-merta.

"Kita kena mulakan balik penggiliran (pelajar ke sekolah) serta-merta kerana apa sahaja aktiviti libatkan perkumpulan manusia dalam satu masa meninggikan risiko untuk jangkitan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca