PUTRAJAYA - Daging sejuk beku telah dikategorikan sebagai produk pertanian utama paling berisiko dan memerlukan pemeriksaan 100 peratus di pintu masuk negara. Ini susulan pendedahan eksklusif Sinar Harian mengenai skandal kartel daging di... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Daging sejuk beku telah dikategorikan sebagai produk pertanian utama paling berisiko dan memerlukan pemeriksaan 100 peratus di pintu masuk negara.

Ini susulan pendedahan eksklusif Sinar Harian mengenai skandal kartel daging di Senai, Johor pada Disember 2020.

Pendedahan itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri (KPDNHEP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Maqis, Shamsul Akbar Sulaiman berkata, peristiwa di Senai itu telah membuka mata banyak pihak termasuk Maqis sendiri untuk memperketat kemasukan daging import.

Shamsul Akbar

Menurutnya, selepas serbuan ke atas kartel tersebut, daging sejuk beku telah diletakkan sebagai nombor satu ‘produk berisiko tinggi’ bermula 1 Januari 2021.

"Dengan kata lain, bila ada isytihar kemasukan daging, kawalan kita amat ketat iaitu 100 peratus termasuklah perlu melalui ujian sampel.

"Kita juga buat profiling pada produk pertanian bagi menentukan mana yang utama dan perlukan perhatian dan daging sejuk beku telah diletakkan sebagai senarai utama.

"Maqis juga telah memperketat proses pelabelan. Dulu daging sejuk beku perlu dilabel di kotak luar sahaja, tapi kini daging juga perlu melalui proses sama.

"Itu antara yang kita lakukan bagi mengelak berlakunya penyelewengan sijil halal dan sebagainya,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat Maqis di Putrajaya baru-baru ini.

Shamsul Akbar berkata, selain itu, Maqis juga telah memperkenalkan pas transit di mana setiap daging sejuk beku atau produk pertanian lain yang ingin ditransit ke dalam negara memerlukan permohonan sebelum kontena itu di-seal sehingga ia berada di pintu keluar.

Pendedahan Sinar Harian menerusi laporan khas 'kartel daging' membawa serbuan Maqis dan agensi berkuasa lain di Senai, Johor pada Disember 2020.

"Kawalan itu dibuat kerana kita tidak mahu daging hilang di tengah jalan,” katanya.

Kata beliau, antara syarat utama bagi proses kemasukan produk daging sejuk beku adalah daging tersebut mesti datang dari loji penyembelihan yang sah selain disertakan dokumen sijil kesihatan serta sijil halal.

Menurut Shamsul Akbar, jika terlepas ke pasaran tempatan ia sudah tentu membimbangkan kerana status daging itu tidak diketahui sama ada halal atau berpenyakit.

"Mengenai kawalan kemasukan daging sejuk beku menjelang musim perayaan, Maqis akan terus mempertingkat operasi secara bersepadu. Kawalan akan dibuat dengan lebih ketat bagi mengelak kemasukan yang tidak sah,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti KPDNHEP, kastam, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca