SHAH ALAM - Penerima vaksin primer Sinovac lebih terdedah kepada Covid-19 kerana keberkesanannya tidak setinggi Pfizer dan AstraZeneca.Oleh sebab itu, pakar perubatan awam bersetuju supaya penerima vaksin primer Sinovac wajib mengambil dos... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Penerima vaksin primer Sinovac lebih terdedah kepada Covid-19 kerana keberkesanannya tidak setinggi Pfizer dan AstraZeneca.

Oleh sebab itu, pakar perubatan awam bersetuju supaya penerima vaksin primer Sinovac wajib mengambil dos penggalak.

Pakar perubatan kesihatan awam dari Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, berdasarkan maklumat kajian klinikal, kesan keberkesanan vaksin Sinovac adalah sekitar 70 hingga 80 peratus berbanding vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang berada dalam tahap sekitar 90 peratus keberkesanan.

"Situasi ini menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada gelombang Omicron yang sedang melanda negara pada ketika ini," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau turut menyarankan pengambilan dos penggalak kepada penerima vaksin primer Sinovac berikutan penurunan lebih cepat antibodi terhadap jangkitan Covid-19.

"Penurunan antibodi terhadap jangkitan Covid-19 dalam kalangan penerima vaksin lengkap Sinovac berlaku lebih awal berbanding penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

"Sebagai perbandingan penurunan antibodi bagi vaksin Sinovac adalah sekitar tiga bulan manakala untuk vaksin Pfizer adalah enam bulan dan adalah penting untuk penerima dos lengkap Sinovac mendapatkan dos penggalak bagi meningkatkan kembali tahap imuniti," jelas Malina.

DR MALINA


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Isnin berkata, semua individu berusia 60 tahun ke atas dan penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan sijil vaksinasi penerima dos primer Sinovac dalam aplikasi MySejahtera bertukar putih.

"Jika mereka tidak mendapatkan dos penggalak pada Februari ini, sijil vaksinasi kuning mereka akan bertukar menjadi putih mulai 1 Mac,” katanya.

Menurut Khairy lagi, sehingga kini terdapat 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapat (dos) penggalak dan ada segelintir enggan menerima suntikan dos penggalak sama ada Pfizer atau AstraZeneca.

Jelasnya, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan penerima dos lengkap Sinovac menerima Pfizer atau AstraZeneca tetapi apa juga dos penggalak adalah lebih baik daripada tiada langsung (any booster is better than no booster).

"Sebab itu kita akan berikan temujanji untuk mereka pilih sekiranya mereka mahukan Sinovac bagi dos penggalak mereka," katanya.

DR SHARIFA EZAT


Dalam pada itu, pakar perubatan kesihatan masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berpandangan, penerima dos lengkap vaksin Sinovac perlu bersikap terbuka untuk menerima dos penggalak.

"Diketahui vaksin Sinovac mempunyai tahap keberkesanan rendah dan pengambilan dos penggalak (seeloknya daripada jenis Pfizer) adalah disyorkan untuk meningkatkan keberkesanan sistem imun melainkan ada jangkaan kesan sampingan teruk seperti alergi.

"Malah vaksin jenis campuran yang juga dikenali sebagai heterologus ini sudah dipraktikan secara meluas di luar negara dan terbukti menghasilkan keberkesanan antibodi lebih tinggi," ujar Sharifa Ezat.

Katanya lagi, pada ketika negara sedang berdepan peningkatan kes harian Covid-19 melebihi 10,000 setiap hari pengambilan dos penggalak adalah amat dialu-alukan.

Sharifa Ezat turut menyarankan pemberian insentif sesuai bagi menggalakkan lebih ramai individu untuk mendapatkan dos penggalak Covid-19.

"Langkah pemberian insentif dilaksanakan di negara Asean lain seperti Thailand dan Indonesia dan mungkin Malaysia juga boleh berbuat demikian, contohnya seperti insentif tambang perjalanan atau cuti rehat oleh majikan untuk penerima dos penggalak, " katanya. Klik di sini untuk terus membaca