RATU Elizabeth II yang kini memerintah Britain merupakan satu-satunya pemerintah diraja ketika ini masih lagi hidup ketika umurnya mencecah 95 tahun pada Ahad lalu. Bagaimanapun, beliau yang dilahirkan pada 21 April 1926 merupakan... Klik di sini untuk terus membaca

RATU Elizabeth II yang kini memerintah Britain merupakan satu-satunya pemerintah diraja ketika ini masih lagi hidup ketika umurnya mencecah 95 tahun pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, beliau yang dilahirkan pada 21 April 1926 merupakan pemerintah wanita pertama di dunia yang paling lama memerintah.

Pada Ahad lalu, sambutan ulang tahun pemerintahan yang ke-70 atau dikenali sebagai Jubli Platinum bagi meraikan tempoh beliau berada di atas takhta diadakan di negara itu, walaupun Ratu Elizabeth II jarang muncul di khalayak ramai sejak kebelakangan ini.

Ratu Elizabeth naik takhta pada usia muda selepas kemangkatan ayahandanya. - AFP

Beliau merupakan pemerintah keempat paling lama berkuasa di dunia yang setakat ini diketahui dan mengikut lipatan sejarah global.

Pemerintah Perancis, Louis XIV ialah pemerintah diraja pertama di dunia paling lama berkuasa kerana beliau memerintah selama 72 tahun, 110 hari iaitu dari tahun 1643 sehingga 1715.

Dilahirkan pada tahun 1638, Louis naik takhta ketika berusia empat tahun dan berjaya menjadikan Perancis sebagai kuasa terkemuka di Eropah selepas tiga kali peperangan besar selain merupakan seorang penari balet yang berbakat dan berkahwin sebanyak dua kali.

Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej pula merupakan pemerintah diraja kedua paling lama memerintah di dunia apabila berada di atas takhta selama 70 tahun, 126 hari serta memerintah dari tahun 1946 hingga 2016.

Johann II atau dikenali sebagai Putera dari Liechtenstein di Eropah ialah pemerintah diraja ketiga paling lama memerintah di dunia iaitu selama 70 tahun, 91 hari bermula dari tahun 1858 hingga 1929.

Ratu Elizabeth II -AFP

Berada di tempat keempat ialah Ratu Elizabeth II yang genap memerintah selama 70 tahun pada 6 Februari lalu.

BERITA KEMATIAN KETIKA DI HUTAN KENYA

Ratu itu berusia 25 tahun dan sedang melawat Kenya bersama suaminya, mendiang Putera Philip apabila ayahanda ratu tersebut, Raja George VI, mangkat akibat kanser paru-paru di kediaman diraja Sandringham di Norfolk pada usia 56 tahun pada 6 Februari 1952.

Ketika itu, beliau yang merupakan pewaris pertama takhta diraja berada jauh di dalam hutan di Kenya melihat kehidupan liar dari atas pokok dan hanya mendengar berita tentang kemangkatan ayahandanya pada hari yang sama apabila berita itu sampai kepadanya.

Kemangkatan ayahandanya menyebabkan beliau menggantikannya sebagai pemerintah England.

Datuk kepada Ratu Elizabeth II iaitu Raja George V juga meninggal dunia di kediaman diraja Sandringham dan moyang ratu tersebut, Permaisuri Alexandra turut mangkat di kediaman itu.

Sebelum ini, nenek moyang kepada Ratu Elizabeth, Ratu Victoria memerintah selama hampir 64 tahun iaitu dari 1837 hingga 1901 ketika Empayar British berada di puncaknya.

Selepas kematian suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip pada April tahun lalu, ratu itu kembali menghadiri majis rasmi termasuk menyambut kehadiran para pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Cornwall, barat daya England.

Ratu Elizabeth bersama suami tercinta, Putera Philip dalam satu foto pada tahun 1947.

Namun, Ratu Elizabeth II yang sebahagian besar masanya menginap di Istana Windsor, England diminta untuk memperlahankan aktivitinya atas nasihat daripada doktor selepas tinggal di sebuah hospital semalaman pada bulan Oktober tahun lalu sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Lebih sebulan lalu, ucapan sembutan perayaan Krismas tahunannya dirakamkan yang mana beliau memberikan penghormatan peribadi yang jarang berlaku kepada suaminya selama 73 tahun, Putera Philip yang mangkat di Istana Windsor ketika berusia 99 tahun selepas dibenarkan keluar dari sebuah hospital pada April tahun lalu.

Ratu itu berkahwin dengan Putera Philip pada tahun 1947 dan mereka dikurniakan empat orang anak dengan Putera Wales iaitu Putera Charles menjadi pewaris takhta pertamanya.

Putera Charles mempunyai dua anak lelaki iaitu Putera William yang merupakan pewaris kedua takhta Britain dan Putera Harry. Kedua-duanya merupakan hasil perkahwinan Putera Charles dengan Lady Diana yang bercerai dengannya pada tahun 1996 selepas berkahwin pada tahun 1981 tetapi meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Paris pada tahun 1997.

Ratu Elizabeth bersama keluarga diraja Britain.- AFP

Kini, ratu itu mempunyai lapan cucu dan 12 cicit.

Pada pertengahan tahun lalu, Ratu Elizabeth II melucutkan gelaran ketenteraan kehormat dan jawatan kebajikan anak ketiganya, Putera Andrew yang kini bertarung dengan kes sivil di Amerika Syarikat (AS) berhubung serangan seksual ke atas seorang gadis.

Tindakan itu berkesan menyingkirkan Putera Andrew daripada kehidupan awam dan dilakukan untuk melindungi keluarga diraja daripada sebarang pendedahan dan kesan yang merosakkan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca