KUALA LUMPUR - Habitat yang makin berkurang akibat pembukaan hutan menjadi punca utama hidupan liar menjadi mangsa nahas jalan raya (road kill).
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hidupan liar bergerak untuk mencari makanan, mencari pasangan untuk membiak dan mencari habitat yang lebih sesuai.
Menurut Abdul Kadir, contohnya, jika kawasan hutan itu dahulunya adalah kawasan habitat liar yang merupakan tempat mencari makan dan merayau, tetapi selepas kawasan itu dibangunkan jadi jalan raya, hidupan liar ini akan melintas laluan itu sama ada untuk berpindah hingga berkemungkinan akan dilanggar.
"Berdasarkan kajian Perhilitan, dua faktor utama penyebab 'road kill' iaitu pembukaan hutan dan habitat terosot atau terancam.
"Perkembangan guna tanah atas pelbagai tujuan telah menyebabkan berlakunya kehilangan, fragmentasi habitat hidupan liar dan seterusnya memberi kesan kepada berlakunya pemisahan habitat.
"Di Malaysia, hidupan liar aktif pada waktu malam (nocturnal) dan itu sukar dilihat pemandu apatah lagi keadaan jalan yang gelap serta berkabus yang menjadikan jarak pemanduan kurang jelas,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Abdul Kadir berkata, berdasarkan laporan statistik bagi tempoh tiga tahun sejak 2019, sebanyak 1,402 ekor hidupan liar menjadi mangsa road kill sekali gus menyumbang penurunan populasi hidupan terbabit.
Katanya, mengikut pecahan, bagi tahun 2019, terdapat 411 ekor hidupan liar menjadi mangsa, tahun 2020 (464 ekor) dan tahun 2021 (527 ekor).
"Terdapat 10 spesies utama yang kerap menjadi mangsa road kill iaitu biawak, kera, musang, babi hutan, spesies kucing, ular sawa, tapir, lotong, ular tedung senduk dan spesies burung,” ujarnya.
Tambahnya, selain 10 spesies itu, beberapa spesies lain juga ada direkodkan turut menjadi mangsa nahas jalan raya seperti beruang matahari, harimau dan kambing gurun.
Mengulas lanjut, sebanyak 10 lokasi panas ‘road kill’ dikenal pasti Perhilitan iaitu Jalan Taiping – Selama, Perak; Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu; Jalan Suka Menanti, Kedah; Jalan Maran – Kuantan, Pahang; Jalan raya Timur Barat di Grik, Perak; Jalan Gula, Perak; Jalan Bukit Malut, Kedah; Jalan Gunung Keriang, Kedah; Jalan Kampung Londoh, Negeri Sembilan dan Jalan Sintok – UUM, Kedah.
Jelasnya, inisiatif Perhilitan untuk tangani isu ini adalah dengan pemasangan papan tanda, kerjasama penduduk setempat dan agensi berkaitan, kempen melalui media sosial serta pembinaan ‘viaduct’ atau laluan hidupan liar bagi membendung kejadian haiwan liar menjadi korban dilanggar oleh pengguna lebuh raya.
Tambah Abdul Kadir, di samping itu, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib agar memastikan pagar sempadan sepanjang lebuh raya diselenggara dengan baik dan pemasangan pagar berduri di kawasan hotspot.
"Nyawa hidupan liar semakin diancam penurunan populasi akibat ‘road kill’. Kemalangan berlaku apabila haiwan ini cuba melintas jalan untuk bergerak ke kawasan yang lain sama ada untuk mencari makanan, mengawan dan sebagainya. Save our wild life,” katanya.
Justeru, Perhilitan mengharapkan kerjasama semua pihak untuk melaporkan sebarang kemalangan jalan raya membabitkan binatang liar di talian 1-800-88-5151 atau portal e-aduan www.wildlife.gov.my.
Klik di sini untuk terus membaca