KES baharu jangkitan Covid-19 sudah mencecah lebih 10,000 sehari. Kali terakhir angka lebih 10,000 adalah pada 2 Oktober tahun lepas.
Hari Isnin lalu, angka itu sudah melepasi 11,000. Kata Menteri Kesihatan, kes harian dijangka cecah 15,000 sehari tak lama lagi. Ada pakar yang ramalkan boleh sampai lebih 20,000 sehari.
Macam-macamlah penyebab lonjakan yang menakutkan ini. Ada yang kata rakyat dah tak patuh pada SOP lagi. Mereka anggap kes sudah berkurang, jadi tak perlu jaga SOP.
Ada yang kata, perayaan Tahun Baharu Cina buatkan jutaan rakyat bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Kata Khairy Jamaluddin, kita sedang mengalami gelombang varian Omicron. Macam banyak negara lain, kita akan hadapi kes jangkitan yang tinggi.
Awang kesal dalam keadaan semacam ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung. Nampaknya sebelum hari penamaan calon lagi, parti-parti dah buat perhimpunan. Kempen sudah berjalan. Ada jemputan untuk ceramah politik sana sini.
Awang jangka selepas PRN Johor, angka jangkitan akan melonjak lebih tinggi, takut tak terkawal.
Tapi orang politik peduli apa? Yang penting hendak kekal kuasa. Nak pastikan mereka terus memerintah. Tak kiralah dalam keadaan mana PRN terpaksa diadakan.
Selepas Johor, entah negeri mana pula. Padanlah keyakinan rakyat terhadap orang politik berada pada tahap paling rendah buat masa ini.
Klik di sini untuk terus membaca