KITA sering melihat sesuatu musibah sebagai malapetaka. Yang kita nampak, yang kita dendangkan dan yang kita syairkan hanyalah tentang kepayahan serta kesukaran yang datang bersamanya. Kemudian kita pun bersedih dan mengeluh kerananya.
Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membawa kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), ramai ibu bapa tidak begitu mempedulikan hal pelajaran anak-anak. Sebahagian mereka menyerahkan urusan itu kepada guru di sekolah atau pembimbing di pusat tuisyen semata-mata.
Apabila PdPR dilaksanakan, mereka secara tiba-tiba terpaksa menjadi guru. Yang sudah berpuluh tahun tidak pernah menyentuh buku teks, dengan muka separa kelat terpaksa membeleknya semula. Kali ini buku teks anak-anak.
Yang telah lupa formula matematik terpaksa bangun tengah-tengah malam – supaya anak tak nampak – membelek dan menghafalnya kembali. Dengan sedaya mungkin, mereka berusaha mempersiapkan diri demi memastikan mereka berupaya menjadi tempat yang betul untuk anak-anak merujuk.
Sebelumnya, kebanyakan mereka mungkin menggunakan gajet lebih kepada sebab-sebab hiburan dan sosial. Pandai mereka terbatas pada yang berkaitan dengan Facebook, Instagram, TikTok, portal beli-belah, YouTube dan sekali sekala RedTube.
Tetapi PdPR mengubah gaya penggunaan mereka. Secara langsung mereka meluaskan lingkungan penggunaan gajet dan memanfaatkannya dengan cara yang lebih patut.
Pada mulanya keadaan memang kelam-kabut. Ramai ibu bapa mengeluh dan merungut. Tetapi lama-kelamaan mereka menjadi biasa dengan keadaan itu. Mereka gembira kerana PdPR mengakrabkan lagi hubungan mereka dengan anak-anak.
Buat masa ini tiada lagi PdPR tetapi kesannya masih berterusan. Ada kawan-kawan saya yang sekarang ini sudah boleh bercerita tentang silibus pelajaran anak-anak dengan gaya yang mengalahkan pengarah pendidikan negeri, padahal dahulu jika ditanya umur anak pun mereka tak berapa nak ingat.
Jika ditakdirkan ada lagi PdPR pada masa hadapan, mereka tentu dapat melaluinya tanpa masalah dan tanpa kelam-kabut seperti dahulu.
Demikianlah hidup ini. Kita sering terpaksa melalui proses adaptasi kepada sesuatu situasi sama ada atas kehendak sendiri atau disebabkan kehendak persekitaran. Dalam proses ini, tidak semua orang berjaya.
Ada yang kecundang di tengah jalan. Dalam kes PdPR misalnya, bukan tidak ada suami isteri yang berperang kerana masing-masing mengelak menjadi ‘guru di rumah’ kepada anak-anak.
Apa yang berlaku seiring dengan maksud ungkapan ‘Survival Of The Fittest’ yang diperkenalkan ahli falsafah Inggeris, Herbert Spencer (1820-1903) selepas beliau membaca Teori Evolusi (Darwin, 1859).
Ungkapan itu membawa maksud bahawa barang siapa paling kuat dan cepat melakukan adaptasi, dialah yang mampu bertahan dalam hidup. Yang lemah, yang kalah, apatah lagi yang enggan melalui proses adaptasi itu dengan sendirinya akan kecundang.
Selagi kita masih hidup, selagi itulah perubahan menjadi perkara yang tidak dapat dielak. Dan setiap perubahan, kecil atau besar membuka jalan kepada terjadinya proses adaptasi.
PERUBAHAN
Ada ketikanya perubahan itu berlaku secara perlahan-lahan dan ia mendorong kepada terjadinya proses adaptasi secara perlahan juga. Contohnya, pada zaman kanak-kanak saya dan sebelumnya, air batu boleh dibeli di kedai-kedai tertentu dalam bentuk ketul-ketulan kecil.
Penjual akan memotong dengan cara menggergaji bongkah-bongkah air batu yang besar bagi menghasilkan ketulan-ketulan kecil itu.
Seketul biasanya berharga 10 sen atau 20 sen, dengan yang terkecil saiznya separuh atau dua pertiga ketulan bata.
Supaya air batu itu tidak cepat cair, langkah mengadaptasi diambil. Air batu itu akan disalut dengan sekam padi atau habuk papan. Lebih banyak sekam atau habuk digunakan, lebih tahan lamalah air batu itu.
Tetapi kemunculan termos, icebox cooler dan seterusnya peti sejuk secara perlahan-lahan melenyapkan tradisi penggunaan sekam padi serta habuk papan.
Penjual air batu dalam bentuk ketulan bata juga perlahan-lahan lenyap apabila pengguna boleh membuat air batu sendiri di rumah atau membeli ais kiub yang sifatnya lebih praktikal serta mesra pengguna.
Ada juga perubahan yang berlaku secara mengejut dan drastik. Hari ini kita mempunyai anggota badan sempurna, esok lusa belum tentu keadaannya sama.
Ada orang dengan tiba-tiba hilang penglihatan ketika bangun tidur, tidak sedikit yang diserang strok ketika baru lepas bergelak ketawa. Yang tiba-tiba cacat kerana kemalangan tidak kurang jumlahnya dengan yang kehilangan orang tersayang atas pelbagai sebab.
Pada 27 Disember 2004, angka konservatif menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 570,000 orang kehilangan tempat tinggal disebabkan tsunami yang terjadi sehari sebelumnya. Ia bermakna lebih setengah juta manusia itu mengalami perubahan hidup dengan cara amat mengejut.
Begitu juga dengan jutaan orang lagi yang kehilangan ahli keluarga, kawan, rakan dan handai taulan akibat tsunami dahsyat itu. Mereka mengalaminya tanpa dijangka.
SUASANA BAHARU
Suka atau tidak, mereka semua daripada yang hilang penglihatan secara tiba-tiba sehinggalah kepada yang kehilangan keluarga dan segala-galanya akibat bencana, terpaksa berdepan suasana baharu dan mengadaptasi diri mereka dengan suasana baharu tersebut.
Pandemik Covid-19 bukan sekadar ‘memperkenalkan’ kita kepada PKP dan PdPR tetapi juga membawa bersamanya pelbagai norma baharu yang perlu kita terima. Menjadi kewajipan kitalah untuk mengadaptasikan diri dan kehidupan dengan norma baharu itu.
Pada mulanya memang sukar. Saya sendiri pernah terasa kecil hati apabila seorang kawan menarik tangannya pada waktu saya menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Mujurlah saya bukannya remaja yang sedang hanyut di alam percintaan, jika tidak mungkin saya menangis jika buah hati saya memilih untuk berbual dari jauh sebab mahu menjaga jarak.
Pada mulanya memang sukar tetapi lama-kelamaan alah bisa tegal biasa. Yang gagal beradaptasi dengan keadaan itu terpaksalah menanggung risikonya, mungkin dijangkiti Covid-19 atau mungkin juga dihulurkan notis kompaun.
Bagi mereka yang memahami, keupayaan mengadaptasi perubahan yang berlaku adalah satu seni, jika dipraktikkan dengan betul akan membawa ganjaran besar nilainya. Jangan hanya melihat orang-orang yang rebah disebabkan sesuatu musibah tetapi lihatlah mereka yang bangkit selepas jatuh terhimpit.
Lagi sekali kita jadikan Covid-19 sebagai contoh. Memang banyak perniagaan ditutup, ramai yang hilang pekerjaan dan tidak sedikit yang hilang pertimbangan disebabkan pandemik.
Tetapi jangan lupa bahawa ramai juga yang pantas mengadaptasi keadaan itu, lalu mencipta dan mengisi peluang-peluang baharu.
Mereka inilah yang patut kita contohi kerana pesan orang tua-tua, jika hendak dijadikan teladan, jangan dipilih orang yang mengalah pada keadaan, apatah lagi yang kerjanya meratib mengharap belas ihsan. #dush!
Kita sering terpaksa melalui proses adaptasi kepada sesuatu situasi sama ada atas kehendak sendiri atau disebabkan kehendak persekitaran.”
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca