APABILA mengharungi hal-hal usaha dan hasil dalam kehidupan, kita bukan berdepan dengan natijah hitam putih semata-mata. Sebaliknya, kita juga memperoleh hasil di antara kedua-duanya. Tiada istilah berjaya atau gagal, boleh atau tidak,... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA mengharungi hal-hal usaha dan hasil dalam kehidupan, kita bukan berdepan dengan natijah hitam putih semata-mata. Sebaliknya, kita juga memperoleh hasil di antara kedua-duanya.

Tiada istilah berjaya atau gagal, boleh atau tidak, menang atau kalah secara mutlak.

Walaupun berjaya mendapat tempat pertama tetapi pelari 100 meter itu gagal memecahkan rekod kebangsaan. Dia boleh membuat kek tetapi bentuknya tak cantik. Parti itu menang sorak tetapi kampung tergadai.

Berjaya tetapi tidak begitu bagus, boleh tetapi tidak begitu menjadi atau menang tetapi ada aspek-aspek yang tewas itu menjadikan sesuatu dilihat molek itu sebenarnya tidak begitu cantik. Inilah kawasan kelabu atau grey area iaitu wilayah yang menjadikan sesuatu perkara itu tidak mutlak hitam mahupun putihnya.

Pokoknya, jika kita melihat sesuatu perkara daripada kaca mata hitam dan putih semata-mata, ia menjadikan kita manusia yang tidak pragmatik. Misalnya, jika selama ini kita work from office (WFO), pandemik memaksa kita work from home (WFH).

Kini, banyak syarikat sudah nampak kedua-dua pendekatan iaitu WFO atau WFH boleh sahaja dilakukan menurut kesesuaian. Terdapat grey area di situ, kedua-dua pendekatan bekerja boleh dipraktikkan. Janji kerja berjalan lancar.

Begitu juga soal kesihatan. Ia bukan semata-mata hal sakit dan ubat. Apabila sakit, kita makan ubat tetapi ramai mengambil ‘ubat hospital’ menolak sama sekali ubat-ubat alternatif lain kerana tidak mahu mencampurkan kedua-duanya.

Atau, jika seseorang mengambil ubat alternatif, dia akan menolak sama sekali ‘ubat hospital’ dengan penuh emosional. Padahal, jika diteliti, banyak ‘ubat hospital’ adalah semata-mata ubat tetapi ubat alternatif itu pula banyak yang terdiri daripada makanan.

Jika kita merawat diri hanya dengan memakan ubat, ada kemungkinan penyakit akan berulang jika ia tidak diikuti dengan pengubatan melalui pemilihan makanan sesuai.

TUNTUTAN HIDUP

Jelas, kita perlu lebih terbuka mempelbagaikan pendekatan perubatan kerana ia membantu diri kita mendapatkan keserasian untuk pulih.

Kerap juga kita mendengar perancangan sesebuah projek itu melibatkan plan A. Jika plan A tidak menjadi, maka plan B dilakukan. Untuk menjimatkan masa, mengapa tidak mengadunkan plan A dan plan B yang dilaksanakan secara serentak dan terjalin?

Ia menjadikan projek lebih cepat dilaksanakan dengan menukar strategi plan A dan plan B pada bila-bila masa diperlukan.

Tuntutan kehidupan hari ini memerlukan kita cepat dan terbuka mencari jalan menyelesaikan masalah. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada satu cara, lebih-lebih lagi cara lama yang juga konvensional, sedangkan suasana dan keadaan tidak konsisten seperti dahulu.

Pendekatan mengikut cara A dan juga cara B kini menjadi norma. Jadi, ia tidak boleh dilihat daripada kaca mata negatif seperti yang biasa kita kaitkan dengan manusia yang boleh menerima cara A atau cara B bila-bila masa.

Ia bukan soal makan dua belah, berperangai lalang, talam dua muka, liberal, plural, malah munafik. Sikap yang dimaksudkan itu adalah sikap yang saling bertentangan sama sekali iaitu menerima apa sahaja walaupun ia melibatkan hal-hal mungkar.

Sempadannya adalah sikap menerima kedua-dua pendekatan apabila kedua-duanya itu secara relatifnya baik.

Yang penting, kita mempunyai sikap terbuka menerima perubahan bila-bila masa asalkan tidak melanggar etika kehidupan dan prinsip agama.

Apabila kita peka untuk menerima lebih daripada satu cara dalam mendepani sesuatu perkara, maka kita akan tergolong dalam kalangan mereka yang dikatakan bersikap terbuka. Begitulah...

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca