SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Johor mengesahkan satu mesyuarat di peringkat pucuk kepimpinan koalisi pembangkang itu akan diadakan pada Rabu bagi menentukan status kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sempena Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Johor mengesahkan satu mesyuarat di peringkat pucuk kepimpinan koalisi pembangkang itu akan diadakan pada Rabu bagi menentukan status kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk perbincangan proses agihan kerusi pilihan raya.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, dalam mesyuarat khas yang diadakan pada sebelah petang dan malam Rabu, PH Johor berharap status kerjasama itu dapat dimuktamadkan oleh parti-parti dalam koalisi itu kelak.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan pucuk kepimpinan PH akan berusaha menyelesaikan isu agihan kerusi PRN Johor diputuskan untuk diagihkan kepada Muda pada mesyuarat yang sama.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut anggaran jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bakal diserahkan PH kepada Muda kerana perkara itu masih dalam perbincangan.

Dari kanan Aminolhuda, Mohamad dan Hassan dalam Program Sarapan Pagi Bersama YB Mohd Sabu dan Pemimpin Masyarakat di Bandar Permas Jaya, Permas, Pasir Gudang, pada Khamis.

"Insya-ALLAH, kita akan ada mesyuarat hari ini (Rabu) untuk menentukan kerjasama dengan Muda pada sebelah petang dan malam.

"Sama ada penentuan kerjasama itu termasuk keputusan pembahagian kerusi DUN kepada Muda, Insya-ALLAH kita akan cuba selesaikan perkara itu," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi satu mesyuarat Majlis Presiden PH akan diadakan pada Rabu bagi memutuskan segala ketetapan berkaitan kerjasama dengan Muda, termasuk isu agihan kerusi.

Menurut sumber dalaman PH, mesyuarat itu bakal membincangkan jumlah kerusi DUN yang bakal diserahkan kepada Muda untuk ditandingi mereka, sebagai memenuhi inisiatif 'khemah besar pembangkang' diperkenalkan PH bagi menghadapi PRN Johor.

Sumber itu turut mendakwa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Presiden Muda memaklumkan parti itu mahu bertanding sekurang-kurangnya lima hingga 10 DUN.

Status agihan kerusi kepada Muda dijangka bakal ditentukan PH menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH pada Rabu.

Bagaimanapun pemimpin yang dekat dengan kepimpinan tertinggi PH itu menjangkakan Majlis Presiden PH hanya menawarkan maksimum satu hingga empat kerusi DUN sahaja kepada Muda.

Selain itu, sekiranya PH dan Muda mencapai persetujuan dari segi agihan pembahagian kerusi pilihan raya, kerusi-kerusi berkenaan perlu dilepaskan atas persetujuan parti-parti yang terlibat dan bukan berasaskan arahan muktamad Majlis Presiden PH.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil sewaktu dihubungi mengakui parti itu akan mengadakan beberapa siri mesyuarat pada Rabu, termasuk mesyuarat membincangkan PRN Johor.

Fahmi Fadzil

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada salah satu siri mesyuarat itu membabitkan mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membincangkan status kerjasama dalam PH.

"Ya, kita ada mengadakan beberapa mesyuarat pada hari ini (Rabu). Itu sahaja (yang boleh dikomen)," katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini, PH Johor sudah memuktamadkan isu pembahagian kerusi PRN Johor apabila Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR masing-masing diberikan 20 kerusi DUN untuk ditandingi, manakala DAP akan bertanding 16 kerusi.

Klik di sini untuk terus membaca