12 MAC ini negara akan menyaksikan bangsa Johor memilih wakil rakyat baharu di kawasan masing-masing di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tarikh tersebut telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu susulan pembubaran DUN negeri itu pada 23 Januari lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sehubungan itu, maka bermulalah ‘wayang politik’ lapuk di negeri yang terkenal dengan kehebatan kelab bola sepak bernama Johor Darul Takzim (JDT) sepanjang tempoh berkempen nanti.
Tapi Mat Taici tengok wayang politik itu sebenarnya telah pun bermula sejak sebelum SPR mengumumkan tarikh mengundi lagi.
Kalau nak cerita satu persatu memang banyak tapi yang Mat Taici nampak antaranya adalah aktiviti lompat parti dan dakwa-dakwi antara ahli politik A dengan B, seterusnya merebak kepada B, C, D, E, F, G sehinggalah Z.
Tidak cukup dengan itu, ada pula yang Mat Taici tengok bertukar sifatnya tiba-tiba menjadi ‘zuhud’ ikut rakyat menjadi petani, nelayan dan sebagainya walhal sebelum ini batang hidung mereka pun tidak pernah nampak!
Namun, dalam banyak-banyak wayang politik yang dilakonkan oleh watak-watak politik di negeri itu, Mat Taici tertarik dengan wayang laungan ‘demi rakyat’.
Laungan tersebut pasti akan bergema lebih kuat lagi di negeri Selatan tanah air itu sepanjang tempoh berkempen nanti.
Laungan tersebut Mat Taici tengok nampaknya dah sinonim dengan ahli politik di negara ini, terutamanya apabila mereka berceramah di pentas-pentas politik.
Laungan 'demi rakyat' itu seolah-olah kata-kata keramat yang akan menyakinkan pengundi untuk mengangkat mereka sebagai wakil rakyat.
Kadang-kadang meluat Mat Taici dengan ‘wayang politik’ yang sering diulang siar oleh ahli-ahli politik di negara ini.
Tidakkah mereka sedar rakyat sebenarnya sudah bosan dengan ‘wayang politik’ lapuk mereka itu? Atau adakah mereka memang tidak sedar dan masih lagi dilamun cita-cita kepartian politik masing-masing?
Dalam era kepercayaan terhadap ahli politik semakin terhakis ini, rakyat hanya mahukan pemimpin yang serius menangani isu rakyat dan bukan ahli politik yang gemar bermain ‘wayang’ ala-ala hidup di era 80-an dan 90-an.
Lagi pun zaman sudah berubah... Ramai rakyat di negara ini, terutamanya bangsa Johor yang bijak pandai dan tahu menilai antara kaca dan permata.
Kalau ya pun nak raih sokongan rakyat, biarlah guna pendekatan yang munasabah dan mampu menyakinkan rakyat, selari dengan perkembangan teknologi digital.
Jesteru, Mat Taici berharap sangat supaya ahli politik yang gemar bermain ‘wayang’ itu fokus kepada keperluan rakyat dan bukan sibuk bermain politik demi kuasa, nama dan kedudukan.
Pss: Mat Taici suka tengok wayang kulit.
Klik di sini untuk terus membaca