SHAH ALAM - Penetapan tempoh berkempen yang panjang iaitu selama 14 hari seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penetapan tempoh berkempen yang panjang iaitu selama 14 hari seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Untuk rekod, sebelum ini SPR menetapkan tempoh kempen selama hanya 12 hari untuk PRN Melaka dan Sarawak, manakala PRN Sabah pula 14 hari.

Penganalisis politik merangkap pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan SPR menetap tempoh kempen PRN Johor selama 14 hari bukan satu mengejutkan atau luar biasa.

Kedudukan DUN Johor sebelum dibubarkan pada hujung Januari lalu. (Gambar kecil: Sivamurugan)

"Saya berpandangan, SPR membuat keputusan menetap tempoh kempen 14 hari demi memastikan hari pengundian jatuh pada hari Sabtu sekali gus memboleh pengundi dari luar Johor dapat pulang mengundi pada 12 Mac nanti.

"Jika SPR menetap tempoh kempen selama 12 hari seperti di PRN Melaka dan Sarawak, maka mungkin ramai pengundi terutama dari luar Johor tidak dapat pulang mengundi kerana hari berkenaan jatuh pada hari Khamis iaitu hari biasa di mana semua orang bekerja," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Bagaimanapun Sivamurugan berpandangan, biarpun SPR menetapkan tempohnya yang agak lama, namun kempen PRN Johor dijangka hambar dan kurang meriah kerana orang ramai dan pengundi lebih mementingkan soal kesihatan, keselamatan diri serta kelangsung hidup berbanding politik.

"Saya dapat merasakan kempen PRN Johor dijangka menjadi hambar dan tidak akan mendapat sambutan pengundi kerana dalam keadaan kes harian Covid-19 meningkat melebihi 10,000 sekarang mungkin tiada siapa akan pedulikan soal politik.

"Malah, saya menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRN Johor pada 12 Mac depan akan berada di sekitar bawah 65 peratus daripada lebih 2.5 juta pengundi berdaftar dengan SPR.

"Jika peratusan keluar mengundi yang rendah maka ia akan memberi kelebihan kepada BN untuk kekal sebagai parti pemerintah di Johor selepas PRN nanti," katanya.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, mengumumkan Mesyuarat Khas SPR berlangsung pada Rabu, menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala 26 Februari 2022 ialah sebagai tarikh penamaan calon.

Abdul Ghani juga mengumumkan tempoh kempen PRN Johor adalah 14 hari iaitu bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac (Jumaat).

Untuk rekod, seramai 2,597,742 pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis dan pasangan, Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara, layak mengundi pada PRN Johor kali ini.

SPR juga telah melantik 56 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 186 orang Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses PRU Dewan Negeri Johor ke-15 nanti.

Selain itu, SPR juga menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR meminta bakal calon yang ingin bertanding supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan.

Bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan dan Kesihatan), telah dibuka bermula 9 Februari sehingga 18 Februari.

Manakala untuk kategori Borang 1A, (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) pula dibuka bermula 9 Februari sehingga 24 Februari.

Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dilaksanakan secara dalam talian (online).

Permohonan untuk mengundi secara pos ini boleh di pautan https://myspr.spr.gov.my/. Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

Dalam pada itu, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi live streaming bagi DUN yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

Klik di sini untuk terus membaca