APABILA Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memuktamadkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, pelbagai teka-teki dan spekulasi kini semakin hangat diperkatakan membabitkan parti-parti yang bakal bertanding kelak.
Ditambah dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Undi18 dikuat kuasakan pada pilihan raya negeri itu buat julung kali, pastinya semua parti politik sedang merangka strategi ampuh untuk menawan tambahan 750,000 pengundi baharu yang dijangka keluar mengundi buat kali pertama.
Dengan parti baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), Parti Warisan (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan yang terbaru Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengesahkan hasrat mereka untuk bertanding, tumpuan rakyat pasti terarah kepada kemungkinan jumlah penjuru pertandingan yang bakal tercetus pada PRN Johor ke-15.
Selain itu, bagi koalisi parti-parti politik yang sinonim bertanding, persoalan kini tertumpu sama ada berlaku pertukaran kerusi pilihan raya di antara parti-parti dalam koalisi masing-masing bagi memaksimumkan peluang kemenangan mereka atau kemungkinan pertambahan rakan koalisi pada saat akhir.
Sebelum ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengesahkan proses pembahagian kerusi di antara parti-parti dalam PH sudah selesai dengan Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal bertanding 20 kerusi, manakala DAP diberikan 16 kerusi.
PH juga sedang memuktamadkan kerjasama dengan Muda di bawah inisiatif khemah besar pembangkang bagi mengekang dominasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak PRN Melaka.
Bagi blok kerajaan pula, Pengarah Pilihan Raya BN untuk PRN Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan urusan pembahagian kerusi di antara parti-parti dalam koalisi itu terdiri UMNO, MCA dan MIC sudah selesai.
Dengan jumlah keseluruhan 56 kerusi DUN Johor menjadi rebutan parti-parti bertanding, pastinya koalisi BN, PH mahu pun Perikatan Nasional (PN) kini mencongak pelbagai strategi terbaik termasuk keperluan menukar kerusi pilihan raya dengan parti-parti komponen.
Di peringkat PH, sumber dalaman koalisi itu memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa sekurang-kurangnya tiga kerusi DUN majoriti pengundi Melayu dan campuran dijangka terlibat dalam pertukaran di antara Amanah dan PKR.
Jelas sumber itu, tiga kerusi DUN sedang dipertimbangkan ditukar adalah kerusi DUN Sedeli yang sebelum ini ditandingi PKR serta DUN Kukup dan Pasir Raja yang ditandingi Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Tiga kerusi DUN berkenaan dipertimbangkan untuk ditukar di antara Amanah dan PKR atas beberapa faktor termasuk pengaruh calon atau penerimaan parti di DUN berkenaan.
"Bagaimanapun, sama ada perkara itu bakal menjadi realiti akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH memandangkan koalisi pembangkang itu juga perlu mempertimbangkan jumlah agihan kerusi PRN kepada Muda," kata sumber berkenaan kepada Sinar Premium pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, sumber dalaman PH itu mengakui Amanah dan PKR bakal menerima manfaat besar setelah ketiadaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam koalisi PH selepas PRU14.
Sinar Premium difahamkan Amanah menerima tambahan sembilan kerusi DUN daripada jumlah asal 11 kerusi pilihan raya yang diperuntukkan kepada parti itu pada PRU14.
Selain itu, PKR dijangka menerima manfaat sama dengan jangkaan pertambahan tujuh kerusi, manakala DAP hanya menerima dua DUN ekstra.
"Perlu diingat pada PRU14, Bersatu yang bersama PH ketika itu bertanding di 18 kerusi DUN iaitu DUN Bukit Pasir, Machap, Sri Medan, Benut, Kempas, Kahang, Semarang, Bukit Kepong, Larkin, Gambir, Parit Raja, Buloh Kasap, Permas, Bukit Permai, Puteri Wangsa, Tenang, Panti dan Endau.
"Daripada kesemua kerusi DUN berkenaan, mereka menang 11 kerusi DUN yang kemudiannya bertambah satu lagi kerusi setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis keluar PKR dan menyokong kerajaan PN.
"Setelah Bersatu keluar PH, jadi parti-parti dalam PH memutuskan Amanah dan PKR akan mendapat kerusi DUN lebih berbanding DAP kerana kerusi-kerusi berkenaan adalah majoriti pengundi Melayu selain bersifat marginal," ujar sumber itu lagi.
Ditanya mengenai status kerusi milik Bersatu sebelum ini yang bakal ditandingi parti-parti dalam PH, pemimpin PH di peringkat Pusat itu turut mendedahkan Amanah dijangka mengambil alih kerusi DUN Bukit Pasir, Tenang, Parit Raja, Kahang, Bukit Kepong, Permas, Puteri Wangsa, Panti dan Endau.
Bagi PKR pula, sumber PH itu memaklumkan parti itu bakal menerima tambahan kerusi DUN seperti Benut, Kempas, Sri Medan, Semarang, Larkin, Gambir dan Buloh Kasap.
"DAP pula hanya menerima tambahan kerusi DUN Machap dan Bukit Permai yang diketahui berstatus pengundi campuran.
"Saya difahamkan persetujuan pengagihan kerusi-kerusi DUN sebelum ini milik Bersatu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada hari ini (Rabu)," tegas sumber PH itu lagi.
Pada PRU14, berdasarkan data di laman sesawang SPR, Amanah bertanding di 11 kerusi DUN iaitu Parit Yaani, Simpang Jeram, Penawar, Serom, Senggarang, Pasir Raja, Kukup Kemelah, Mahkota, Maharani, Kota Iskandar dan Pulai Sebatang.
PKR pula bertanding di DUN Bukit Batu, Bukit Naning, Tanjung Surat, Sungai Balang, Rengit, Tenggaroh, Sedili, Semerah, Tiram, Pemanis, Johor Lama dan Layang-Layang.
Bagi DAP, parti itu bertanding 14 kerusi DUN meliputi Tangkak, Jementah, Bekok, Bentayan, Yong Peng, Mengkibol, Penggaram, Paloh, Johor Jaya, Skudai, Senai, Stulang, Perling dan Pekan Nanas.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan bersama di antara Amanah dan DAP serta Muda pada Rabu, kedua-dua parti dalam PH itu bersetuju menyerahkan enam kerusi DUN untuk ditandingi Muda pada PRN Johor.
Kenyataan bersama dibuat ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti berkenaan turut menjelaskan Muda bakal bertanding pada empat kerusi DUN milik Amanah iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja dan Puteri Wangsa, manakala dua lagi kerusi iaitu Bukit Permai dan Machap adalah milik DAP.
Enam kerusi DUN itu sebenarnya merupakan kerusi DUN yang pernah ditandingi Bersatu mewakili PH pada PRU14 dan kemudiannya diserahkan semula kepada Amanah dan DAP.
Justeru, berdasarkan perkembangan itu, Amanah memutuskan hanya mengambil alih lima daripada sembilan DUN baharu yang sepatutnya diperuntukkan kepada mereka, manakala DAP menyerahkan kedua-dua DUN baharu kepada Muda.
Selain itu, satu lagi perkara menarik dinyatakan dalam kenyataan bersama Muda-Amanah-DAP adalah status perbincangan di antara Muda dan PKR didakwa masih berjalan.
Namun, bagi sebilangan pemerhati politik, penjelasan itu sebenarnya mengundang spekulasi PKR dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan enggan melepaskan sebarang kerusi ditandingi mereka kepada Muda.
Dalam pada itu, spekulasi kemungkinan berlaku pertukaran kerusi di antara parti-parti dalam PH enggan disahkan oleh Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Rabu.
Jelas beliau, setakat ini, tiada lagi sebarang perbincangan konkrit mengenai cadangan pertukaran kerusi pilihan raya di antara parti-parti dalam PH.
"Namun, kalau sekiranya berlaku pertukaran pun, ia mungkin disebabkan faktor calon atau pengaruh parti di kawasan DUN ditandingi.
"Saya tidak tahu, kalau ada pun (pertukaran kerusi), kena diputuskan dalam mesyuarat dahulu," katanya lagi.
Pengerusi Amanah Johor itu bagaimanapun mengesahkan majoriti kerusi DUN yang pernah ditandingi Bersatu sewaktu bersama PH akan diagih-agihkan di antara Amanah dan PKR.
"DAP tidak ambil banyak sebab parti itu tidak bertanding di kawasan DUN majoriti pengundi Melayu," ujarnya.