RAMAI rakan Melayu merasa gelisah, hampa, marah malah ada yang putus asa melihat parti dan elit Melayu menuduh sesama lain sebagai pengkhianat demi merebut kuasa dalam PRN Johor dan PRU15. Mengapa Melayu berpecah dan tidak boleh bersatu?... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI rakan Melayu merasa gelisah, hampa, marah malah ada yang putus asa melihat parti dan elit Melayu menuduh sesama lain sebagai pengkhianat demi merebut kuasa dalam PRN Johor dan PRU15. Mengapa Melayu berpecah dan tidak boleh bersatu?

Jawapannya, Melayu berkebebasan untuk mengejar aspirasi termasuk kuasa masing-masing. Selagi ada aspirasi yang berlainan dan kebebasan untuk mengejarnya, mana-mana umat manusia pun akan berpecah. Perpecahan berlaku dalam semua kaum - Cina, India, Dayak dan Kadazan Dusun Murut, semua diwakili oleh tiga ke enam parti.

Ada yang suka mengaitkan perpecahan dengan kelemahan dan manipulasi orang asing. Hakikatnya, perpecahan dan persaingan sering berlaku kerana kekuatan yang setanding, bukan kelemahan. Sebagai contoh, pada tahun 1402, Empayar Uthmaniyah dan Empayar Timur berperang di Ankara bukan kerana kedua-dua kerajaan Muslim ini lemah, sebaliknya sangat kuat.

Melayu tidak akan berpecah hanya kalau Malaysia menjadi Korea Utara, atau sekurang-kurangnya orang Melayu sanggup diperintah oleh diktator seperti Kim Jong-un yang diwalakan oleh semua rakyatnya. Tetapi pemusatan kuasa akan disusuli dengan penyalahgunaan kuasa dan penzaliman rakyat. Adakah itu yang kita mahu?

PERSAINGAN SIHAT

Perpecahan juga tidak semestinya merugikan rakyat. Mengapa hypermarket seperti Mydin, Giant, Lotus dan AEON sentiasa cuba menawarkan harga rendah untuk menarik pelanggan? Kerana mereka berpecah. Kalau saudagar besar semuanya bersatu dan menjadi monopoli, maka habislah pengguna orang kebanyakan.

Olimpik dan pelbagai acara sukan berlaku juga hanya kerana ahli sukan berpecah dan bersaing, sama ada secara individu, berpasukan atau untuk negara. Kalau ahli-ahli sukan semua bersatu padu, tiadalah persaingan dan tiadalah penciptaan pelbagai rekod kehandalan manusia.

Jadi, soalan yang perlu ditanya, bukan bagaimana nak mengelakkan perpecahan antara elit Melayu, tetapi bagaimana memastikan perpecahan itu boleh menguntungkan orang Melayu dan juga watan Malaysia seluruhnya?

Hari ini rakyat sengsara kerana kenaikan harga makanan. Ini bukan konspirasi jahat mana-mana pihak atau ketidakpedulian kerajaan, tetapi kerana kejutan lantai penawaran yang melanda banyak negara, bukan saja Malaysia. Apakah penyelesaian yang berkesan?

Hari ini rakyat takut bila rumah ditenggelami banjir atau dinding ditiup taufan. Ini tidak kena-mengena dengan ketakwaan pemimpin, tetapi adalah karma kita membinasakan alam sekitar. Bagaimana kita mengurangkan perubahan iklim dan pembalakan? Apakah penyelesaian yang berkesan?

Hari ini anak muda tidak mampu membeli rumah kerana harga melambung naik, manakala orang tua takut jatuh sakit kerana tidak mampu membiayai kos perubatan yang tinggi. Ini trend yang melanda sedunia, bukan di Malaysia sahaja. Apakah penyelesaian yang berkesan?

Di sinilah kita perlu parti-parti sama ada Melayu atau selainnya, berpecah atas idea dan bersaing dengan menawarkan dasar dan langkah penyelesaian yang lebih baik, bukan sekadar tuduh-menuduh. Maka, siapa menang pun, rakyat tetap dimanfaatkan.

Kalau parti-parti dan ahli-ahli politik Melayu dapat bersaing secara profesional seperti ahli sukan dan perniagaan, bukan sahaja orang Melayu tetapi semua rakyat Malaysia akan untung. Hanya dalam persaingan sihat munculnya kestabilan mampan.

Sebaliknya kalau mereka tidak berupaya atau tidak beramanah, maka perpaduan mereka untuk menutup kesalahan sesama lain hanya akan merosakkan bukan saja orang Melayu tetapi seluruh negara.

Siapa pengkhianat kepada siapa tidak penting, selagi burung pegar yang mengkhianati rakyat dapat dihukum rakyat.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca