SEORANG lelaki, Zakaria al-Adl dianggap melarikan diri dari Lubnan untuk pergi ke Eropah dengan menggunakan laluan laut selepas didapati hilang dari negaranya. Namun, tidak lama kemudian Zakaria dilaporkan terbunuh di Iraq. Berasal dari... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG lelaki, Zakaria al-Adl dianggap melarikan diri dari Lubnan untuk pergi ke Eropah dengan menggunakan laluan laut selepas didapati hilang dari negaranya. Namun, tidak lama kemudian Zakaria dilaporkan terbunuh di Iraq.

Berasal dari bandar Tripoli, utara Lubnan, dia yang berusia 22 tahun itu adalah salah seorang daripada sekurang-kurangnya lapan lelaki yang telah dilaporkan terbunuh di Iraq sejak Disember 2021 sekali gus menyebabkannya disyaki sebagai militan.

Mereka semua berasal dari daerah Tripoli yang kini jatuh miskin dan didakwa 'dipikat' menyertai kumpulan Daesh dengan janji akan memperoleh gaji yang baik, kata seorang pegawai keselamatan.

Berpuluh-puluh orang lagi dari bandar pelabuhan itu yang dipercayai baru-baru ini telah menyertai Daesh dengan pengambilan mereka dikendalikan oleh seorang anggota militan di Tripoli yang tinggal di luar Lubnan, kata pegawai itu tetapi mengemukakan syarat supaya namanya tidak disiarkan.

"Kami tidak tahu dia berada di Iraq sehingga kami dimaklumkan tentang kematiannya (pada bulan Disember tahun lalu)," kata ibu Zakaria, Ghufran al-Adl, 56, kepada AFP dari sebuah unit apartmen yang mempunyai satu bilik tidur mereka di kejiranan Bab al-Tabbaneh iaitu salah satu tempat paling miskin di negara berkenaan.

Ghufran al-Adl menangis setelah anaknya, Zakaria meninggal dunia di Iraq. - Foto AFP

Zakaria hilang sejak musim panas yang lalu, sehinggalah tentera Iraq pada Disember tahun lalu menyiarkan imej dan video anggota-anggota Daesh mati dibunuh di wilayah Anbar, barat Iraq sehingga menyebabkan keluarganya mendapat tahu tentang kematiannya.

Seorang saudaranya lelakinya, Ali al-Adl memainkan satu rakaman video pada telefonnya yang menunjukkan jenazah Zakaria berada di dalam bonet sebuah kereta.

Ketika itu, tentera Iraq berkata, ia telah membunuh seramai 10 anggota Daesh menerusi serangan dan pertempuran yang berlaku dengan kumpulan militan tersebut.

FAKTOR KEMISKINAN

Keluarga Zakaria berkata, kemiskinan dan bukannya disebabkan oleh ideologi - adalah apa yang menyebabkan golongan muda untuk menyertai barisan militan ketika Lubnan sedang bergelut dengan krisis kewangan yang belum pernah terjadi sebelumnya di negara berkenaan.

"Apabila dia menghilangkan diri, kami menyangka bahawa beliau telah merancang untuk pergi ke Sweden secara tidak sah," kata Ali.

"Dia meninggalkan (Lubnan) kerana kemiskinan," kata Ali.

Ibu Zakaria pula memerlukan segera pembedahan jantung tetapi keluarganya tidak mampu menyediakan kewangan untuk tujun itu.

Sejak Ogos tahun lalu, berpuluh-puluh orang muda telah hilang dari Tripoli yang teruk terjejas akibat Lubnan dilanda krisis kewangan.

"Jumlah orang-orang muda yang menyertai Daesh dianggarkan ialah 48 (orang)," kata seorang pegawai keselamatan yang menjelaskan bahawa gelombang terbaharu yang meninggalkan Lubnan untuk menjadi militan itu ialah pada 18 Januari lalu.

Kata sumber yang sama kepada AFP, keluarga mereka memberitahu pihak berkuasa selepas dihubungi oleh anak-anak muda tersebut yang telah pun berada di Iraq.

Malah, sebelum permulaan krisis kewangan di Lubnan pada tahun 2019, bandar raya kedua terbesar di Lubnan itu dilihat sebagai kubu kuat militan.

Kawasan-kawasan kediaman yang paling miskin di bandar raya itu telah menjadi penyokong utama militan yang bertanggungjawab melakukan serangan terhadap tentera di Tripoli.

Beribu-ribu orang telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam rangkaian keganasan.

Pegawai keselamatan itu percaya bahawa motif kewangan adalah sebab utama golongan muda Tripoli menyertai Daesh.

GAJI MEWAH

Kumpulan itu memancing rekrut baharu dengan janji gaji mencecah sehingga AS$5,000 (RM20,924)," kata pegawai berkenaan.

Penasihat Keselamatan Iraq, Qassem al-Araji berkata pada Ahad bahawa Baghdad telah memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa Lubnan tentang ancaman Daesh.

Menteri Dalam Negeri Lubnan dijangka melawat Baghdad tidak lama lagi untuk membincangkan tentang kebimbangan itu, katanya.

Pada Januari tahun ini, kampung Wadi al-Nahleh berhampiran Tripoli menerima berita bahawa seorang penduduknya, Omar Seif adalah antara yang terbunuh di Iraq.

Omar meninggalkan Tripoli pada 30 Disember tahun lalu dan meninggal dunia hampir sebulan kemudian, menurut seorang saudaranya.

Ibunya mendapat tahu maklumat tersebut melalui WhatsApp, menurut seorang saudara yang bercakap kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau telah menghantar mesej kepadanya dan bertanya tentang keadaan dirinya.

Namun, jawapan yang diterima daripada individu yang menggunakan nombor yang pernah digunakan oleh Omar untuk menghubunginya ialah anaknya itu sudah meninggal dunia.

Tentera Iraq turut mengeluarkan kenyataan dengan menamakan Omar dan dua sepupunya sebagai rakyat Lubnan yang terbunuh dalam serangan udara terhadap anggota-anggota Daesh di wilayah timur Diyala.

Ibu Omar berkata, anaknya itu ialah seorang bekas banduan yang pernah ditahan kerana disyaki terlibat dalam serangan terhadap tentera dan yang mempunyai hampir tiada prospek pekerjaan selepas dibebaskan dari penjara.

"Dia terdesak," katanya kepada AFP dan meminta namanya tidak didedahkan atas sebab-sebab keselamatan.

Omar telah merancang untuk berkahwin dengan tunangnya dalam dua bulan akan datang yang menyebabkan dia berfikir tentang soal kewangan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca