SHAH ALAM - Keputusan membuka sepenuhnya sempadan negara kepada individu dari luar negara tanpa menjalani kuarantin wajib tidak akan memberikan implikasi buruk terhadap situasi penularan Covid-19 di dalam negara. Pakar Perubatan Kesihatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan membuka sepenuhnya sempadan negara kepada individu dari luar negara tanpa menjalani kuarantin wajib tidak akan memberikan implikasi buruk terhadap situasi penularan Covid-19 di dalam negara.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, pembukaan sempadan dilihat selamat untuk dilaksanakan dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan negara.

"Ini bermakna kita punya sistem MySejahtera, penjejakan kontak, pelaporan kes positif dan sebagainya itu kita kena pastikan sudah bersedia.

"Bila katakan sudah bersedia ataupun tidak, sebenarnya daripada sistem kesihatan itu kita sudah bersedia,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Farhan berkata, bagaimanapun pembukaan tersebut perlu dilaksanakan dengan penguatkuasaan dan syarat yang ketat termasuk mewajibkan pengambilan vaksinasi lengkap.

Beliau berkata, meskipun pertambahan kes dijangka akan terus berlaku ekoran daripada penularan varian Omicron, namun ia bukan merupakan indikator utama yang harus dilihat oleh rakyat pada ketika ini.

Katanya, indikator utama perlu diperhatikan oleh rakyat dalam menilai sistem kesihatan negara ialah jumlah kemasukan ke hospital dan unit rawatan rawatan rapi, pesakit memerlukan bantuan pernafasan serta yang paling penting jumlah kematian.

"Tiga indikator ini sebenarnya akan menunjukkan kita punya sistem kesihatan boleh tampung ataupun tidak. Jadi kita jangan silap dekat situ.

"Esok kalau kes cecah 100,000 pun, kalau yang masuk hospital jumlahnya 50 orang dan 10 perlu bantuan pernafasan manakala ada satu kes kematian, itu masih dikira terkawal,” ujarnya.

Dr Mohammad Farhan berkata, dengan penularan varian Omicron, kes harian Covid-19 di dalam negara sememangnya dijangkakan terus meningkat terutamanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Beliau bagaimanapun berkata, isu tersebut tidak perlu dibimbangani sekiranya majoriti rakyat Malaysia telah melengkapkan vaksinasi masing-masing termasuk dos penggalak.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, rakyat tidak perlu risau terhadap langkah untuk membuka sempadan negara kerana situasi Covid-19 negara ketika ini masih terkawal.

"Kes yang memerlukan rawatan dan mereka yang kritikal kekal rendah dan ia mampu ditangani oleh sistem perkhidmatan kesihatan.

"Ini berlaku berikutan liputan vaksin yang tinggi, membolehkan sebahagian besar individu terlindung daripada mendapat komplikasi serius. Vaksin juga didapati berkesan terhadap Omicron,” jelasnya.Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat kerisauan perlu diambil perhatian terhadap kumpulan berisiko iaitu warga emas mempunyai komorbiditi dan masih enggan menerima dos penggalak serta mereka yang masih belum lengkap vaksin.

Katanya, kerisauan itu termasuk kepada ibu bapa yang masih memiliki persepsi kurang baik terhadap vaksinasi anak-anak mereka.

"Sekiranya rakyat sudah ambil dos penggalak, amalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti dinasihatkan serta melakukan ujian kendiri setiap kali terdedah dengan aktiviti berisiko, kita sepatutnya boleh terus bergerak ke hadapan tanpa risau keterlaluan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca