SHAH ALAM - Penambahan 13 kesalahan baharu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) dapat mengelakkan kerugian kepada kerajaan.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ini kerana kesalahan itu sering kali dilakukan oleh pihak tertentu yang cuba membersihkan wang mereka daripada kegiatan penyeludupan melibatkan aktiviti perniagaan.
Menurutnya, penguatkuasaan tersebut membolehkan mereka yang terlibat diambil tindakan di bawah akta terbabit bagi mengelakkan pengubahan wang haram.
"Kegiatan yang menyalahi undang-undang ini sebenarnya memberikan kerugian kepada kerajaan. Misalnya, pihak terlibat akan menyeludup barang kawalan bersubsidi yang ditetapkan untuk rakyat ke luar negara dan menjualnya berdasarkan harga pasaran.
"Jadi, kerajaan akan mengalami kerugian jutaan ringgit disebabkan wang yang dikeluarkan sebenarnya bukan dinikmati oleh rakyat tetapi dihantar ke luar negara. Contohnya, jumlah tertentu untuk barang kawalan bersubsidi telah ditetapkan bagi kegunaan rakyat, tetapi barang tersebut tidak cukup di pasaran kerana telah diseludup ke luar negara.
"Kerajaan terpaksa menambah bekalan untuk memenuhi keperluan rakyat sedangkan bekalan sebenar yang sedia ada sudah mencukupi tetapi aktiviti penyeludupan ini menyebabkan kerajaan terpaksa menambah subsidi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan KPDNHEP telah menambah 13 kesalahan baharu di bawah Akta AMLATFPUAA 2001 bertujuan membanteras isu-isu berhubung pengubahan wang haram yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti jenayah bersindiket perniagaan haram cetak rompak, barang tiruan, penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, penambahan 13 kesalahan baharu itu perlu dikuatkuasakan secara lebih tegas hingga mampu menakutkan penjenayah.
Jelasnya, undang-undang memang sudah ada dan banyak cuma mungkin pelaksanaannya kurang dan tidak berkesan.
"Penguatkuasaan baharu ini perlu lebih tegas hingga mampu menakutkan penjenayah kerana jika tidak, ia bermakna kuasa undang-undang itu tidak dapat dilihat keberkesanannya.
"Bukan setakat undang-undang, polisi kerajaan juga perlu dibetulkan. Sepatutnya tidak benarkan import sayuran yang boleh ditanam di negara ini seperti halia dan serai.
"Seperti negara lain, bukan senang nak masuk (import) barang, jadi kita perlu lihat kembali polisi untuk tidak import barang luar yang kita sudah ada sebab sindiket juga mempengaruhi polisi, jadi kena ubah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca