SHAH ALAM - Pakar-pakar kriminologi menggesa pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras jenayah cuci duit haram yang semakin berleluasa di negara ini.
Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, meskipun terdapat penambahan 13 kesalahan baharu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001), namun jika tiada penguatkuasaan, jenayah tersebut akan terus dilakukan.
Menurutnya, ini kerana kebanyakan kes jenayah hanya dibanteras secara bermusim menyebabkan pelaku tidak takut dan akan membuat perkara tersebut setelah penguat kuasa tidak menjalankan operasi.
"Kegiatan cuci duit sebenarnya sudah lama berlaku dengan pelbagai cara. Penambahan 13 kesalahan baharu ini satu perkara baik. Tetapi, dari segi penguatkuasaan perlu main peranan yang serius.
"Tidak boleh jika ada undang-undang, namun tindakan tidak dibuat. Masyarakat mahu melihat tindakan apa yang telah diambil kepada golongan cuci duit ini. Jika penguatkuasaan tidak diambil, tiada kesan. Ia tetap berleluasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, pakar Kriminologi dari Universiti Utara Malaysia, Dr Zalmizy Hussin berkata, inisiatif penambahan 13 kesalahan berkaitan jenayah cuci duit haram dapat membantu pihak berkuasa memburu serta menangkap penjenayah.
Namun begitu, katanya, ia perlu ditambah baik dari masa ke masa seiring dengan kecanggihan teknologi kerana psikologi bagi seorang penjenayah dari aspek modus operandi sentiasa berubah.
Jelas Zalimizy, sekiranya usaha tersebut berjaya, sudah pasti tiada ruang bagi penjenayah untuk mencuci duit haram mereka.
Klik di sini untuk terus membaca