PADA 6 Februari lalu, saya dijemput oleh Majlis Perundingan Muhibah Pulau Pinang sebagai salah seorang pembentang pada Forum Perpaduan 2022. Saya diberi tajuk ‘Kepentingan Integriti dan Integrasi: Menuju Kecemerlangan Malaysia. Integriti... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 6 Februari lalu, saya dijemput oleh Majlis Perundingan Muhibah Pulau Pinang sebagai salah seorang pembentang pada Forum Perpaduan 2022. Saya diberi tajuk ‘Kepentingan Integriti dan Integrasi: Menuju Kecemerlangan Malaysia.

Integriti dan integrasi adalah dua konsep penting untuk difahami di Malaysia. Kemajuan dan pembangunan negara sangat bergantung kepada kefahaman rakyat terhadap dua konsep ini dan amalan mereka yang berkaitan.

Yang pertama ialah integriti. Satu perkataan yang menjadi popular bermula tahun 2004 selepas Tun Abdullah Badawi memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (Integriti). Konsep integriti diperkenalkan Abdullah pada ketika itu adalah satu konsep yang menganjurkan sifat-sifat baik, amanah, jujur dan tidak menyalahgunakan kedudukan dan kuasa. Konsep ini penting bagi menentukan Malaysia melahirkan rakyat berintegriti agar negara lebih makmur dan maju tanpa ketirisan akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Konsep integriti diperkenalkan agar kita tidak terus-terusan cuba memerangi rasuah, seolah-olah satu usaha menongkah arus kerana rasuah yang sudah parah dan berakar umbi dalam masyarakat. Sebaliknya yang diharapkan adalah untuk memulakan usaha membudayakan integriti dari bawah secara bersasar melalui lapan sektor masyarakat iaitu sektor awam, swasta, politik, institusi keluarga, masyarakat sivil, komuniti, institusi agama dan sosiobudaya.

Kita sedia maklum akan implikasi rasuah kepada sesebuah negara. Kita boleh lihat apa yang berlaku di Sudan Selatan dan Somalia akibat rasuah. Sebab itu, konsep integriti menjadi sangat penting untuk difahami, diamalkan dan dijadikan budaya dalam kalangan rakyat untuk menentukan kejayaan Malaysia pada masa hadapan.

Kedua penting yang perlu difahami semua ialah konsep integrasi. Seperti integriti, integrasi adalah satu konsep penting yang mula dibicarakan di Malaysia selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Antara usaha penyatupaduan rakyat Malaysia yang dilaksanakan Tun Abdul Razak dalam tahun 1970, usaha memupuk perpaduan nasional atau integrasi nasional ini menjadi perkara utama yang kita boleh baca hampir dalam setiap bab dalam Rancangan Malaysia Kedua.

Kita juga sedia maklum implikasi kepada sesebuah negara yang masyarakat majmuknya hidup bercakaran dan sentiasa berada dalam konflik. Kita sedia maklum apa berlaku kepada negara-negara yang berada dalam konflik perkauman untuk kita fahami pentingnya konsep integrasi difahami. Kita semua menjadi jambatan penghubung pelbagai kaum dan agama dalam Malaysia.

Saya pernah menulis dalam kolum ini mengenai Perpaduan yang kita dambakan. Setelah hampir 65 tahun kita merdeka, rakyat Malaysia masih mendambakan untuk semua rakyat dalam Malaysia ini hidup bersatu padu. Mungkin perpaduan masih jadi impian namun kita telah mencapai kesepaduan sosial yang perlu kita pelihara dan jaga.

PERPADUAN

Apa yang penting sekarang adalah agar rakyat dalam negara ini tidak kira kaum dapat mengambil peluang untuk melaksanakan usaha penyatupaduan. Perpaduan negara tidak akan datang begitu sahaja seperti kata pepatah ‘yang bulat tidak datang bergolek dan yang nipis tidak datang melayang. Tidak semudah itu. Sebab itu usaha penyatupaduan perlu dipupuk dan dibajai.

Semua rakyat Malaysia mempunyai peranan membantu kita mencapai impian untuk melihat rakyat Malaysia terus hidup dalam harmoni dan muhibbah. Ini boleh kita capai bersama sekiranya para pemimpin politik juga dapat memainkan peranan mereka.

Apakah peranan pemimpin-pemimpin politik? Mereka harus berhenti daripada memainkan sentimen perkauman dan memecahbelahkan rakyat hanya untuk meraih sokongan. Cukup-cukuplah menggunakan agama dan bangsa untuk kepentingan peribadi masing-masing. Malaysia ini negara untuk semua kaum dan agama yang ada di sini. Ini negara tanah tumpah darah kita semua.

Sama-samalah kita pelihara negara ini. Semoga Malaysia dianugerahkan pemimpin-pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat berbilang kaum sesuai dengan apa yang terkandung di dalam perlembagaan persekutuan mengatasi kepentingan peribadi mereka.

Selamat menyambut Chap Goh Meh pada 15 Februari ini. Salam hormat.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca