DILUAH mati mak ditelan mati bapak. Itulah situasi dihadapi sebahagian besar isi rumah dan pengguna di Malaysia sekarang terutama golongan berpendapatan rendah (B40) berikutan peningkat kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan... Klik di sini untuk terus membaca
DILUAH mati mak ditelan mati bapak. Itulah situasi dihadapi sebahagian besar isi rumah dan pengguna di Malaysia sekarang terutama golongan berpendapatan rendah (B40) berikutan peningkat kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan harian terutama dua sumber protein utama rakyat iaitu ayam dan telur, sejak kebelakangan ini.

Manakan tidaknya, rakyat marhaen kini tersepit di tengah-tengah apabila tiada tempat mengadu berikutan kurangnya tindakan pihak berwajib menangani isu kenaikan kos sara hidup dan inflasi yang melanda negara.

Selepas dihambat isu kenaikan harga ayam yang pernah mencecah sehingga RM10 sekilogram, kini rakyat berdepan pula dengan masalah kekurangan dan kenaikan harga telur ayam yang menjadi sumber protein paling murah dan mudah didapati.

Keadaan itu, menjadi semakin serius apabila berlaku krisis bekalan telur ayam dikatakan hampir tiada langsung dijual di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara kerana isu pengeluaran di ladang ternakan yang rendah dan akibat pembelian panik.

Untuk rekod, rakyat Malaysia seramai 32 juta memerlukan 11.5 bilion biji telur setahun. Ini berdasarkan anggaran 31 juta telur diperlukan setiap hari bagi memenuhi keperluan permintaan bahan makanan ini.

Malah, pihak berkepentingan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) lebih suka menunding jari dan menyalahkan antara satu sama lain daripada kembali ke meja rundingan untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

JEFFREY


Jadi tidak hairanlah jika Penasihat FLFAM, Datuk Jeffrey Ng ketika dihubungi Sinar Premium, menegaskan punca utama kenaikan harga ayam dan kekurangan stok telur ayam di pasaran tempatan sekarang adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan menetapkan harga munasabah bagi kedua-dua barangan keperluan berkenaan.

Jeffrey mendedahkan, pertenak ayam sekarang menghadapi dilema untuk meneruskan perniagaan kerana mereka beroperasi dalam keadaan rugi susulan peningkatan kos operasi terutama harga dedak dan makanan ternakan.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan menurunkan harga siling ayam standard 20 sen kepada RM8.90 sekilogram mulai 5 Februari lalu hingga 5 Jun depan berbanding RM9.10, sebelum ini.

"Kamu tanyalah kerajaan kenapa harga ayam terus naik dan bekalan telur berkurangan di pasaran tempatan sekarang. Macam mana kami boleh membekalkan ayam dan telur dengan harga lebih rendah dan mencukupi jika kos operasi terus meningkat.

"Tiada siapa nak rugi dalam perniagaan, sebagai contoh jika kamu berniaga cendol dan kosnya RM3, masakan kamu nak jual cendol RM2. Begitu juga dalam industri perternakan, daripada kami terus rugi dan gulung tikar baik kami berhenti ternak ayam buat seketika," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ketika dihubungi wartawan Sinar Premium, pada Rabu, menafikan bahawa kerajaan menjadi punca utama kenaikan harga ayam dan kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan sekarang.

Rosol, menegaskan kerajaan sudah melakukan yang terbaik bagi mengurangkan impak peningkat kos sara hidup terhadap rakyat di negara ini.

Sebagai sebuah agensi kerajaan KPDNHEP perlu mengambil kira pelbagai aspek dengan memastikan wujud keimbangan antara kemampuan pengguna dan keperluan peniaga bagi membolehkan semua pihak mendapat faedah walaupun sedikit.

Beliau berkata, KPDNHEP juga sentiasa mengadakan perbincangan dengan MAFI bagi memastikan bekalan dan harga barang makan di pasaran tempatan stabil dan tidak membebankan rakyat.

"Antara cadangan terbaik yang dibincangkan oleh KPDNHEP dan MAFI bagi mengatasi masalah kekurangan dan kenaikan harga telur ayam di pasaran tempatan adalah dengan memperkenalkan subsidi," katanya.

Dalam pada itu, Rosol berkata biarpun hasil pemeriksaan KPDNHEP mendapati memang wujud masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran tempatan namun kementeriannya tidak berbuat apa-apa kerana ia di bawah bidang kuasa MAFI.

"Kalau bab bekalan ayam dan telur ia di bawah tanggungjawab MAFI. Kalau kita periksa bekalan tiada di pasaran KPDNHEP akan melaporkan kepada kementerian berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Kabinet pada Rabu bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penternak akan menerima subsidi RM0.60 sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, manakala RM0.05 bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Subsidi selama empat bulan mulai Sabtu lalu hingga 4 Jun depan, dijangka membabitkan peruntukan RM528.52 juta.

Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, ia akan berkuat kuasa selepas berakhirnya SHMKM pada Jumaat lalu, dengan harga itu akan kekal sehingga 5 Jun depan, iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam segar dalam pasaran.

Sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam segar di pasaran masa ini akan melebihi RM10 sekilogram.

MOHD YUSOF


Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berharap semua pihak berkepentingan termasuk MAFI, KPDHEP dan pihak industri dapat duduk semeja dalam masa terdekat bagi menyelesai isu berkenaan.

Yusof berkata, pihak berkuasa terutama KPDHEP dan MAFI dapat menjalankan siasatan terperinci mengenai kemungkin wujud 'kartel' atau pakatan pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan berlebihan susulan masalah bekalan ayam dan telur ayam di pasaran tempatan sekarang.

"Sebelum ini negara menghadapi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam dan sekarang ini telur ayam pula, jadi besar kemungkinan wujud pakatan dalam kalangan pengeluar dan penggiat industri ternakan termasuk pemborong untuk mengaut keuntungan lebih berikutan kekurangan bekalan ayam dan telur.

"Kerajaan juga dicadang mengurangkan kadar cukai import bahan makanan ternakan kerana pihak industri sentiasa memberikan alasan mereka terpaksa menaikkan harga ayam dan telur kerana kenaikkan harga kos import makanan ternakan seperti soya dan jagung," katanya.

Adakah masalah kenaikan harga ayam dan kekurangan bekalan telur berpunca daripada kerajaan sekarang kurang tegas terhadap peniaga, pemborong dan pihak industri, Yusof berpandangan perkara itu tidak betul.

Baginya, isu ini tidak timbul kerana kerajaan terdahulu dan sekarang menghadapi masalah sama iaitu kenaikan harga barangan keperluan termasuk ayam dan telur.

"Biasanya kalau berlaku masalah kenaikan harga ayam kerajaan akan memutuskan supaya Malaysia mengimport ayam beku dari luar negara bagi meningkatkan bekalan dan menstabilkan harga di pasaran tempatan.

"Saya rasa kerajaan perlu melakukan perkara sama iaitu membenarkan import telur ayam dari negara jiran seperti Thailand untuk meningkat bekalan dan menstabil harga di pasaran tempatan, pada masa depan," katanya.

INFO:

1. Rakyat Malaysia guna lebih 30 juta telur ayam sehari atau 930 juta biji sebulan.

2. Terdapat 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di Malaysia.

3. Bekalan telur ayam sedia ada hanya mampu tampung 91 peratus daripada keperluan sebenar. Klik di sini untuk terus membaca