SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mendedahkan proses tawar-menawar untuk agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu bersama Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) masih berlangsung dan bakal dimuktamadkan secepat mungkin.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mendedahkan proses tawar-menawar untuk agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu bersama Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) masih berlangsung dan bakal dimuktamadkan secepat mungkin.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh membayangkan jumlah agihan kerusi diperuntukkan PKR kepada Muda mungkin tidak sampai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipersetujui kedua-dua pihak.

Kemungkinan itu disuarakan Ahli Parlimen Ledang meskipun PKR Johor sudah menawarkan tiga kerusi DUN yang dirasakan bersesuaian kepada parti baharu itu sebagai ketetapan asas perundingan.

Menggunakan analogi proses tawar-menawar kerusi DUN seumpama membeli barang, Syed Ibrahim menjelaskan sekiranya kerusi DUN ditawarkan PKR itu bernilai tinggi, berkemungkinan Muda akan berpuas hati walau pun hanya diberi satu atau dua kerusi sahaja.

"Bagi mengelakkan tanggapan negatif kepada PKR dan Muda, saya menegaskan proses rundingan masih berlaku dengan usaha tawar-menawar masih berjalan.

"Kedua-dua parti juga sedang menumpukan usaha menyelesaikan proses rundingan secepat mungkin kerana PKR dan Muda perlu menumpukan usaha berkempen PRN dalam suasana prosedur operasi standard (SOP) tidak menentu.

"Cuma proses rundingan macam kita berunding beli barang. Jika 'barang' itu bernilai tinggi, jadi (Muda) diberi satu atau dua 'barang' pun sudah cukup jika 'barang' itu bagus," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan yang timbul daripada kenyataan kedua-dua parti iaitu Muda dan PKR apabila masing-masing menyatakan masih menunggu maklum balas antara satu sama lain terhadap penawaran dan permintaan jumlah kerusi DUN bakal ditandingi Muda.

PKR Johor mengenepikan terdapat permasalah dalam rundingan kerusi PRN Johor di antara parti itu dan Muda.

Muda dalam satu kenyataan media menyatakan parti itu sudah mengemukakan permohonan mendapatkan tiga kerusi DUN yang pernah ditandingi Bersatu sewaktu bersama PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) daripada PKR.

Manakala, Syed Ibrahim dalam satu kenyataan sebaliknya menjelaskan parti itu sudah menawarkan tiga kerusi DUN kepada Muda dan sedang menunggu maklum balas daripada parti diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada Rabu, Muda, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP mengumumkan ketiga-tiga parti itu sudah bersepakat bahawa enam kerusi DUN yang pernah ditandingi Bersatu sebelum ini dan kini diagihkan kepada Amanah dan DAP, bakal diserahkan kepada Muda bagi menghadapi PRN Johor.

Enam kerusi DUN berkenaan adalah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim menegaskan status perundingan kerusi pilihan raya di antara PKR dan Muda adalah terserah kepada nilai rundingan kerusi DUN yang dipinta.

Beliau turut berkeyakinan proses rundingan itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat demi kepentingan kedua-dua pihak.

Ditanya mengenai kerusi DUN terlibat dalam proses permintaan dan penawaran daripada kedua-dua parti, Syed Ibrahim enggan memberi maklumat lanjut bagi menjaga adab perbincangan dengan Muda.

"Ia terserah kepada nilai rundingan kerusi yang dipinta dan ditawar. Saya tidak perlu bagi maklumat lanjut kerusi DUN apa yang terlibat bagi menjaga adab perbincangan dengan Muda.

"Paling penting, kemungkinan agihan kerusi kepada Muda tidak semestinya dipersetujui tiga DUN, mungkin dua atau satu. Tetapi melalui asas perbincangan, kerusi PRN Johor ditawarkan PKR kepada Muda adalah tiga DUN dan perkara itu adalah ketetapan jelas yang tidak perlu dipertikaikan," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca