HARI ini Mat Taici macam orang lain juga, masih bekerja demi melunaskan pinjaman-pinjaman seperti kereta, rumah dan bil-bil.Tetapi bukan kerja di pejabat. Kerja dari rumah sebab syarikat tempat Mat Taici bekerja menyahut saranan kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca
HARI ini Mat Taici macam orang lain juga, masih bekerja demi melunaskan pinjaman-pinjaman seperti kereta, rumah dan bil-bil.

Tetapi bukan kerja di pejabat. Kerja dari rumah sebab syarikat tempat Mat Taici bekerja menyahut saranan kerajaan untuk kembali bekerja di rumah. Ini semua sebab Omicron.

Kalau tak kerja boleh kusut kepala nak lunaskan komitmen bulanan. Makanan? Ada simpan sikit duit.

Biasanya memang Mat Taici makan di rumah dan di tempat kerja isteri bekalkan nasi termasuk ikan masih, wajib ada.

Cuma hari ini anak dan isteri Mat Taici teringin nak tukar selera. Nak makan kek buat sendiri dan ayam goreng pedas dan rangup dari restoran makanan segera. Buka aplikasi pesanan makanan, semuanya hampa. Yang hanya ada nuget dan makanan lain.

Terpaksalah Mat Taici keluar beli sambil-sambil ke kedai beli telur untuk isteri buat kek kukus coklat dicurahi keju.

Pergi kedai sini ayam habis, pergi kedai sana pun ayam habis, pergi kedai tempat lain pun ayam habis. Orang lain pun mengeluh perkara yang sama rupanya. Tak jumpa ayam goreng.

Rupanya restoran itu juga berdepan krisis bekalan ayam rupanya. Terpaksa pasrah dan pergi kedai beli telur, tiga kedai juga Mat Taici singgah baru jumpa telur gred A.

Krisis bekalan ayam dan telur ini sudah beberapa bulan berlaku di mana pemain industri, penternak mengeluh harga bekalan dedak dan kos penyelenggaraan meningkat.

Impaknya, mereka perlu menaikkan harga untuk untung yang tidak seberapa tetapi bagi pengguna terakhir seperti Mat Taici, cukup dirasai.

Pada Rabu, Mat Taici dengar Kabinet bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee cakap, penternak akan menerima subsidi RM0.60 sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, manakala RM0.05 bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Subsidi selama empat bulan mulai Sabtu lalu hingga 4 Jun depan, dijangka membabitkan peruntukan RM528.52 juta.

Persoalan Mat Taici cukup ke bantuan yang diberikan memandangkan penternak masih mengeluh dan mahukan tindakan drastik kerajaan bagi menetapkan harga munasabah bagi kedua-dua barangan keperluan berkenaan selaras dengan kos yang mereka terpaksa tanggung.

Jika tidak ramai yang akan bersara dari menternak.

Bahagian ini Mat Taici risau sebab nanti lagi susah mahu cari ayam.

Pss: Teringat pertanyaan ‘ayam dulu atau telur dulu’. Klik di sini untuk terus membaca