PADA saat tumpuan rakyat Johor terarah kepada kemungkinan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Spekulasi bertiup kencang mengatakan bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN), berkemungkinan tidak tercalon bagi mempertahankan kerusi DUN Layang-Layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ditambah kerusi DUN Layang-Layang di Parlimen Simpang Renggam berstatus pengundi campuran dengan komposisi pengundi Melayu melebihi 40 peratus, tidak hairanlah keputusan itu mungkin menjadi realiti.
Onn Hafiz yang juga cicit kepada pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar turut dilihat berdepan cabaran berat memenangi kerusi DUN itu susulan beliau hanya menang dengan majoriti sangat tipis iaitu 364 undi, mengatasi dua calon lain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pada PRU14.
Berikutan itu, sumber dalaman BN Johor memaklumkan terdapat kemungkinan kerusi DUN Layang-Layang sedang dipertimbangkan UMNO untuk ditukar dengan MCA.
Hal ini susulan UMNO turut mengintai beberapa kerusi majoriti Melayu milik MCA termasuk Tangkak, Senai dan Pemanis.
"Ya, ada kemungkinan Onn Hafiz tidak bertanding (PRN Johor) kerana beliau sedang dipersiapkan untuk menjadi calon UMNO dan BN bagi bertanding kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15.
"Kerusi Parlimen itu sebelum ini ditandingi Gerakan. Namun apabila parti itu berpaling tadah daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN), terdapat tuntutan supaya kerusi Parlimen itu diserahkan semula kepada UMNO.
"Sebagai balasan, terdapat cadangan supaya kerusi DUN Layang-Layang ditukar dengan MCA. Namun, keputusan terakhir terletak di tangan BN Johor dan Pusat," kata sumber dalaman BN Johor itu kepada Sinar Premium pada Selasa.
Kerusi DUN Layang-Layang sebelum ini menjadi tumpuan apabila Maszlee yang pernah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja bakal dipertaruhkan PKR untuk bertanding di kerusi itu, bahkan turut disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya blok pembangkang menang PRN Johor.
Bagaimanapun, DAP pada masa sama turut menunjukkan minat untuk meletakkan calon parti itu di situ dengan nama calon Melayu yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim dikatakan menjadi pilihan utama.
DUN Layang-Layang bukanlah kawasan tumpuan pada PRU lalu namun kali ini PKR membayangkan pengaruh Dr Maszlee mampu memberi kelebihan kepada parti itu.
Mengulas lanjut, sumber pemimpin BN Johor itu bagaimanapun mengakui karisma, prestasi cemerlang sebagai Exco Kerajaan Negeri serta hubungan baik Onn Hafiz dengan pihak Istana Bukit Serene mungkin membolehkan beliau terus kekal bertanding di DUN Layang-Layang.
"Perlu diingat, sekiranya strategi meletakkan Onn Hafiz bertanding kerusi Parlimen Simpang Renggam menjadi kenyataan, itu bukan bermaksud beliau disingkirkan parti.
"Tetapi keputusan itu lebih kepada perancangan beliau menjadi ayam tambatan BN bagi menumbangkan calon heavyweight pembangkang iaitu Maszlee sendiri," jelas sumber BN Johor lagi.
Bagaimanapun, dakwaan sumber pemimpin BN Johor itu disangkal Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mohd Said yang menegaskan Onn Hafiz masih menjadi taruhan UMNO bahagian untuk mengekalkan kerusi DUN Layang-Layang.
Jelas beliau, perancangan meletakkan Onn Hafiz bertanding kerusi Parlimen Simpang Renggam mungkin akan dipertimbangkan parti sekiranya pelaksanaan PRN Johor dilaksanakan berserentak dengan PRU15.
"Tetapi, sekarang PRN Johor diadakan secara berasingan dengan BN Johor pastinya memerlukan calon berkualiti, bekerja keras dan menunjukkan prestasi cemerlang seperti Onn Hafiz untuk mengekalkan kerusi DUN yang dianggap 50-50 seperti Layang-Layang.
"Kita ada dengar juga ura-ura 'swapping' kerusi DUN Layang-Layang dengan MCA. Namun, saya fikir perkara itu sukar direalisasikan kerana MCA tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk bertanding di situ," katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz sewaktu dihubungi Sinar Premium menegaskan beliau reda dengan sebarang keputusan pucuk kepimpinan BN Johor, tidak kira sama ada kembali dicalonkan atau tidak.
"Sejujurnya saya redha dengan apa sahaja keputusan pucuk kepimpinan parti, sama ada bertanding atau tidak atau pun saya bakal dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen (Simpang Renggam) nanti.
"Saya sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat dan Exco Kerajaan Negeri.
"Saya akan menghormati segala keputusan yang bakal dibuat BN Johor dan Pusat. Apa pun kita tunggu sahajalah keputusan daripada parti kelak," ujarnya dengan tenang.
Klik di sini untuk terus membaca