SHAH ALAM - Masih ramai rakyat Malaysia yang belum membuat wasiat ketika hidup sehingga menyebabkan waris-waris berdepan kesukaran untuk mengagihkan harta pusaka selepas pemilik meninggal dunia.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, lebih 90 peratus masyarakat Melayu Islam di negara ini tidak menulis wasiat atau membuat hibah.
Ujar beliau, ia juga menjadi antara punca harta bernilai lebih RM60 bilion tidak dituntut dan dibekukan di pelbagai institusi membabitkan semua kaum.
"Membuat wasiat atau hibah ialah suatu proses mudah yang boleh dilakukan semasa hayat pemilik harta, yang kesannya kemudian hari akan memudahkan urusan pembahagian harta selepas kematian pemiliknya.
"Sekiranya tiada wasiat atau hibah, maka harta peninggalan akan dibahagikan menurut faraid atau pembahagian sama banyak sekiranya semua waris bersetuju dengan pembahagian sama banyak,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Musa berkata, pemilik harta perlu merujuk kepada peguam syarie atau pihak yang berautoriti dan dipercayai untuk mendapatkan nasihat mengenai wasiat.
Menurutnya, terdapat beberapa proses yang perlu diikuti oleh pemilik harta dan waris keluarga supaya wasiat tidak terbatal.
"Mereka perlu senaraikan semua harta yang menjadi miliknya dan apakah niatnya untuk membuat wasiat atau hibah.
"Bagi orang Islam, wasiat yang dibuat hendaklah mematuhi kehendak hukum syarak iaitu tidak boleh lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta dan tidak boleh diwasiatkan kepada penerima faraid melainkan dengan persetujuan kesemua waris setelah pemilik harta meninggal dunia.
"Jika tidak mematuhi kehendak tersebut, wasiat boleh jadi tidak sah dan batal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Musa berkata, ramai yang tidak membuat wasiat atau hibah kerana kurang kesedaran dan pengetahuan mengenainya.
Ujarnya, jika ada wasiat atau hibah, pembahagian harta akan menjadi lebih mudah dan memberi manfaat kepada waris kerana tidak akan timbul masalah berbangkit.
"Wasiat bukan sahaja penting untuk orang Islam, tetapi kepada semua kaum yang tertakluk kepada Akta Pembahagian Harta 1958 dan Akta Wasiat 1958.
"Hibah pula boleh diberikan kepada sesiapa sahaja walaupun lebih satu pertiga dan walaupun kepada ahli waris bakal penerima faraid.
"Harta yang boleh diwasiatkan atau dihibahkan ialah harta boleh alih seperti kereta, wang simpanan dan saham serta harta tidak boleh alih seperti rumah dan tanah,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca