SHAH ALAM - Hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan (PH) kini ibarat pinggan yang sudah retak seribu dan hanya menunggu masa untuk pecah berderai. Ini terbukti apabila Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan (PH) kini ibarat pinggan yang sudah retak seribu dan hanya menunggu masa untuk pecah berderai.

Ini terbukti apabila Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman bersama antara DAP dan Amanah bagi membenarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding atas tiket PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah, Anwar yang juga Pengerusi PH, tidak menandatangani kenyataan bersama PH bagi membenarkan Muda bertanding atas tiket PH.

Anwar dikatakan berbuat demikian kerana beliau enggan menyerahkan kerusi berpotensi menang milik PKR kepada Muda, selain kurang senang dengan tindakan DAP dan Amanah memberi ruang kepada parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertanding dengan menggunakan logo PH.

Tindakan DAP dan Amanah mengadakan rundingan dengan Muda tanpa kehadiran wakil PKR menunjukkan mereka sudah hilang rasa hormat dan tidak percaya lagi dengan kepemimpinan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, keengganan Anwar menyerahkan kerusi dikuasainya kepada Muda menunjukkan berlaku pepecahan dan tidak wujud persefahaman jitu yang sepatutnya ada dalam PH, menjelang PRN nanti.

Beliau berkata, perkara itu juga menunjukkan PKR, DAP dan Amanah mempunyai tahap penerimaan berbeza bersabit penyertaan Muda dalam PH sekali gus memberikan petanda bahawa wujud perbezaan pandangan ketara antara pucuk pimpinan pembangkang ketika ini.

JENIRI

"Tindakan Anwar tidak menandatangani kenyataan bersama (pembahagian kerusi kepada Muda) memberikan isyarat buruk dalam kalangan pengundi dan penduduk Johor terhadap PH ketika mereka harus dilihat bergerak ke hadapan bersama bagi menghadapi PRN Johor.

"Ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam tiga parti yang membentuk gabungan PH iaitu DAP, Amanah dan PKR," ketika kepada Sinar Premium pada Khamis.

Muda diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama Amanah dan DAP Johor.

Dalam kenyataan bersama antara Amanah, DAP dan Muda, keputusan itu berjaya dicapai selepas beberapa siri rundingan untuk pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor.

Enam kerusi diberikan DAP dan Amanah ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dalam satu kenyataan berasingan pada malam Rabu mengesahkan parti itu sedia menyerahkan tiga kerusi DUN kepada Muda untuk ditandingi dalam PRN Johor, pada 12 Mac nanti.

Bagaimanapun, Syed Ibrahim tidak mendedahkan nama kerusi berkenaan dan rundingan dengan pemimpin MUDA masih diteruskan.

Sebelum ini, Muda dilaporkan perlu mengemukakan dulu senarai 10 kerusi akan ditandingi pada PRN Johor, sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat.

Anwar juga dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dulu selepas menerima senarai berkenaan daripada Muda.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, kegagalan PKR menyerahkan kerusinya kepada Muda memberi gambaran Anwar tidak yakin dengan kemampuan Syed Saddiq dan Muda untuk merampas kerusi milik parti lawan terutama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor.

Berikutan itu, Jeniri berkata, PH memerlukan formula dan naratif baharu jika mereka tidak mahu kalah teruk seperti dialami pembangkang dalam PRN Melaka dan Sarawak, sebelum ini.

"PH perlukan angin perubahan dan naratif baharu, bukan lagi bergantung faktor lama. Jadi tindakan PH menerima Muda dalam gabungan pembangkang adalah sesuatu yang positif kerana peningkatan pengundi muda yang 'significant' mencecah lebih 700,000 orang," katanya.

Ditanya mengenai kemampuan Muda untuk memenangi kerusi DUN diserahkan oleh DAP, Amanah dan PKR, Jeniri berkata, peluang Muda untuk menang di mana-mana kerusi dalam PRN Johor kali ini adalah amat tipis kerana jentera partinya masih baru, tidak kuat dan bergantung kepada parti lain.

"Biarpun Muda adalah parti baharu yang dipimpin oleh Syed Saddiq dan disokong oleh parti DAP, Amanah dan PKR tetapi saya melihat bukan mudah untuk mereka menang mana-mana kerusi DUN kerana berhadapan dengan calon lain terutama BN yang dikatakan menjadi pilihan untuk menang PRN Johor kali ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca