SHAH ALAM - Kaedah membuat wasiat tidak sukar sebaliknya sangat mudah kerana seseorang hanya perlu pergi ke firma guaman atau institusi yang menawarkan perkhidmatan menulis wasiat. Pemilik firma guaman Tetuan Nas Rahman & Co, Mohamad... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kaedah membuat wasiat tidak sukar sebaliknya sangat mudah kerana seseorang hanya perlu pergi ke firma guaman atau institusi yang menawarkan perkhidmatan menulis wasiat.

Pemilik firma guaman Tetuan Nas Rahman & Co, Mohamad Nasruddin Ab Rahman berkata, selain firma guaman, terdapat juga pihak-pihak lain yang menawarkan perkhidmatan tersebut seperti syarikat pemegang amanah.

Malah, bank-bank utama juga turut menyediakan perkhidmatan tersebut.

"Sudah banyak institusi yang menawarkan perkhidmatan ini. Cara permohonan juga senang kerana kita hanya perlu menyatakan secara tepat wasiat yang mahu dibuat kepada peguam dan peguam akan menyediakan dokumen wasiat.

"Agihan harta wasiat tertakluk hukum syarak, iaitu hanya satu pertiga daripada harta seseorang boleh diwasiatkan sementara dua pertiga lagi difaraidkan kepada waris-waris yang sah,” katanya kepada Sinar Harian.Wasiat merupakan dokumen undang-undang yang menyatakan arahan bagaimana aset seseorang ingin diurus selepas kematiannya.

Mengulas lanjut, Mohamad Nasrudin memberitahu, sebaik sahaja menerima permohonan menulis wasiat, peguam akan mendapatkan maklumat berhubung jumlah keseluruhan aset pewasiat bagi menentukan jumlah aset yang boleh diwasiatkan.

Kata pengamal undang-undang itu, wasiat menjadi medium untuk membahagikan harta kepada bukan waris dengan melantik ‘wasi’ atau pentadbir harta bagi memudahkan urusan berkenaan.

"Wasiat akan berkuat kuasa setelah pewasiat meninggal dunia.

"Untuk pembahagian wasiat, mana-mana individu yang dilantik sebagai wasi perlu mendapatkan geran probet di Mahkamah Tinggi dan setelah menerima perintah itu, barulah wasi boleh mengurus dan mentadbir harta pusaka pewasiat.

"Sekiranya tiada apa-apa masalah, dalam tempoh dua ke tiga bulan proses menukar nama ini akan selesai,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya, jika ada waris yang tidak berpuas hati dengan wasiat yang dibuat, mereka boleh mencabarnya di mahkamah.

Mohamad Nasrudin menegaskan, jika keadaan itu berlaku proses agihan wasiat boleh berlanjutan antara enam hingga sembilan bulan atau lebih lama lagi.

"Lazimnya dalam kes sebegini, mereka dakwa pewasiat ‘dipengaruhi’ ketika membuat wasiat atau wasiat dibuat ketika pewasiat sakit.

"Jadi menjadi tugas peguam untuk mencari saksi yang mengesahkan wasiat terbabit. Jika tiada saksi, wasiat itu boleh terbatal,” jelas beliau.

Ditanya tentang kos untuk penyediaan dokumen wasiat, kata Mohamad Nasrudin, lazimnya caj perkhidmatan yang dikenakan adalah sekitar RM1,000 dan ke atas, manakala untuk penyimpanan wasiat dan seterusnya mendapatkan geran probet, kadar caj perkhidmatan sekitar tiga peratus daripada jumlah aset, bergantung kepada syarikat atau firma guaman berkenaan.

"Untuk penulisan wasiat (membuka fail) dan pengesahan wasiat, ia tidak semestinya perlukan peguam yang sama. Seseorang boleh menggunakan khidmat peguam yang berlainan,” tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca