SHAH ALAM - Seorang balu, Zainon Hussin, 55, berdepan masalah untuk mendapatkan harta peninggalan arwah suaminya termasuk rumah yang merupakan harta sepencarian kerana tiada wasiat dan terpaksa melalui proses undang-undang yang rumit untuk menyelesaikannya.
Zainon berkata, kematian suaminya adalah satu dugaan hebat buat dirinya yang mempunyai lima anak kecil yang masih bersekolah.
Menurut Zainon, dunianya terasa gelap gelita apabila mengetahui arwah suaminya tidak membuat sebarang wasiat dan pembahagian harta sebelum meninggal dunia.
"Pelbagai perasaan bercampur baur ketika itu. Saya tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku dan tidak tahu macam mana mahu menyelesaikannya.
"Saya mengambil masa beberapa minggu sebelum membuat keputusan memberi kebenaran dan menandatangani surat persetujuan yang membolehkan kesemua wang simpanan dan juga wang lebihan bayaran rumah dibahagikan kepada semua waris arwah iaitu saya, anak-anak dan juga adik-beradik arwah.
"Walaupun sebenarnya wang lebihan bayaran rumah itu adalah wang saya sendiri namun disebabkan penama rumah adalah arwah suami, maka saya perlu akur.
"Untuk mendapatkan rumah tersebut, saya perlu menjalani beberapa proses undang-undang dan juga persetujuan adik-beradik arwah bagi memberi hak sepenuhnya kepada saya.
"Alhamdulillah, adik-beradik arwah memahami dan bersetuju membantu proses menukar penama rumah tersebut,” ceritanya kepada Sinar Harian.
Zainon berkata, orang ramai diingatkan jangan ambil mudah mengenai wasiat dan pengurusan harta sehingga tidak melakukan persiapan yang sepatutnya.
Jelasnya, apabila terjadi kematian dan si mati tidak membuat sebarang wasiat kepada waris, ia akan menyukarkan urusan pembahagian harta.
"Kepada yang masih belum membuat sebarang perancangan dan pembahagian harta, silalah buat segera. Fikirkan nasib isteri serta anak-anak pada masa depan.
"Banyak pengajaran yang boleh kita ambil iktibar. Kita juga sudah lihat banyak kes berebut harta sehingga ahli keluarga bergaduh sesama sendiri dan terpaksa turun naik mahkamah.
"Rancanglah pembahagian harta pusaka kerana usaha sepanjang hidup mengumpul harta tujuannya adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada waris.
"Jika gagal merancang ia akan menyusahkan waris kita kelak,” ujar Zainon.
Klik di sini untuk terus membaca