SUDAH 58 tahun Allahyarham Tan Sri P Ramlee mengingatkan kita tentang keperluan menguruskan harta sebelum mati dalam filem Tiga Abdul.
Di sebalik gelak tawa menonton filem tahun 1964 itu, ia banyak memberi pengajaran kepada kita dengan begitu halus sekali.
Filem tersebut mengisahkan kehidupan tiga beradik, Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub. Mereka anak kepada seorang saudagar kaya bernama Ismet Ulam Raja di negeri Isketambola. Abdul Wahab dan Abdul Wahib digambarkan sebagai tamakkan harta, manakala Abdul Wahub seorang yang bijaksana.
Ada pengkaji filem mengatakan P Ramlee cuba mencelikkan masyarakat tentang kepentingan instrumen pengurusan harta pusaka iaitu faraid, wasiat dan hibah. Tiga Abdul telah memaparkan betapa dahsyatnya kesan berebut harta – putus saudara, darah daging bertukar zalim dan munculnya oportunis yang cuba mengambil kesempatan.
Ismet Ulam Raja telah menggunakan instrumen hibah untuk memberikan Abdul Wahub lebih bahagian harta di luar negeri bernilai 15 juta pound berbanding abang-abangnya, Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang mendapat harta di dalam negeri masing-masing berjumlah 5 juta pound dan 4.5 juta pound.
Kadar pemberian hibah adalah tidak terhad kepada jumlah tertentu. Ia berbeza dengan konsep wasiat iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi sepertiga daripada harta pusaka.
Pada zaman P Ramlee itu, aspek wasiat dan hibah agak janggal. Malah, hari ini pun ia sering diabaikan. Tidak hairanlah menurut laporan tidak sampai 10 peratus umat Islam yang menyiapkan surat wasiat atau hibah sebelum kematian.
Seorang penulis Indonesia, Andreas Freddy memberi judul bukunya Jangan Mati Dulu Sebelum Tulis Wasiat bagi mengingatkan masyarakat republik itu supaya menguruskan pembahagian harta sebelum meninggal dunia.
Malangnya di Malaysia, kira-kira RM60 bilion nilai harta pusaka dalam bentuk hartanah dan wang simpanan tidak dituntut sejak merdeka hingga kini, antaranya disebabkan tiada wasiat, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.
Nilai wang itu sangat besar tetapi terpendam begitu saja. Jumlah tersebut boleh memajukan ekonomi khususnya orang Melayu, malah boleh digunakan untuk membeli 14,000 buah rumah teres bernilai RM500,000 sebuah.
Kes pertikaian disebabkan berebut harta seperti digambarkan P Ramlee sentiasa berlaku dari masa ke masa. Carian di Google menunjukkan lebih 470,000 paparan berkisar ‘berebut harta’, sekali gus menunjukkan ia kini menjadi masalah besar kepada masyarakat Islam termasuk di Malaysia.
Perhatikan antara tajuk-tajuk akhbar dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengenai perbalahan akibat berebut harta. ‘Anak mohon ibu junjung al-Quran nafi wasiat bapa’, ‘Nenek ditumbuk sepupu tak puas hati pembahagian tanah pusaka’, ‘Gaduh berebut tanah, tangan putus ditetak’, ‘Gara-gara harta pusaka tak bertegur sapa’ dan ‘Adik dakwa kakak anak luar nikah demi bolot harta’.
Wasiat ialah satu dokumen yang berkuat kuasa selepas kematian. Kepentingan utama penulisan wasiat adalah untuk melantik pentadbir harta bagi memastikan aset dapat dicairkan dan diagihkan kepada waris.
Menurut Tun Salleh Abas, pengagihan mengikut faraid tidak dapat dijalankan tanpa proses pentadbiran. Maka, pelantikan wasi atau pentadbir merupakan kunci bagi membolehkan faraid dijalankan.
Wasi yang telah dilantik oleh pewasiat sebelum kematiannya inilah yang akan mentadbir harta pewasiat sesuai dengan kehendak dan pesanan yang diberitahu dalam wasiat.
Maka, sebaik-baiknya siapkan wasiat sebelum ajal mendekat.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca