PERTENGAHAN Januari lalu, mungkin ramai membaca kisah penuntut Semarang, Indonesia menjadi jutawan segera kerana penglibatan dengan NFT (Non-Fungible Tokens).
Sultan Gustaf Al Ghozali, penuntut universiti jurusan sains komputer secara tidak sengaja telah memuat naik gambar dirinya duduk di hadapan komputer ke platform dagangan NFT OpenSea.
Menggunakan tajuk ‘Ghozali Everyday’, penuntut berusia 22 tahun itu memuat naik aktiviti selfie di hadapan komputer yang dilakukannya sejak umur 17 tahun.
Menjelang konvokesyennya, Ghozali memutuskan memuat naik hampir 1,000 koleksi selfie untuk membuat video timelapse. Tanpa disedari, beliau telah meraih untung hampir AS$1 juta (RM4.2 juta) selepas menjual 317 ether.
Kisah lain dari Singapura, Irene Zhao memperoleh pendapatan lebih AS$5 juta (RM21 juta) Januari lalu selepas menjual 2,300 ether.
Persoalannya, bagaimana penuntut Indonesia dan model Singapura kelahiran China itu bijak memanfaatkan teknologi terkini NFT bagi meraih pendapatan lumayan.
Adakah remaja di Malaysia tidak tahu tentang proses penjualan menerusi teknologi blockchain? Adakah remaja kita hanya tahu menghabiskan wang menerusi pembelian NFT. Penulis percaya, sistem pendidikan sains komputer, aplikasi komputer atau computer programming system di Malaysia diperakui antara yang terbaik di rantau ini.
Penulis juga ingin tahu rahsia bagaimana Zhao yang juga NFT Influencer mencipta koleksi IreneDAO berdasarkan pelekat dibuatnya sendiri. Beliau kemudian memuat naik dalam komuniti Telegram dan berjaya mencapai jumlah dagangan 2,300 unit ether dengan nilai RM21 juta dalam masa 14 hari.
Apakah sebenarnya NFT (Token Tidak Berkulat). NFT merujuk kepada unit data disimpan dalam rantaian blok yang menjamin setiap aset digital unik dan tidak boleh diubah. Item digital berasaskan NFT disahkan melalui teknologi terdesentralisasi, boleh dimiliki dan didagangkan sama seperti item fizikal dalam dunia nyata.
Penulis sebelum ini telah mengupas tentang teknologi metaverse. Penulis percaya Ghozali dan Zhao bermula dengan niat berbeza tetapi mencapai hasil sangat mengejutkan. Ghozali bermula secara tidak sengaja, Zhao pula tahu apa yang dilakukannya. Malah, aksi Zhao berjaya menarik perhatian ramai netizen termasuk YouTuber terkenal, Logan Paul.
Paul dilaporkan berbelanja AS$250,000 (RM1.1 juta) untuk melancarkan koleksi IreneDAO bagi memberi peluang kepada NFT influencer lain mendapat pampasan lebih adil.
Sebagai NFT Influencer, Zhao juga terkenal kerana kepintarannya sebagai model Instagram jenama Zalora dan ADLV. Beliau memanfaatkan dua jenama itu untuk keseronokan dan pada masa sama memperoleh pendapatan lebih lumayan secara profesional.
Kejayaan Zhao yang bijak memanipulasi dunia blockchain memang sangat luar biasa. Beliau bijak mengumpan pengikutnya memasuki skim pump-and-dump. Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komunikasi, beliau awalnya memasuki dunia blockchain secara tidak sengaja. Ketika diwawancara, Zhao menyatakan NFT ialah kunci utama untuk menjadi kaya. Dengan mencipta koleksi NFT sendiri, Zhao membuktikan pencipta dalam talian boleh dibayar terus untuk kandungan tertentu.
Mengambil inisiatif persis pelabur bilionair, Mike Novogratz, Zhao kini sedang membina platform media sosialnya sendiri. Platform media sosial So-Col atau Social Collectibles diperkasakan sebagai modul untuk pencipta lain seperti Content Creater dan everyone-can-code berasaskan teknologi Apple untuk mengikut jejaknya.
Platform So-Col akan membenarkan pencipta melibatkan diri dengan pangkalan peminat mereka di luar batasan platform media sosial sedia ada. Peminat boleh melabur dan membeli hasil ciptaan tertentu. Menerusi cara tersebut, pencipta memperoleh keuntungan hasil kreativiti yang dianugerahkan kepada mereka.
Penulis mendapati senario itu telah disebut dalam surah al-Baqarah ayat 2:164. Justeru, penulis ingin mencabar remaja di Malaysia yang dilaporkan antara paling ramai memasuki teknologi blockchain.
Mungkin mereka membeli. Mulai sekarang, Malaysia juga harus melahirkan remaja jutawan hasil penjualan content dalam dunia NFT.
Rasanya sistem pembelajaran kita telah cukup memberi pendedahan lengkap kepada remaja ataupun jurutera komputer untuk memahami istilah NFT.
Kesimpulannya, menjadi pengikut atau pengguna tidak cukup untuk membentuk citra diri yang hebat. Malaysia harus menjadi pendahulu dan pencipta dalam dunia NFT bukan pengikut atau pengguna.
* Prof Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre Selangor
Klik di sini untuk terus membaca