SHAH ALAM - Kerajaan diharap dapat menyegerakan mekanisme pemberian subsidi sebanyak 60 sen setiap kilogram kepada penternak ayam. Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, sebagai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan diharap dapat menyegerakan mekanisme pemberian subsidi sebanyak 60 sen setiap kilogram kepada penternak ayam.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, sebagai penternak, pihaknya menyambut baik pengumuman daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang memandang serius situasi penternak ketika ini.

"Cuma masalahnya mekanisme dan jadual yang mereka akan bayar untuk subsidi kita masih belum tahu.

"Penternak perlu beli dedak setiap hari untuk beri ayam makan, jadi kalau dapat subsidi lewat pun kita tidak ada duit untuk beli makanan ayam.

"Penternak juga ramai yang terpaksa berhutang dengan pembekal dan menanggung kerugian disebabkan keuntungan mereka tidak dapat menampung kos operasi keseluruhan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.

Selain itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan juga akan memberi subsidi lima sen sebiji kepada pengeluar dan penternak untuk semua jenis kategori telur.

Menurutnya, tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari hingga 4 Jun iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Mengulas lanjut, Jeffrey turut menyambut baik usaha MAFI untuk mengadakan sesi libat urus secara berterusan dengan pihak industri bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi sekali gus dapat menangani isu kenaikan harga bahan makanan itu di pasaran.

"Ketika ini, apa yang perlu kita lakukan ialah duduk semeja antara pihak industri dengan kerajaan dan berbincang kaedah terbaik untuk menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.

"Ini supaya semua pihak faham akan situasi masing-masing, jika tidak masalah tidak akan selesai,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca