APABILA suhu menjunam jauh di bawah takat beku di Ankara, Turki dan harga tenaga melonjak, seorang wanita, Dondu Isler terpaksa membuat pilihan sukar iaitu sama ada tinggal dalam persekitaran panas atau mengekalkan bil utilitinya supaya... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA suhu menjunam jauh di bawah takat beku di Ankara, Turki dan harga tenaga melonjak, seorang wanita, Dondu Isler terpaksa membuat pilihan sukar iaitu sama ada tinggal dalam persekitaran panas atau mengekalkan bil utilitinya supaya terus mencatatkan harga yang rendah.

Dia kemudian mematikan alat pemanasan di dalam dua bilik tidur di unit apartmennya.

Menurut wanita berusia 61 tahun itu, hanya ruang tamu dan dapur yang sudah menjadi panas pada tahap minimum manakala badan pula dipanaskan dengan memggunakan selimut.

Harga tenaga di Turki dan negara-negara lain telah meningkat pada tahun lepas disebabkan oleh pulihnya permintaan dan suasana geopolitik yang tegang.

Namun, penduduk Turki juga telah melihat keseluruhan kuasa membeli mereka menyusut secara mendadak di tengah-tengah krisis mata wang dan inflasi yang tinggi sehingga mencapai hampir 50 peratus bulan lalu.

Isler dan suaminya tidak tahu bagaimana mereka akan membayar bil-bil, sewa dan makanan mereka pada masa hadapan.

Pendapatan mereka adalah daripada skim persaraan yang tidak seberapa iaitu bernilai 2,400 lira Turki (RM741.64) sebulan yang diperoleh oleh suaminya dan bekerja sebagai pengawal tapak pembinaan.

Mereka membayar sebanyak 380 lira (RM117.43) untuk tenaga elektrik dan gas pada bulan Disember.

Bil pada bulan Januari mereka adalah lebih dua kali ganda iaitu 960 lira (RM296.66).

Penduduk lain di negara itu turut menghadapi masalah yang sama kerana bil elektrik melonjak antara 52 peratus dan 127 peratus pada Januari lalu, bergantung kepada penggunaan.

Beberapa minuman juga dikenakan caj tambahan sebanyak empat lira (RM1.24) kepada pelanggan yang minum di teres yang mengalami persekitaran suhu yang panas.

Krisis mata wang bermula pada lewat tahun lepas selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi tekanan terhadap bank pusat untuk mengurangkan kadar faedah utama walaupun inflasi masih berleluasa.

Ia merupakan kaedah yang bertentangan dengan pemikiran ekonomi yang konvensional bagi melawan kenaikan harga.

Mata wang lira yang hilang 44 peratus daripada nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu ketika penduduk Turki bergegas untuk membeli emas dan mata wang asing.

Ramai penduduk Turki telah jatuh di bawah garis kemiskinan.

Garis kemiskinan di negara berkenaan ialah AS$4.3 (RM17.99) untuk setiap hari.

Kuasa beli penduduk Turki menyusut disebabkan kenaikan harga elektrik, krisis mata wang dan inflansi. - Foto AFP

Inflasi telah menjadi satu perkara yang sensitif di Turki iaitu sebelum pilihan raya umum diadakan pada Jun tahun depan yang mana peningkatan kos sara hidup mungkin akan menguasai kempen-kempen pilihan raya.

Pembangkang pula menuduh agensi statistik negara memandang rendah kadar inflasi dan ekonomi bebas Turki berkata, harga pengguna mencecah lebih 110 peratus pada Januari lalu.

Hacer Foggo iaitu pengasas sebuah rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tentang kemiskinan yang dikenali sebagai Deep Kemiskinan Network NGO berkata, inflasi telah memiskinkan setiap segmen masyarakat di negara berkenaan.

"Beberapa keluarga telah dipaksa untuk mengurangkan secara drastik jumlah perbelanjaan yang mereka belanjakan untuk makanan. Makanan sarapan pagi seperti telur, keju dan buah zaitun telah menjadi mewah," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Golongan kelas pertengahan yang suatu ketika dahulu mampu bertahan dengan krisis itu kini juga berada di bawah tekanan.

"Mereka telah mendapati sewa (rumah) mereka meningkat dua atau tiga kali ganda dan mereka terpaksa mencari rumah-rumah kecil atau di kawasan lebih jauh dari pusat bandar," kata Foggo kepada AFP.

Bagaimanapun, kesan terhadap golongan termiskin adalah lebih dramatik kerana mereka tidak lagi boleh bergantung kepada bantuan kewangan daripada rakan-rakan atau keluarga.

"Kami percaya 160,000 kanak-kanak dan anak-anak muda telah tercicir dari sekolah pada tahun 2021. Secara peribadinya, saya tahu dan membantu beberapa keluarga menerusi NGO kami," katanya.

"Sebahagian kanak-kanak itu berasa bertanggungjawab kepada pendapatan keluarga dan meninggalkan sekolah untuk bekerja. Kanak-kanak lain pula meninggalkan sekolah kerana mereka tidak boleh membayar tambang pengangkutan atau perbelanjaan lain," kata Foggo seperti dilaporkan oleh AFP.

Dia turut memberi amaran bahawa berikutan peningkatan mendadak harga makanan termasuk barangan asas dan susu formula bayi yang telah meningkat sebanyak 55.6 peratus, kekurangan zat makanan kini merupakan risiko yang serius untuk kanak-kanak.

Sesetengah ibu terpaksa memberi bayi mereka sup nyahhidrat dan bukannya susu formula, katanya.

Ali Golpinar iaitu ketua kampung di daerah yang kurang mewah di Ankara telah mewujudkan dana untuk golongan termiskin di kawasan kejiranannya.

"Kita sedang berjuang untuk mendapatkan wang," katanya.

Malah, persatuan yang dia tubuhkan yang mana golongan wanita tempatan boleh mengambil bahagian dalam kerja-kerja menjahit, memasak atau di bengkel-bengkel membentuk barangan kemas telah terjejas disebabkan harga tenaga yang lebih tinggi.

"Bil elektrik kami adalah 93 lira (RM28.76) pada bulan Disember. Selepas kenaikan harga, ia meningkat kepada 348 lira (RM107.61) dengan jumlah kuasa elektrik yang sama kami gunakan," kata Golpinar.

Syarikat-syarikat elektrik memotong tenaga elektrik luar dari kebanyakan rumah penduduk selepas mereka tidak dapat membayar bil-bil, katanya.

Dari Mugla di barat daya Turki ke Doğubeyazıt di timur, kenaikan tiga kali ganda bil elektrik telah menimbulkan kemarahan di seluruh negara sehingga munculnya protes.

Lebih banyak protes dirancang pada hujung minggu depan di Istanbul.

Namun, Erdogan mengesan bahaya yang akan timbul berikutan kenaikan harga itu.

Jurucakapnya, Ibrahim Kalin, pada Isnin berjanji untuk mengambil langkah-langkah perlu dan menyatakan rakyat Turki tidak akan dibiarkan hancur disebabkan masalah inflasi. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca