SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berpandangan sebarang keputusan pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama seharusnya diputuskan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berpandangan sebarang keputusan pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama seharusnya diputuskan dahulu oleh badan tertinggi Pas itu.

Hal ini kerana beliau berpendapat perkara itu adalah di bawah kuasa prerogatif Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin selain perlu mendapat persetujuan daripada majoriti ahli Majlis Syura Ulama.

Jelas beliau, sebarang usul pemecatan Ahli Majlis Syura Ulama di luar mesyuarat badan tertinggi Pas itu seharusnya dilihat bersifat pandangan atau cadangan walaupun dikemukakan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

"Saya punya pandangan hendak pecat Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, kena diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas. Majlis Syura pun belum bermesyuarat lagi.

"Begitulah juga sebarang keputusan untuk melantik Setiausaha Majlis Syura Ulama baharu kalau hendak diganti baharu. Seharusnya kena tunggu keputusan Majlis Syura Ulama.

"Sebarang keputusan dibuat di luar Majlis Syura Ulama, sepatutnya itu hanya pandangan atau cadangan sahaja daripada ahli-ahli AJK Pusat. Yang akan muktamadkan sewajarnya Majlis Syura Ulama sendiri," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengesahkan keputusan pengguguran Dr Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuat kuasa Khamis.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, pengguguran Dr Mohd Khairuddin telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat pada Rabu berikutan masalah disiplin.

Pada 12 Januari lalu, Dr Mohd Khairuddin digugurkan sebagai AJK Pas selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Berikutan itu, Dr Mohd Khairuddin kini hanya ahli biasa Pas tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.

Dr Mohd Khairuddin sebelum ini tersingkir ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November lalu.

Sebelum ini, Dr Mohd Khairuddin turut digugurkan daripada jawatan menteri dan digantikan oleh Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

DR MOHD KHAIRUDDIN


STATUS AJK YANG DILANTIK

Mengulas lanjut, Dr Mahfodz yang juga Ketua Sidang Assabiqun Pas Pusat bagaimanapun mengakui Jawatankuasa Pas Pusat masih mempunyai hak untuk membuat keputusan setelah isu berkaitan masalah tatatertib Khairuddin telah dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib Pas.

Ditambah dengan keputusan Dr Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan AJK Pas Pusat sebelum ini, Dr Mahfodz tidak menolak kemungkinan kapasiti Dr Mohd Khairuddin hanya berstatus AJK Pas Pusat lantikan menjadi faktor utama keputusan penyingkiran daripada jawatan Majlis Syura Ulama dibuat parti.

"Bagaimanapun saya tidak menolak hakikat Jawatankuasa Pas Pusat ada hak untuk membuat keputusan (pengguguran jawatan Khairuddin) setelah semua perkara ini dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib Pas.

"Oleh kerana beliau berstatus AJK Pas Pusat yang dilantik semula oleh Presiden, jadi Jawatankuasa Pas Pusat ada hak untuk membatalkan pelantikan Khairuddin dalam Majlis Syura Ulama.

"Apa pun, kita serahkan penyelesaian perkara ini kepada pucuk kepimpinan parti dan semua pihak diminta akur dengan segala keputusan dibuat," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Dr Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu membayangkan keputusan penggugurannya sebagai AJK Pas Pusat, adalah berkaitan dengan desakannya mahukan parti itu mengutamakan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Hal ini susulan pucuk kepimpinan Pas diketuai Abdul Hadi kini dilihat lebih cenderung untuk mengukuhkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Klik di sini untuk terus membaca