SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini mungkin menyaksikan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negeri itu selepas peristiwa 'Langkah Sheraton', bakal kekal. Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini mungkin menyaksikan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negeri itu selepas peristiwa 'Langkah Sheraton', bakal kekal.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, keyakinan itu diluahkan beliau susulan UMNO dan BN hakikatnya sedang berdepan penolakan rakyat Johor terhadap idea pelaksanaan PRN Johor pada saat mereka baru bangkit setelah terkesan pandemik Covid-19.

Jelas beliau, mood sebahagian besar rakyat Johor juga mahu melihat parti-parti Melayu di negara ini bersatu bagi mewujudkan sebuah kerajaan Melayu-Islam yang stabil, meskipun UMNO-BN bersikap terlalu yakin parti itu bakal menang besar PRN Johor.

Mahfodz Mohamed

"Saya difahamkan UMNO pun berdepan masalah dalaman parti ketika ini apabila pemimpin-pemimpin lama dan muda berebut sesama sendiri untuk bertanding PRN Johor disebabkan mereka terlalu yakin mampu menang besar kelak.

"Namun, saya berpandangan bukan sahaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas (dalam koalisi PN) tidak akan dapat majoriti kerusi, bahkan UMNO-BN juga berkemungkinan berdepan masalah sama kerana mood rakyat Johor sebenarnya menolak pilihan raya.

"Mood sebenar mereka sebenarnya mahukan parti-parti Melayu bersatu dan atas faktor itu, PRN Johor mungkin menyaksikan BN dan PN terpaksa ikut jajaran baharu dengan mengekalkan kerajaan campuran dua parti itu sebelum ini," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peluang kemenangan Pas dan PN pada PRN Johor susulan UMNO dan BN sebelum ini meluahkan keyakinan koalisi itu mampu menang besar dengan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri itu.

Sebelum ini, Pas memutuskan untuk meneruskan kerjasama politik dengan PN bagi menghadapi PRN Johor susulan rundingan dengan UMNO menerusi semangat Muafakat Nasional (MN) dilihat menemui jalan buntu.

Mood rakyat negeri Johor menolak PRN Johor ketika ini semakin kuat, justeru Mahfodz menjangkakan tiada parti yang akan dapat membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Mengulas perkembangan terkini rundingan pembahagian kerusi pilihan raya dalam PN, Mahfodz membayangkan Pas berkemungkinan bakal bertanding sekurang-kurangnya 10 hingga 13 kerusi DUN Johor mengambil kira sejarah kemenangan parti itu pada siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Meskipun proses rundingan kerusi masih berjalan, beliau mengharapkan Pas dapat bertanding pada sembilan kerusi DUN dimenangi musuh tradisinya, Parti Amanah Negara (Amanah) pada PRU14.

"Sewaktu saya menjadi Pesuruhjaya Pas Johor sebelum ini, Pas pernah memenangi empat kerusi DUN iaitu Parit Yaani, Maharani, Sungai Abong dan Tiram dalam beberapa siri PRU. Justeru, ditambah dengan DUN Bukit Pasir dimenangi kami pada PRU14, jadi lima kerusi ini sepatutnya boleh dianggap sebagai kerusi tradisi kami.

"Dengan kita pun berharap dapat bertanding pada sembilan kerusi DUN dimenangi Amanah pada PRU14, jadi Pas menyasarkan sekurang-kurangnya bertanding 10 hingga 13 kerusi DUN pada PRN Johor kelak.

"Namun, segalanya masih bergantung kepada keputusan dibuat Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang terlibat dengan proses rundingan dalam PN. Anggaran kerusi dilontarkan saya hanya sekadar cadangan," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca