SHAH ALAM - Seorang pelajar sekolah terpaksa hidup dengan 18 skru di tulang belakangnya sepanjang hayat kerana mengalami masalah kesihatan skoliosis atau pembengkokan tulang belakang yang didakwa berpunca daripada membawa bebanan beg sekolah yang berat.
Ibu kepada pelajar tersebut, Marziana Abdul Majid, 42, berkata, anaknya, Muhammad Adib Naufal Saiful Rizal, 15, mengalami kondisi tersebut sejak berusia 11 tahun dan terpaksa menjalani pembedahan kerana lengkungan bongkok pada tulang belakangnya telah mencecah sehingga 58 darjah.
"Anak saya lahir normal namun dia menghidap skoliosis tahap tiga ketika berumur 11 tahun. Apabila dia demam, saya membawa dia ke klinik dan ketika itu doktor memberitahu tulang belakang anak saya sudah senget dan nampak seperti ada bonggol.
"Pada mulanya, saya sangka ia bukanlah sesuatu yang terlalu serius. Semasa dia berumur 15 tahun, saya ada menghantarnya ke beberapa sesi terapi untuk membantu tetapi tulang belakang anak membengkok bentuk ‘S’ dengan lebih teruk.
"Doktor pakar berkata lengkungan bongkok pada tulang belakang anak sudah mencecah 58 darjah dan terpaksa melakukan pembedahan kecemasan secepatnya kerana tulang tersebut sudah menekan pundi kencing sehingga dia tidak dapat mengawalnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Apa yang lebih membimbangkan, Marziana berkata, pembedahan memasukkan skru untuk meluruskan tulang belakang yang dilakukan pada April lalu juga mempunyai risiko yang tinggi di mana anaknya hampir lumpuh.
"Skoliosis ini boleh menekan paru-paru dan akhirnya menyebabkan masalah pernafasan yang akan menyebabkan kematian. Jadi saya amat khuatir dengan keadaan anak saya ketika itu.
"Selain itu, kos pembedahan juga tinggi iaitu lebih RM20,000 kerana harga untuk satu skru bernilai RM1,000,” katanya.
Pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu mendakwa, punca tulang belakang anaknya bengkok adalah kerana bebanan beg berat di sekolah sejak kecil.
"Saya rasa ia bermula dengan membawa buku yang banyak ke sekolah setiap hari sehingga menyebabkan tekanan di belakang badan akibat bebanan yang berat.
"Pada pendapat saya, sekarang ini, terdapat banyak subjek di sekolah rendah. Untuk satu subjek pula memerlukan banyak buku dan satu hari, pelajar mempunyai lebih dari empat subjek jadi mereka akan rasa terbeban dan semestinya beg akan menjadi berat,” katanya.
Tambahnya, akibat penyakit skoliosis itu, anaknya tidak boleh mengangkat bebanan berat atau menyertai aktiviti sekolah yang lasak kerana sukar bernafas.
"Postur kepalanya juga senget dan tulangnya melengkung. Selepas pembedahan, tulang dia sudah semakin lurus dan boleh bersekolah seperti biasa cuma dia terpaksa hidup dengan skru tersebut sampai bila-bila,” katanya.
Marziana yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, bersyukur kerana keadaan anaknya yang semakin pulih, namun berharap agar kerajaan boleh membuat penambahbaikan kepada sistem pendidikan sedia ada dengan mengambil perhatian kepada kesihatan pelajar lain.
Klik di sini untuk terus membaca