TANGGAL 23 Januari lalu telah menyaksikan pelancaran sebuah institusi baharu yang diharapkan akan sangat dihargai – IDEAS Autism Centre (IAC) di Nilai. Di bawah sinaran mentari pagi menyinari taman permainan baharu yang ditaja dan sepetak... Klik di sini untuk terus membaca

TANGGAL 23 Januari lalu telah menyaksikan pelancaran sebuah institusi baharu yang diharapkan akan sangat dihargai – IDEAS Autism Centre (IAC) di Nilai.

Di bawah sinaran mentari pagi menyinari taman permainan baharu yang ditaja dan sepetak tanah yang berpotensi menjadi tapak kebun, Yang di-Pertuan Besar dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan bersama Tunku Besar Seri Menanti telah mencemar duli menghadiri majlis pelancaran serba ringkas di pusat tersebut yang terletak di sebuah kejiranan damai di sudut barat Negeri Sembilan, bersempadan dengan Selangor.

Rumah tersebut telah dipinjamkan oleh seorang dermawan yang pemurah bagi tujuan pendidikan kanak-kanak yang mempunyai gangguan spektrum autisme (ASD).

Bilik-bilik tidurnya telah ditukar menjadi kelas (lengkap dengan poster-poster abjad dan karya seni sebagaimana selalu dilihat di mana-mana sekolah rendah), manakala ruangan lain mengandungi peralatan-peralatan terapi.

Setelah dibawa melihat premis dan persekitarannya oleh Pengetua, Sharifah Salleh, saya mengucapkan terima kasih kepada para penaja yang telah menjadikan pelancaran IAC Nilai satu kenyataan – tuan tanah, Yayasan Sime Darby (YSD), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Yayasan Hong Leong, Yayasan RHYTHM, Yayasan Yara dan Tune Protect Group.

Penghargaan istimewa harus diberikan kepada pihak yang menjadikan pusat pertama kami di Rawang satu kejayaan, di mana YSD telah memainkan peranan amat penting.

Kami tidak pernah menyangka bahawa Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), sebuah organisasi yang memfokuskan kepada kajian dasar dan advokasi untuk memiliki sebuah pusat bagi kanak-kanak ASD.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Pengerusi YSD, Tunku Imran Tuanku Ja’afar (juga merupakan Tunku Muda Serting Negeri Sembilan) pada 2013, YSD telah memberikan sokongan kepada sebuah projek kajian IDEAS bertajuk Giving Voice to the Poor dan hasil kajian menunjukkan bahawa ibu bapa miskin yang mempunyai anak-anak autisme hampir tidak mempunyai capaian terhadap penjagaan serta sesi terapi khusus disebabkan kos tinggi.

Terapi IDEAS, walaupun amat janggal untuk sebuah badan pemikir, telah mencuba secara langsung menawarkan penjagaan dan terapi tersebut serta membawa kepada penubuhan pusat pertama kami di Rawang pada 2014 dengan penajaan daripada YSD di bawah tunjang pendidikannya.

IAC Nilai kini bersama-sama IAC Rawang menyediakan penjagaan, pendidikan dan terapi untuk kanak-kanak autisme daripada isi rumah berpendapatan rendah yang berusia sehingga sembilan tahun.

Sejak itu, kami telah membantu seramai 107 orang kanak-kanak berusia antara tiga hingga sembilan tahun. Seramai 81 orang daripada mereka telah berjaya memasuki sekolah kebangsaan dengan sebahagian daripada mereka melakukannya dengan amat baik.

Malah, pasukan yang diterajui oleh pengetua kini sedang mengadakan latihan untuk guru-guru di enam lagi pusat autisme di seluruh negara termasuklah sebuah pusat autisme indah yang saya lihat di Langkawi, Kedah.

Kerja kami diperkuatkan dengan perkongsian bersama universiti-universiti berdekatan.

IAC sedang mengambil bahagian dalam satu projek penyelidikan robotik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, manakala kami memberikan latihan kepada pusat pemulihan kanak-kanak autisme mereka serta satu kerjasama dengan Universiti Nilai akan menawarkan program pertolongan kecemasan, diet dan penjagaan gigi bersama Jabatan Kejururawatannya.

Tiada data epidemiologi berkenaan kelaziman autisme di Malaysia tetapi satu kajian dalam kalangan klinik kanak-kanak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kadar kelaziman ASD di Malaysia adalah dianggarkan 1.6 dalam 1,000 manakala Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia menganggarkan kira-kira 9,000 kanak-kanak di Malaysia didiagnos dengan ASD setiap tahun.

Statistik Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan seramai 203,765 orang didaftarkan sebagai Ketidakupayaan Pembelajaran setakat Januari 2021. Pendidikan khas

Sudah tentu, Bahagian Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertanggungjawab menyelaras dan mentadbir semua program pendidikan khas di sekolah arus perdana termasuklah kelas-kelas serba lengkap di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Inklusif, dengan lima orang murid berkeperluan khas diintegrasikan ke dalam kelas-kelas arus perdana.

Namun, semua itu tidak memenuhi keperluan khusus kanak-kanak autisme. Disebabkan itulah, hal ini sangat menggembirakan apabila melihat kepada kepercayaan dan kepuasan ibu bapa kanak-kanak IAC.

PELBAGAI JENIS TERAPI

Saya pasti kerja-kerja seperti itu akan terus diperlukan. IAC Nilai kini bersama-sama IAC Rawang dalam menyediakan penjagaan, pendidikan dan terapi untuk kanak-kanak autisme daripada isi rumah berpendapatan rendah yang berusia sehingga sembilan tahun.

Pusat penjagaan tersebut beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Yuran bulanannya yang bersubsidi bermula dari RM200 sebulan mengandungi rancangan pendidikan individu, program menyeluruh, terapi kerja, terapi main, terapi percakapan, hidroterapi, terapi kuda, rancangan intervensi tingkah laku dan pelbagai aktiviti luar.

Terdapat juga latihan berkala percuma untuk ibu bapa dan masyarakat awam supaya dapat memberikan sokongan serta kesedaran.

Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sahaja pembelajaran dilaraskan untuk dilaksanakan secara dalam talian, malah perkhidmatan kesihatan mental juga ditawarkan kepada ibu bapa dalam bentuk kaunseling individu dan dalam kumpulan.

Rangkaian perkhidmatan penuh di IAC membolehkan sebahagian ibu bapa bekerja sepenuh masa buat kali pertama dan meringankan beban ekonomi keluarga mereka.

Saya tahu terdapat banyak lagi pihak yang bekerja dalam bidang ini yang sedang melakukannya dengan sangat cemerlang tetapi saya tidak dapat menyembunyikan rasa bangga terhadap pasukan yang bekerja di badan amal IDEAS. Saya mempersilakan anda semua untuk mengetahui dengan lebih lanjut di ideasautismcentre.com.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden dan Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca