SASARAN Satu Keluarga Satu Rumah elok untuk semua orang. Maksud saya, selain mereka yang katanya kategori B40 dan M40, sepatutnya ia tidak mengira keadaan kewangan seseorang.
Rumah sudah menjadi keperluan hidup rakyat. Mereka perlu tempat berlindung. Tiada rumah, maka tiadalah kehidupan sempurna dan sejahtera.
Harga rumah sekarang amat mahal, begitu juga rumah sewa. Ramai yang perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM500 untuk rumah sewa. Sebelum ini saya menyewa bilik di Kuala Lumpur pun sudah RM350 untuk sebuah bilik kecil berkongsi dua orang.
Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan bagi memudahkan pemilikan Satu Keluarga Satu Rumah dicapai amatlah penting.
Cuma untuk melaksanakannya tidaklah saya tahu baik atau tidak. Apabila ia melibatkan bank komersial yang mungkin hanya mementingkan keuntungan, di samping melihat latar belakang kewangan pemohon untuk kelulusan pembiayaan, maka mungkin saranan Perdana Menteri untuk Satu Keluarga Satu Rumah agak sukar dicapai.
Kawan saya bekerja sebagai pembantu jurutera. Gaji tahap pertengahan, antara kelayakan membeli rumah kos rendah atau rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Tangga gajinya untuk membeli rumah PR1MA tidak layak, manakala bagi rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melebihi kelayakan.
Ada juga mereka yang mempunyai masalah kewangan seperti disenarai hitam dan muflis. Pada pendapat saya, pemilikan dan keperluan rumah hendaklah lebih bersifat atas dasar kemanusiaan bagi menjalani kehidupan sempurna, bukannya berorientasikan keuntungan dengan meletakkan harga dan bunga yang tinggi.
Bak kata pepatah Melayu lama, dalam rumah membuat rumah. Sepatutnya tidak moleklah begitu. Janganlah cuba mengambil keuntungan atas ongkos orang lain. Semua rakyat perlu diberi sebuah rumah pertama terutama kepada mereka yang mempunyai masalah kewangan.
Jika memerlukan perubahan akta bagi individu yang muflis untuk membolehkan mereka memiliki rumah, eloklah diubah. Jangan menganggap rumah hanya harta semata-mata. Rumah sudah menjadi keperluan seperti perut yang boroi perlu diisi.
Namun, eloklah kerajaan sendiri menguruskan pembiayaan pemilikan rumah tersebut, bukannya diberi kepada bank. Saya tidak percaya bank akan memberi ihsan kepada pemohon yang mempunyai masalah kewangan.
Mereka hanya berminat dengan keuntungan, sebab itu bank boleh ubah perjanjian pembiayaan pemilikan rumah untuk keuntungan mereka. Eloklah kerajaan sendiri mengambil alih pembiayaan rumah bagi skim Satu Keluarga Satu Rumah. Boleh sahaja minta pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskannya.
Semasa saya kecil, arwah ayah membeli rumah dengan membayar kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Walaupun kadangkala ada masalah membayar bulanan tetapi rumah itu tidaklah diugut untuk ditarik atau lelong.
Akhirnya arwah ayah berjaya membayarnya. Ada tolak ansur daripada kerajaan demi membantu rakyat agar rumah itu tetap menjadi milik sendiri.
Jika diurus oleh bank komersial, mungkin kalau rakyat ada masalah membuat bayaran bulanan, maka bank akan mengeluarkan notis dan tunggakan mungkin bertambah, selain rumah berisiko dilelong.
Jika kerajaan tidak mahu mengambil alih skim pembayaran dan membiarkan bank menguruskannya, kerajaan hendaklah memberi syarat kepada bank dan tidak menyebelahi bank semata-mata.
Walaupun ada masa pembeli rumah tidak mampu membayar bulanan kepada bank, janganlah pihak bank melelong dan tidak juga menjadikan ia tunggakan dengan mengenakan cas itu dan ini.
Elok diberi masa dan peluang. Mudah-mudahan Perdana Menteri dapat memikirkan saranan ini. Bak kata pepatah, masih ada yang siang berpanas malam berembun. Dan lebih molek, kiranya rumah pertama untuk skim Satu Keluarga Satu Rumah diberi percuma sahaja.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca