TIMBALAN Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar telah mencadangkan jajaran politik Muafakat Rakyat Johor iaitu satu pakatan yang dianggotai parti-parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) bersama dengan... Klik di sini untuk terus membaca

TIMBALAN Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar telah mencadangkan jajaran politik Muafakat Rakyat Johor iaitu satu pakatan yang dianggotai parti-parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) bersama dengan parti-parti Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor.

Mengambil kira keadaan politik semasa, saranan semua parti pembangkang untuk bersatu di bawah panji Muafakat Rakyat Johor, adalah langkah yang bijak dan tepat pada masanya.

Hakikatnya ialah PN, PH mahu pun parti-parti yang lain perlu mengakui bahawa mereka berada dalam posisi yang lemah.

Ini jelas boleh dilihat daripada keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah dan Sarawak yang sama sekali tidak memihak kepada parti-parti pembangkang.

Dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, pertembungan sesama sendiri telah menyumbang kepada kekalahan teruk PN dan juga PH.

Justeru sekiranya parti-parti pembangkang tidak ambil iktibar dari Pilihan Raya Negeri Melaka dan masih tidak mahu bersatu hati tetapi bertekad untuk bertembung sesama sendiri dalam pertandingan pelbagai penjuru, tidak mustahil mereka akan mengulangi nasib yang sama sepertimana di Melaka mahu pun Sarawak.

Malahan tidak keterlaluan untuk menyatakan, mengulangi kesilapan di Melaka adalah langkah bunuh diri dan menjemput UMNO-BN menyapu bersih majoriti kerusi.

Realitinya ialah UMNO-BN berada dalam posisi yang cukup utuh dan kuat, untuk mengelak UMNO-BN sapu bersih di Johor, PN dan PH tiada pilihan melainkan untuk bersatu dalam satu jajaran. Hanya inilah cara yang ada untuk menghadapi juggernaut UMNO-BN.

Di dalam politik tidak ada musuh atau kawan abadi melainkan dinamika perubahan pakatan untuk kepentingan. Oleh yang demikian sepedih-pedih Langkah Sheraton dan semua yang telah menyusul, eloklah lupakan perseteruan dan buka lembaran baru bersatu dan bekerjasama untuk kepentingan bersama.

Pilihan hanya satu - bersatu atau berkecai.

* Norman Fernandez, ialah seorang peguam dan tulisan ini adalah pendapat peribadinya.

Klik di sini untuk terus membaca