SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak berumur lapan tahun pernah membawa bebanan beg sekolah seberat 9.3 kilogram walaupun beratnya baru mencecah 28 kilogram.
Bapa kepada pelajar tersebut, Mohd Aiman Adip, 36, berkata, anaknya sering mengadu sakit bahu kerana bebanan beg yang digalasnya setiap hari ke sekolah melebih 33 peratus daripada berat badannya.
"Anak saya sering mengadu penat dan sakit bahu setiap kali balik ke sekolah. Dia terpaksa bawa beg yang berat dan menggalasnya hingga ke tingkat tiga di sekolah.
"Saya pernah timbang beg sekolah anak dan terkejut apabila mendapati berat beg tersebut mencecah sehingga 9.3 kilogram,” katanya kepada Sinar Harian.
Penolong pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan di Johor itu berkata, disebabkan anaknya yang sering membawa beg berat, dia terpaksa menukar beg sekolah sebanyak dua kali setahun.
"Semasa Tahun Satu, saya beli beg beroda untuk memudahkan dia berjalan namun apabila naik Tahun Dua, anak saya dipindahkan ke kelas tingkat atas, jadi kami menukar kepada beg galas.
"Bagaimanapun, beg yang saya belikan terkoyak dua kali setahun kerana muatan yang banyak dan berat,” katanya.
Mohd Aiman menafikan dakwaan bahawa ibu bapa tidak mengawasi jadual anak mereka kerana biarpun jadual sudah disusun, beg sekolah anaknya tetap berat.
Selain itu, Mohd Aiman merasakan bahawa isu ini serius dan wajar diselesaikan segera oleh pihak bertanggungjawab.
"Antara usaha yang boleh kerajaan tingkatkan bagi meringankan beban pelajar adalah dengan kurangkan subjek di sekolah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca