SEBAGAIMANA Johor menjadi titik gempa kepada kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ia juga adalah kemuncak pencapaian kepembangkangan dalam sejarah politik dan demokrasi di Malaysia.
BN tewas sepenuhnya pada 9 Mei 2018 walaupun isyarat tentang hal itu telah berlaku sejak PRU10. Kelemahan dan kegagalan UMNO yang mengabaikan isyarat tersebut sejak PRU berkenaan akhirnya berjaya digembleng pembangkang dengan menjadikan Johor medan permulaan dan pengakhiran dominasi BN.
Tumbangnya BN juga memperlihatkan fenomena kepembangkangan berevolusi dengan baik dalam tempoh 20 tahun, bermula era reformasi 1998. Perkembangan itu boleh dianggap luar biasa dalam konteks rejim autoritarian BN yang dominan dengan ruang demokrasi ketat dan terhad.
Evolusi itu membawa kepada gerakan kepembangkangan yang lebih kemas dan tersusun. Daripada Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH), gerakan tersebut memperlihatkan bagaimana pembangkang menggerakkan naratif penawaran dan pada masa sama cuba membentuk satu pakatan yang benar-benar kuat dan mantap.
Ia berhasil selepas 20 tahun. Ironinya, pakatan pembangkang hanya berjaya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai mereka, individu sama mencetuskan gerakan menyatukan pembangkang untuk menjatuhkan BN.
Cuma malang, klimaks kejayaan pembangkang itu pramatang. Parti yang menyumbang kepada kejayaan itu jugalah yang menjatuhkannya. Akhirnya ia membawa kembali BN ke tampuk kuasa.
Langkah Sheraton memperlihatkan bagaimana pakatan pembangkang juga mahu menggunakan ‘jalan belakang’ untuk kembali memerintah, sedangkan yang sepatutnya dilakukan adalah menyusun, memperkemas dan memperkuatkan barisan pembangkang tatkala parti lawan yang membentuk kerajaan masih terkial-kial dan terkesan kerana Covid-19.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih memperlihatkan masalah tersebut. Ketika BN menunjukkan konsistensi di sebalik grand coalition yang semakin kecil berbanding sebelumnya, selain terpaksa berlawan dengan sekutunya sendiri dalam pakatan kerajaan, pembangkang sebaliknya terus gagal.
Terdapat dua kelemahan utama. Pertama, momentum PRU14 gagal dikekalkan pembangkang selepas menjadi kerajaan, selain banyak masa terbuang kerana mahu melihat peralihan kepimpinan berlaku selepas dua tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, berbanding fokus melakukan kerja sepatutnya.
Kedua, kesepakatan pembangkang terutama penyatuan UMNO-Pas yang gagal diimbangi terutama daripada tiga perspektif – pertama naratif Melayu-Islam terancam. Kedua, mungkir janji kerana manifesto bukan kitab suci dan ketiga, momentum pilihan raya kecil yang meretakkan kekuatan PH.
Dikhuatiri, apa yang kita saksikan terhadap pembangkang ketika ini adalah satu penginstitusian mentaliti tewas walaupun mereka sudah mengecapi pengalaman sebuah kemenangan.
Di sebalik cengkaman, manipulasi dan dominasi BN terhadap institusi serta politik negara, pembangkang berupaya untuk menewaskannya.
Namun, ketika semua itu tidak lagi dimiliki BN, pembangkang pula menjadi lemah dan bertindak sebaliknya.
Mungkin benar gesaan bekas Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong selepas PRN Melaka bahawa PH memerlukan satu ‘reset’ untuk menjadikan gabungan pembangkang satu ‘khemah besar’ menyatukan semua pihak yang menentang politik lama UMNO-BN dan Perikatan Nasional (PN).
Kerana ketika ini, pembangkang sudah kalah bertempur tetapi masih boleh mengelak kalah berperang.
Dengan pertambahan pengundi dalam ‘perang’ PRU15, yang diperlukan pembangkang adalah penyusunan semula kekuatan dan strategi yang kemas.
Kalau itu mahu dimulakan pada PRN Johor, ia harus bermula dengan pembentukan kesepakatan parti-parti pembangkang. Persoalannya, bolehkah ia berlaku dalam masa singkat dan mendesak.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca