SHAH ALAM - Satu inovasi yang sesuai diperlukan bagi memastikan anak-anak tidak berdepan kesan serius akibat menggalas beg sekolah berat.
Timbalan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Said Hussin berkata, antara inovasi sesuai yang boleh digunakan untuk membantu mengurangkan bebanan beg berat pelajar adalah penggunaan e-book di sekolah.
"E-book merupakan kaedah pembelajaran yang amat memudahkan pelajar. Ia dapat mengurangkan bebanan membawa buku yang banyak dan berat kepada pelajar sekolah.
"E-book boleh menyokong banyak bahan di internet jadi pelajar akan lebih cepat faham,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain pembelajaran yang kondusif, penggunaan e-book juga membantu pelajar mendapat informasi yang lebih cepat dan interaktif berbanding menggunakan buku.
"Secara keseluruhannya, penggunaan e-book yang dibekalkan kepada murid-murid amat berguna kerana dengan sambungan internet yang laju, terdapat banyak bahan boleh didapati dengan pantas.
"Jadi pautan yang kita beri kepada pelajar melalui e-book itu dapat memudahkan mereka dan pembelajaran juga akan menjadi lebih menyeronokkan,” katanya.
Tambahnya, selain mengurangkan bebanan berat pada beg pelajar, e-book juga dapat mengurangkan penggunaan kertas.
"Aplikasi e-book ini sangat mudah kerana semua berada di hujung jari jadi pelajar hanya memerlukan satu buku latihan untuk menguji kemahiran mereka dan menggunakan e-book sebagai pengganti buku teks dan buku rujukan lain.
"Namun, seeloknya e-book ini diberikan kepada semua pelajar secara menyeluruh supaya tidak ada yang ketinggalan dengan teknologi pembelajaran terkini,” katanya.
Mohd Said yang juga Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata, guru juga perlu mempunyai sokongan bahan untuk mengajar menggunakan e-book supaya ia selari dengan pembelajaran teknologi yang digunakan oleh pelajar.
"Pengajar juga perlu diberi bahan seperti Liquid Crystal Display (LCD) dan bilik tayang bagi menyokong pembelajaran menggunakan e-book selari dengan pelajar.
"Dengan itu, pembelajaran antara pelajar dan guru akan menjadi lebih lengkap,” katanya.
Selain e-book, Mohd Said juga amat menyokong usaha kerajaan memberi gajet kepada pelajar sekolah selari dengan inovasi kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Klik di sini untuk terus membaca