INSIDEN bertempur dengan pengganas komunis dan melihat rakan seperjuangan gugur di tangan pengganas dalam operasi khas di Sarawak masih segar dalam ingatan Sarjan Zanol Aabidin Ramli. Zanol Aabidin, 75, yang berkhidmat sebagai anggota polis... Klik di sini untuk terus membaca

INSIDEN bertempur dengan pengganas komunis dan melihat rakan seperjuangan gugur di tangan pengganas dalam operasi khas di Sarawak masih segar dalam ingatan Sarjan Zanol Aabidin Ramli.

Zanol Aabidin, 75, yang berkhidmat sebagai anggota polis hutan dari tahun 1971 hingga 1976 memaklumkan beliau bersama pasukannya telah beberapa kali terlibat dalam pertempuran selepas serangan hendap komunis.

"Pada ketika itu, pasukan saya terserempak dengan anggota komunis dan berlaku pertempuran yang mana mereka menembak mati seorang rakan sekerja.

"Kejadian itu memberi kesan kepada saya kerana melihat rakan terkorban di depan mata,” katanya ketika ditemui di Pejabat Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang, baru-baru ini.

Zanol Aabidin

Zanol Aabidin yang mengimbau kembali insiden itu memaklumkan pasukannya ditugaskan untuk menjejaki komunis di kawasan hutan Sarawak untuk membanteras gerakan kumpulan pengganas itu.

"Ketika sampai di satu kawasan, pasukan kami terserempak dengan musuh dan berbalas tembakan. Saya terpaksa berlindung di sebalik pokok,” katanya.

Pada ketika itu, pasukannya dihujani peluru musuh.

"Saya hanya tawakal kepada ALLAH SWT, selain mencari jalan untuk bangkit menyerang balas.

"Semangat kami untuk berjuang datang apabila nampak salah seorang rakan sepasukan ditembak,” ujarnya.

Menurut beliau, perasaan takut tidak ada ketika bertempur dengan komunis.

"Masa kami bertempur hanya tersemat dalam fikiran, komunis adalah musuh negara dan perlu dihapuskan,” tegasnya.

Zanol Aabidin memberitahu, beliau bersama pasukannya berada di dalam hutan di Sarawak dalam tempoh setahun.

"Kami bergerak dari sebuah perkampungan ke perkampungan lain bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan itu terjamin,” katanya.

Zanol Aabidin menerima anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara.

OPS BAMBOO

Zanol Aabidin berkata, beliau bersama pasukannya juga pernah terlibat dalam Ops Bamboo.

"Syukur ketika itu tiada kalangan anggota pasukan yang terkorban,” katanya.

Ops Bamboo merupakan antara operasi keselamatan terpenting dan ‘paling lama’ yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan dalam menangani pengganas komunis pada 1959 sehingga 1989.

Jelas beliau, menjadi seorang petugas polis pada zaman itu sangat mencabar apatah lagi bagi dirinya yang baru sahaja berkhidmat.

"Bagaimanapun saya meletakkan seluruh jiwa dalam usaha untuk melindungi penduduk daripada ancaman komunis,” katanya.

Zanol Aabidin menambah, minat dalam pasukan beruniform itu juga mendorong beliau menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1969.

"Setelah menamatkan kursus asas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, saya ditugaskan dalam pasukan Batalion 10 Briged Tenggara,” katanya.

Beliau kemudian telah ditukarkan ke bahagian tugas am di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang, selepas lima tahun berkhidmat dalam pasukan polis hutan.

"Selepas itu, saya ditukarkan ke tugas am di Mahkamah Majistret Tapah Perak pada 1991,” katanya.

Zanol Aabidin berkata, beliau kini aktif dengan Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang selepas bersara pada 2002.

Zanol Aabidin bersama Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

"Saya dilantik menjadi Ketua Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang pada 2014,” katanya.

Menurut beliau, persatuan yang ditubuhkan pada 1986 itu bertujuan untuk menjaga kebajikan ahlinya.

"Jika terdapat sebarang kematian ahlinya, kita akan memberi bantuan sumbangan kepada warisnya,” katanya.

Beliau berpendapat, cabaran yang dihadapi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani keganasan dan bahaya pada hari ini adalah jauh berbeza berbanding dahulu.

"Dahulu anggota polis bertempur di dalam hutan, kini anggota polis ‘bertempur’ dengan sindiket jenayah di bandar.

"Anggota polis perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman,” katanya.

Zanol Aabidin (tengah) selepas bersara aktif dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang.

PERKUKUH INTEGRITI

Zanol Aabidin berkata, setiap pegawai, anggota polis tidak mengira jabatan mahupun pangkat perlu sentiasa berdisiplin, berintegriti dan bersatu hati dalam memenuhi matlamat serta hala tuju sang saka biru.

"Nilai integriti yang dipegang sebagai anggota polis perlu menjadi benteng yang kuat untuk tidak terlibat dalam sebarang salah laku rasuah.

"Sebelum tersilap langkah lebih baik anggota polis jauhkan diri daripada rasuah, fikirlah nama baik diri, keluarga dan pasukan,” katanya.

Zanol Aabidin turut berharap generasi kini dapat menghayati perjuangan pasukan keselamatan terdahulu di atas nikmat kesenangan yang dirasai pada hari ini.

"Hargailah kemerdekaan yang kita capai atas perjuangan orang terdahulu,” tegas beliau.

Zanol Aabidin meluangkan masa untuk bertemu dengan rakan-rakan Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang.

Menurut Zanol Aabidin lagi, beliau menerima anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara atas segala perjuangan dan sumbangannya dalam perkhidmatan PDRM.

Beliau turut melahirkan kekesalan mengenai sikap sesetengah individu yang suka mengeluarkan kenyataan memperlekeh pasukan keselamatan.

"Janganlah sesuka hati membuat kenyataan sehingga mengguris perasaan kami yang sanggup berkorban untuk memastikan rakyat hidup dalam aman damai,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca