SHAH ALAM - Biarpun terpalit dengan dakwaan gangguan seksual, namun Rasman Ithnain dijangka kekal menjadi calon 'favourite' mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Ini kerana kepimpinan Bersatu masih menganggap kes dakwaan berkenaan adalah satu fitnah jahat dan rancangan 'character assassination' sengaja direka pihak tertentu untuk membunuh kerjaya politik Rasman yang berhasrat mempertahankan kerusi DUN Sedili sekali lagi nanti.
Mereka berbuat demikian kerana bimbang wakil Bersatu berkenaan dapat mempertahankan sekali lagi kerusi DUN Sedili kerana beliau amat rapat dengan pengundi termasuk Ahli UMNO di kawasan terbabit.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, Bersatu menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan membuat keputusan mengenai dakwaan cabul membabitkan Rasman.
"Jika ada bukti kukuh kerana kes cabul mestilah tangkap dan pendakwaan. Namun, setakat ini kita dapati laporan dibuat wanita berkenaan sebenarnya tiada asas namun biarlah polis sendiri mengesahkan perkara itu.
"Kita bersedia apa sebarang kemungkinan. Malah Rasman sendiri ada membuat laporan balas bagi menafikan dakwaan itu selepas selesai proses rakaman percakapan ke atas laporan dibuat sebelum ini," katanya kepada Sinar Premium.
Justeru itu, Badrul Hisham memberi bayangan bahawa Rasman masih lagi kekal menjadi calon terbaik dan sangat berwibawa dan mampu membantu Bersatu mempertahankan kerusi Sedili nanti.
"Malah, Rasman sangat rapat dengan pengundi dan penduduk setempat dan jentera UMNO yang dianggapnya sebagai satu keluarga besar.
"Oleh itu, beliau kekal sebagai calon terbaik Bersatu ketika ini kerana kes dakwaan cabul ini adalah amat terpencil dan masyarakat setempat mengenali Rasman dengan lebih baik," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Rasman menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.
Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar sama sekali dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasi beliau.
"Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan tersebut dan menyatakan ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan merupakan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.
Mengulas lanjut, Rasman bersedia untuk memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Beliau juga telah berbincang dengan barisan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imejnya dengan cara seperti ini.
Klik di sini untuk terus membaca