SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kerajaan segera mewujudkan Akta Pembiayaan Dana Politik bagi mengelak berlakunya salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan calon serta wakil rakyat pada masa depan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penggubalan akta berkenaan sememangnya menjadi salah satu agenda utama yang mahu dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH) semasa menerajui Putrajaya selama 22 bulan, namun tidak dapat dilaksanakan kerana dijatuhkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Justeru itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, Amanah menentang tindakan golongan konglomerat atau taikun cuba menaja parti politik dan calon tertentu sama ada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) mahu pun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Kita bimbang jika ada mana-mana parti politik dibiayai oleh syarikat korporat atau taikun tertentu maka tidak mustahil akan berlaku rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan terutama apabila calon berkenaan meraih kemenangan menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan dalam kerajaan negeri mahu di peringkat Kerajaan Persekutuan.
"Malah, tidak mustahil syarikat atau taikun berkenaan akan mengugut dan memberikan tekanan serta mensabotaj parti politik dan kerajaan negeri mahu pun Kerajaan Persekutuan jika mereka gagal memperoleh projek yang dijanji sebagai balasan kerana membiayai wakil rakyat berkenaan," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad..
Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian pada Jumaat mendedahkan kewujudan golongan konglomerat yang menaja parti politik tertentu dalam pilihan raya bakal melemahkan agenda reformasi untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, disebabkan ketegasan untuk tidak berkompromi dengan golongan tersebut, menjadi satu daripada punca beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri.
"Jadi jangan meremehkan kemungkinan dalam politik, dalam pilihan raya ada yang ditaja hanya untuk melemahkan agenda reformis.
"Saya akui tidak mudah. Ya saya belum berhasil penuh. Tapi kalau saya kompromi, saya sudah berhasil. Jangan lupa, kalau saya kompromi, saya sudah jadi Perdana Menteri," katanya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendirian untuk menentang penyelewengan dan rasuah menyebabkan dirinya tidak popular dan tiada pihak mahu membantu PKR.
"Saya tentu tidak popular, jadi tokoh-tokoh yang besar susah nak bantu PKR selagi Anwar jadi ketua. Terus terang saya boleh berkawan dengan semua, tetapi untuk kompromi soal ini (rasuah), akan menjahanamkan negara kita," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca