SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tidak salah parti politik menerima dana atau sumbangan daripada syarikat korporat atau taikun tertentu asalkan ia daripada sumber yang sah dan tidak menyalahi... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tidak salah parti politik menerima dana atau sumbangan daripada syarikat korporat atau taikun tertentu asalkan ia daripada sumber yang sah dan tidak menyalahi undang-undang.

Malah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan tidak terkejut dengan pendedahan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada syarikat konglomerat yang mahu menaja parti politik tertentu, bukan daripada Bersatu, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

"Bagi saya tidak salah jika ada syarikat korporat atau tokoh perniagaan tertentu mahu menaja atau memberikan sumbangan kepada mana-mana parti atau pemimpin politik, namun ia mestilah dibuat mengikut undang-undang dan secara sah.

"Malah, perbuatan itu bukan suatu perkara baharu dan sudah menjadi amalan sesetengah parti untuk meminta sumbangan dana daripada orang awam dan syarikat tertentu untuk menjalankan kegiatan parti masing-masing kerana dana sedia ada tidak mencukupi," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian pada Jumaat mendedahkan kewujudan golongan konglomerat yang menaja parti politik tertentu dalam pilihan raya bakal melemahkan agenda reformasi untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, disebabkan ketegasan untuk tidak berkompromi dengan golongan tersebut, menjadi satu daripada punca beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri.

"Jadi jangan meremehkan kemungkinan dalam politik, dalam pilihan raya ada yang ditaja hanya untuk melemahkan agenda reformis.

"Saya akui tidak mudah. Ya, saya belum berhasil penuh. Tapi kalau saya kompromi, saya sudah berhasil. Jangan lupa, kalau saya kompromi, saya sudah jadi Perdana Menteri," katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendirian untuk menentang penyelewengan dan rasuah menyebabkan dirinya tidak popular dan tiada pihak mahu membantu PKR.

"Saya tentu tidak popular, jadi tokoh-tokoh yang besar susah nak bantu PKR selagi Anwar jadi ketua. Terus terang saya boleh berkawan dengan semua, tetapi untuk kompromi soal ini (rasuah), akan menjahanamkan negara kita," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca