KIEV - Situasi di sempadan Ukraine kini semakin tegang.
Hal itu disebabkan terdapat maklumat perisikan bahawa Rusia akan menceroboh Ukraine pada minggu ini.
Ia berdasarkan kepada maklumat yang didedahkan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) tetapi tidak mahu namanya didedahkan, bahawa Rusia kemungkinan akan menjadikan Rabu sebagai tarikh sasaran serangan.
Namun, Rumah Putih di Washington secara terbuka menegaskan bahawa AS tidak mengetahui sama ada Presiden Rusia, Vladimir Putin benar-benar mahu meneruskan kempen pencerobohan tersebut.
Rumah Putih sebaliknya memberi amaran pada Jumaat bahawa serangan besar Rusia ke atas Ukraine boleh bermula dalam beberapa tempoh hari dan meminta semua rakyatnya untuk keluar dari negara berkenaan dalam tempoh 48 jam kerana bimbang peperangan akan berlaku.
United Kingdom (UK) juga memberi saranan sama kepada ribuan warga mereka untuk meninggalkan Ukraine serta-merta kerana bimbang akan berlaku pencerobohan oleh tentera Rusia.
Beberapa buah negara lain turut meminta supaya rakyatnya meninggalkan Ukraine.
Amaran itu dikeluarkan kerana bimbang Putin akan mengerahkan lebih 100,000 anggota tenteranya yang kini berkumpul berhampiran sempadan Ukraine akan menyerang negara berkenaan. Tentera Rusia kini berada di kedudukan sempadan Ukraine di selatan, timur dan utara.
Sehingga kini, Rusia menafikan akan melakukan sebarang rancangan untuk menyerang Ukraine setelah ia menguasai wilayah Crimea yang dirampas pada 2014 dan menyokong kumpulan pemisah yang menguasai wilayah Donbas di wilayah timur Kiev.
Washington turut menyatakan bahawa ia menghantar seramai 3,000 lagi tentera ke Poland bagi meyakinkan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak tentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Bagaimanapun, Presiden AS, Joe Biden berkata, tentera Amerika tidak akan memasuki Ukraine untuk menentang sebarang pencerobohan Rusia tetapi negara berkenaan hanya mahu memperkukuhkan kehadiran tenteranya di Eropah sebagai jaminan kepada sekutu di sayap timur NATO.
Sejak 2014, Rusia dan Ukraine telah terperangkap dalam konflik selepas bekas Presiden Ukraine yang mesra dengan Moscow, Viktor Yanukovych melarikan diri ke Rusia susulan pemberontakan ganas ekoran kepimpinannya yang menyebabkan beliau tersingkir daripada jawatannya.
Moscow kemudiannya bertindak balas dengan menduduki Crimea dan kemudian menyokong pemberontakan golongan pemisah di timur Ukraine yang telah meragut lebih 14,000 orang.
Perjanjian damai pada 2015 yang dikendalikan oleh Perancis dan Jerman membantu menghentikan pertempuran berskala besar tetapi konflik tetap berterusan dan usaha untuk mencapai penyelesaian politik masih tergendala hingga kini.Tarikh peperangan yang semakin hampir itu juga didorong oleh satu rakaman video menunjukkan meriam atom sedang digerakkan ke arah Ukraine, sekali gus mencetuskan kebimbangan Rusia mungkin menghantar peralatan tentera bersenjata nuklear.
Video tersebut menunjukkan meriam atom ditempatkan di Vesela Lopan, Bolgorod di Rusia Barat yang berada lebih 14 kilometer dari sempadan Ukraine, lapor akhbar The Sun.
Ia adalah meriam artileri yang paling kuat pernah dibina dan boleh membawa sehingga empat peluru nuklear 203 mm yang berpotensi memusnahkan kawasan besar.
Tentera Rusia juga mengadakan latihan bersama dengan angkatan tentera Belarus yang terletak bersempadan Ukraine baru-baru ini.
Dalam sidang akhbar pada awal minggu ini, Putin memberi amaran risiko perang nuklear akan meningkat sekiranya Ukraine menyertai NATO.
Rusia telah menuntut supaya NATO menolak sepenuhnya Ukraine daripada menyertai perikatan tersebut.
Corak serangan yang akan dilakukan oleh Rusia juga diramalkan akan bermula dengan pengeboman dari udara dan serangan misil yang mengakibatkan ratusan orang awam terbunuh.
Ia didedahkan oleh Penasihat Keselamatan Rumah Putih, Jake Sullivan kepada pemberita pada Jumaat.
Bagi menghadapi ancaman serangan Rusia itu, tentera Ukraine telah melakukan latihan ketenteraan tetapi tiada maklumat terperinci didedahkan kepada awam berhubung latihan tersebut.
Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace juga memberi amaran kepada Rusia bahawa pencerobohan ke atas Ukraine akan membawa ‘akibat tragis’ jika ia benar-benar berlaku.
Adakah peperangan di Ukraine akan berlaku?
Seperti kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, histeria di Rumah Putih adalah lebih jelas.
Beliau mendakwa provokasi, maklumat salah dan ancaman adalah kaedah pilihan Washington untuk menyelesaikan masalahnya sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca