PARTI Bangsa Malaysia (PBM) bukan lagi parti yang memberi tumpuan terhadap isu bagi negeri-negeri tertentu, sebaliknya berperanan dalam menyantuni seluruh rakyat di negara ini. Konsep tersebut sekali gus menjadi strategi penting bagi... Klik di sini untuk terus membaca

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) bukan lagi parti yang memberi tumpuan terhadap isu bagi negeri-negeri tertentu, sebaliknya berperanan dalam menyantuni seluruh rakyat di negara ini.

Konsep tersebut sekali gus menjadi strategi penting bagi memastikan PBM mampu memenangi sokongan rakyat menerusi agenda pemerkasaan ekonomi yang dibawa.

Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha menegaskan, pihaknya sedia meletakkan isu pemulihan ekonomi negara sebagai agenda utama dan memanfaatkan setiap peluang yang ada demi kesejahteraan rakyat Malaysia ketika era pandemik Covid-19.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, NURHIDAYAH HAIROM dan RAJA NUR FAZNIE AIDA serta jurukamera, MOHD HALIM ABDUL WAHID bersama Haniza di Kompleks Karangkraf baru-baru ini bagi mengetahui lebih lanjut hala tuju PBM.

SINAR AHAD: PBM sebelum ini dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan hanya membawa agenda Sarawak. Dengan penukaran nama, masyarakat masih melihat PBM adalah parti Sarawak. Bagaimana usaha PBM dalam mempromosi dan meyakinkan parti ini di Semenanjung?

HANIZA: Sebenarnya pertukaran nama telah berlaku pada awal bulan Januari tahun ini. Kemudian kita telah melantik jawatankuasa pimpinan baharu daripada SWP kepada PBM. Barisan pimpinan terdiri daripada dua gabungan. Ada juga yang bekas SWP. Walaupun ia adalah sebuah parti berasal dari Sarawak, tetapi kini ia sudah menjadi parti di peringkat nasional.

Kita telah turun ke lapangan bertemu rakyat. Semasa bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, ramai sukarelawan daripada PBM turun membantu.

Jadi, kita telah memperkenalkan parti baharu, PBM kepada mereka dan penerimaan masyarakat ketika itu sangat menggalakkan kerana mereka berasakan tidak ada parti politik yang turun begitu ramai. Kita turun ke Hulu Langat, Sri Muda dan beberapa lokasi di Pahang, Negeri Sembilan serta Melaka.

Masyarakat telah merasai kehadiran kita dengan warna ungu yang digunakan kerana warna ini adalah warna rasmi PBM.

Jadi, saya tidak nampak ada masalah dari segi penerimaan kerana rakyat Malaysia sudah matang dari segi politik.

Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mereka sangat terbuka menerima perkara baharu, lebih-lebih lagi dalam keadaan politik semasa yang begitu dinamik sehingga kehadiran parti-parti baharu yang lain turut dialu-alukan. Kita akan meneruskan usaha menyantuni masyarakat dengan signature warna PBM iaitu ungu.

SWP sebelum ini dilihat agak sukar menarik pengundi Sarawak. Adakah YB yakin PBM akan diterima di Semenanjung?

Saya kurang pasti persepsi yang mengatakan SWP tidak diterima oleh masyarakat Sarawak kerana parti ini sendiri sudah mempunyai 40,000 ahli, bahkan ada penambahan seramai 50,000 ahli sewaktu pelancaran PBM. Saya nampak dari situ indikator atau isyarat menunjukkan PBM merupakan sebuah parti yang boleh diterima di mana-mana negeri seluruh negara kerana pendaftaran ahli kami dibuka di seluruh negara.

Kita dapat kemas kini ahli setiap minggu. Setiap hari kita akan dapat laporan daripada pengerusi-pengerusi negeri tentang kemasukan ahli baharu.

Apakah benar dakwaan mengatakan PBM punca ‘keretakan’ berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)? Ada ahli Bersatu dikatakan menyertai PBM namun masih dilihat ‘bermain dua atau lebih kolam’?

Saya bukan orang yang selayaknya untuk menilai kekuatan parti Bersatu. Jadi, saya tak pasti sama ada ahli Bersatu ini telah bersama-sama dengan kita. Setakat yang saya tahu, kebanyakan ahli yang bersama dengan PBM adalah anggota sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Penggerak Komuniti Negara yang telah memberi kata persetujuan untuk bersama PBM, bukan daripada parti politik.

Tetapi untuk parti politik, keahlian seseorang itu dinilai daripada parti politik yang terakhir dia menjadi ahli. Dia tidak boleh berada dalam dua parti politik. Jika dia telah menyertai satu parti politik, maka parti politik yang sebelumnya telah terbatal keahliannya secara automatik. Tidak ada isu dua kolam atau banyak kolam.

Bagaimana dengan spekulasi menyatakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin akan menyertai PBM?

Begitu juga dakwaan lebih ramai ahli Bersatu menyertai PBM?Nama pun spekulasi, jadi lebih baik pihak media bertanya terus kepada Zuraida. Bagi PBM, dalam senarai ahli tidak ada nama atau permohonan daripada beliau.

PBM bergerak atas individu yang berminat untuk bersama-sama dengan PBM. Kita tak kira sama ada yang telah mempunyai parti atau memang tidak menganggotai mana-mana parti politik sebelum ini. Keahlian kita terbuka kepada semua pihak. Namun, setakat ini kita tidak ada apa-apa permohonan daripada beliau (Zuraida).

Apakah strategi PBM untuk memenangi hati rakyat sebagai parti baharu di Malaysia?

Seperti yang saya sebutkan, PBM adalah parti di peringkat nasional. Maknanya, parti ini menyantuni seluruh rakyat di Malaysia. Tidak ada satu-satu negeri yang menjadi fokus. Keahliannya adalah seluruh negara. Isu yang menjadi keutamaan rakyat itulah perkara yang akan kita bawa.

Justeru, PBM fokus kepada ekonomi negara. Bagaimana cara kita boleh tingkatkan dan pulihkan ekonomi setelah melalui tempoh pandemik dan ketika ini masih lagi melalui fasa sama.

Baru-baru ini juga, beberapa negeri teruk dilanda bencana banjir sehingga menjejaskan ekonomi negara. Jadi PBM bantu melihat peluang-peluang yang ada bagi memulihkan kembali ekonomi.

Selain itu, kita juga melihat dari segi jangka masa panjang. Penggunaan teknologi yang kita lihat seperti artificiant intelligent dan metaverse sedang hangat diperkatakan terutama di negara-negara maju.

Kalau kita masih teragak-agak untuk terlibat sama ataupun menggarap sepenuhnya dalam urusan harian kita, saya rasa kita akan ketinggalan sebab saya nampak negara-negara di rantau juga sedang bersaing.

Kira-kira 20 tahun sebelum ini mereka hanyalah negara-negara yang ketiga tetapi sekarang mereka adalah negara yang membangun dan hampir merebut peluang dari Malaysia.

Jadi kita perlu bangkit dengan segera untuk catch up dari segi ekonomi dan juga pembangunan.

Bagaimana pula dengan agenda yang dibawa PBM dalam perjuangan politik? Adakah sama dengan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang disokong PBM ketika ini?

PBM adalah sebuah parti yang menyokong kerajaan hari ini tetapi PBM mempunyai agendanya yang tersendiri dengan fokus kepada enam tonggak utama, antaranya dari segi kepelbagaian kaum. Kita melihat seluruh rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama tanpa mengira kaum.

Selain itu, kita juga ingin melihat penglibatan lebih tinggi oleh golongan wanita kerana penggunaan tenaga wanita di negara ini masih lagi rendah berbanding golongan lelaki.

Kalau lelaki, pencapaiannya adalah 70 peratus, manakala wanita mungkin hanya 30 peratus. Jadi, graduan-graduan wanita yang telah habis belajar perlu diserap dalam penggunaan sumber tenaga manusia.

Ini kerana ada kajian yang menunjukkan bahawa penglibatan wanita jika disamakan dengan lelaki, ia akan memberikan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 26 peratus. Justeru, saya melihat usaha perlu ditingkatkan untuk menyerap lebih ramai wanita dalam sektor pekerjaan.

Selain itu, kita turut menekankan penglibatan orang muda kerana mereka adalah masa depan negara. Sudah tiba masanya mereka ini diberi platform ataupun wadah untuk digilap terutama dari segi ekonomi, politik, pendidikan dan teknologi.

Kita perlu beri ruang yang lebih kepada anak muda kerana mereka ada bakat yang tersendiri.

Saya sangat teruja melihat Taiwan kerana kerajaan di sana memberi peluang yang begitu luas kepada orang muda. Malah, jawatan tinggi dalam jabatan-jabatan kebanyakannya diisi oleh rang muda.

Saya lihat itu adalah tindakan yang berani kerana mengambil langkah yang sangat pragmatik. Mereka ternyata sangat bermanfaat kerana membawa idea-idea baharu dan segar, malah berani serta tidak terikat dengan stereotaip.

Inilah yang saya nampak dan akan kita bawa dalam PBM iaitu dengan mengetengahkan golongan anak muda.

PBM baru sahaja dua bulan didaftarkan tetapi dijangka bertanding buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Adakah keputusan ini tidak dilihat tergesa-gesa?

Kita masih berbincang kerana kita juga mengukur baju di badan sendiri. Kita tidak mendabik dada mengatakan parti PBM sudah kuat kerana lumrah, sebuah parti yang baharu sudah tentu ada cabaran untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.

Tambahan pula, kaedah berkempen yang dibenarkan juga terbatas disebabkan pandemik Covid-19 yang masih lagi ada di sekeliling kita. Ada kekangan tertentu kita hadapi untuk bertemu dengan pengundi.

Namun, kita juga realistik dan menjalankan kajian bagi mengetahui persepsi dan pandangan pengundi terhadap sebuah parti yang baharu.

Kita juga ada pemimpin yang sudah berkhidmat kepada pengundi di Johor. Jadi, saya lihat ada kelebihan di situ.

Haniza - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Kita nampak daripada pengalaman pada PRN Melaka, kebanyakan parti gabungan besar, mereka mungkin menang kerusi disebabkan telah berkhidmat kepada masyarakat.

Masyarakat telah mengenali mereka. Ia adalah bonus dengan meletakkan calon yang telah berkhidmat kepada rakyat.

Adakah PBM akan bertanding secara bersendirian atau akan menyertai mana-mana parti gabungan?

Saya nampak ada beberapa pilihan. Kita perlu melihat kesediaan parti-parti politik yang ada sama ada mereka ingin bekerjasama sebelum PRN atau bekerjasama selepas PRN.

Selalunya yang berlaku adalah kerjasama selepas PRN untuk membentuk kerajaan negeri.

Saya nampak PBM akan menilai kekuatan kita dan melihat apakah kelebihan sekiranya bergabung atau bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada. Kita masih membuka pilihan, tidak menetapkan lagi pilihan.

Apakah harapan YB menjelang PRN Johor dan sasaran kerusi yang diyakini akan menang untuk PBM pada PRN kali ini?

Buat masa sekarang, saya tidak boleh kemukakan nama-nama kawasan yang menjadi tumpuan kami kerana saya tidak mahu ia menjejaskan mana-mana pihak. Ia adalah antara strategi PBM.

Kita akan maklumkan pada masa yang lebih sesuai. Bagaimanapun, apa yang saya boleh katakan di sini adalah kita hanya sasarkan kawasan-kawasan yang memang kita nampak ada potensi untuk kita menang.

Bagaimana kriteria calon ditetapkan PBM untuk bertanding pada PRN Johor?

Sudah tentu calon wanita dan juga orang muda yang ada kemampuan serta keupayaan mewakili rakyat di kawasan yang kita akan kenal pasti.

Perkara yang penting juga adalah yang boleh memberi khidmat. Maknanya calon berkenaan telah menunjukkan kemampuan untuk memberi khidmat kepada rakyat. Bukan sekadar calon pandai bercakap tapi pandai buat kerja. Itu perkara utama.

ANEKDOK

Melancong hobi utama Haniza

Ditanya mengenai hobi, saya sememangnya gemar mengembara. Sebelum itu saya suka melakukan aktiviti berkhemah. Namun sekarang, lebih memilih untuk pergi melancong sama ada di dalam ataupun luar negara, melihat keindahan alam dan tempat-tempat menarik.

Saya mula aktif dengan hobi ini sejak remaja lagi. Saya juga suka melancong ke lokasi yang banyak aktiviti boleh dilakukan. Kebanyakan orang suka pergi ke lokasi syurga membeli-belah tetapi saya lebih memilih menelusuri kampung kerana boleh melakukan aktiviti meneroka gua, water rafting, paragliding dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, saya rasa puas menghabiskan duit mencuba pengalaman baharu di tempat orang, sekali gus belajar budaya dan merasai makanan mereka. Selain itu, saya juga suka menghabiskan masa lapang bersama keluarga dengan melakukan aktiviti berkelah dan bersiar-siar.

Mahu jadikan Malaysia lebih baik

Masa depan generasi muda bergantung kepada tindakan dan usaha pembuat dasar pada hari ini. Inilah yang mendorong saya berkecimpung dalam dunia politik. Keputusan penting dan dasar-dasar negara dibuat oleh menteri serta ahli-ahli Parlimen. Ada dasar-dasar penting yang terbukti telah mengubah kehidupan rakyat. Saya nampak perubahan boleh berlaku apabila seseorang berada di peringkat membuat dasar iaitu di Parlimen. Dengan itu, saya perlu berada di Parlimen sekiranya mahu kehidupan Malaysia menjadi lebih baik pada masa akan datang khususnya kepada generasi muda.

Kelemahan dan kerosakan perlu diatasi serta diperbetulkan bagi menjamin masa depan yang lestari dan sejahtera. Berhubung dengan cabaran dihadapi untuk mendekati rakyat terutama dalam suasana pandemik adalah tidak dapat berjumpa secara fizikal, hanya berhubung melalui media sosial, malah terpaksa datang rumah ke rumah bagi menyampaikan bantuan kebajikan.

Klik di sini untuk terus membaca