DALAM politik demokrasi, bukan sahaja keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang boleh menjadi katalis perubahan polisi negara, malah perubahan pucuk pimpinan, portfolio anggota kabinet dan kekuatan pelobi juga kerap menjadi ejen perubahan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM politik demokrasi, bukan sahaja keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang boleh menjadi katalis perubahan polisi negara, malah perubahan pucuk pimpinan, portfolio anggota kabinet dan kekuatan pelobi juga kerap menjadi ejen perubahan polisi.

Berdasarkan perubahan politik sejak beberapa bulan lalu, terdapat desakan dan lobi bagi mengurangkan peranan syarikat bertujuan khusus (special purpose vehicle – SPV) yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF inc), Digital Nasional Berhad (DNB).

DNB ditubuhkan dan diberi tanggungjawab menyediakan infra spektrum internet rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) di Malaysia. DNB akan menyediakan laluan 5G kepada semua syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia melalui model Single Wholesale Network (SWN).

Melalui SWN, DNB akan menyediakan prasarana 5G untuk semua telco dengan caj sama yang ditentukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). SKMM juga akan menjadi badan pengawal selia kualiti perkhidmatan.

Bagaimanapun, kini terdapat lobi dan pandangan bahawa DNB tidak harus diberi monopoli, dan telco perlu diberi peluang membangunkan infra 5G secara eksklusif serta bersendirian.

Bagi kumpulan politik, mereka melihat DNB adalah tinggalan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang perlu dirombak. Bagi kumpulan ahli perniagaan dan telco sendiri, pemecahan monopoli itu akan membolehkan mereka menawarkan harga 5G berbeza dengan pesaing.

Namun, sebelum kerajaan membuat apa-apa perubahan terhadap model DNB, ia perlu diberi peluang membuktikan potensi terlebih dahulu kerana sistem yang dilobi pelbagai pihak hari ini telah gagal dalam pelaksanaan 3G dan 4G.

Telco tidak berminat meningkatkan infra internet mereka di kawasan luar bandar dan kawasan kurang penduduk. 4G mula diperkenalkan di Malaysia pada 2013 tetapi setelah hampir 10 tahun, telco gagal meningkatkan liputan 4G ke seluruh negara.

Bukan sahaja perluasan kawasan capaian begitu perlahan, malah kelajuan 4G yang disediakan antara yang terendah di rantau ini. Akibatnya, kerajaan terpaksa tampil memperkenalkan program Jalinan Digital Negara (Jendela) dengan menyediakan peruntukan berbilion ringgit bagi menaik taraf infra 4G sedia ada.

Justeru, kerana masalah-masalah itulah DNB ditubuhkan. Ia bertujuan mempercepatkan keluasan kawasan capaian, merendahkan kos pembinaan infra dan perbelanjaan modal (capital expenditure), sekali gus merendahkan caj penggunaan 5G kepada pengguna.

Walaupun terdapat pelbagai desakan dan lobi, kerajaan perlu mengekalkan kaedah itu atas beberapa faktor penting.

Pertama, pembangunan infra 5G harus mengutamakan kepentingan rakyat. Jika kerajaan mahu menjayakan Dasar Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0), maka kita tidak boleh membenarkan telco mengulangi kegagalan mereka dalam spektrum 4G.

Mereka gagal beri perkhidmatan memuaskan dari segi kawasan liputan dan kelajuan capaian. Sebaliknya, DNB menyasarkan capaian 5G akan meliputi 80 peratus kawasan seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. Ia sesuatu mustahil dapat dilakukan oleh telco bersendirian.

Kedua, DNB telah mendapatkan pembiayaan kewangan dan menandatangani perjanjian pembekalan peralatan dengan syarikat pembekal peralatan 5G terkemuka dunia, Ericsson.

Sebarang perubahan kerana desakan pelobi berkepentingan akan menyebabkan syarikat-syarikat kerajaan pada masa hadapan berdepan kebolehpercayaan di peringkat antarabangsa.

Ketiga, membenarkan telco membina secara eksklusif akan meningkat kos penyediaan internet 5G. Semuanya akan ditanggung pengguna, sekali gus mengurangkan penggunaannya dan memberi kesan kepada dasar IR 4.0 negara.

Telco terus berhutang besar bagi menyediakan prasarana tersebut dan dalam keadaan kebanyakan telco telah mempunyai komitmen pembiayaan tinggi dengan bank tempatan, beban masa depan mungkin akan turut menjejaskan sektor perbankan negara.

Jika kerajaan benar-benar mahu melihat semua rakyat berpeluang menyertai IR 4.0 dalam masa terdekat, maka DNB harus dibenarkan beroperasi tanpa gangguan politik.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca