MINGGU lalu, kita telah bincang bagaimana tiga buah bank berkaitan kerajaan telah memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong Limited yang mengisytiharkan dirinya bankrap. Kini timbul pula cerita kerajaan memberi jaminan... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, kita telah bincang bagaimana tiga buah bank berkaitan kerajaan telah memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong Limited yang mengisytiharkan dirinya bankrap.

Kini timbul pula cerita kerajaan memberi jaminan sehingga 80 peratus ke atas pinjaman AirAsia berjumlah sehingga RM500 juta.

Ia bukanlah perkembangan baharu, cuma baru menjadi cerita. Pada 5 Oktober tahun lalu, media massa melaporkan Danajamin Nasional Bhd (Danajamin) melalui anak syarikatnya, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah memberi kemudahan itu kepada AirAsia di bawah Skim Jaminan Prihatin.

Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dilaporkan berkata, ketika itu langkah Danajamin adalah sokongan kuat terhadap kemampuan syarikatnya untuk pulih dengan lebih cepat. Danajamin ialah anak syarikat Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB). BPMB pula dimiliki oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

Dalam bahasa mudah, AirAsia berhutang dengan dijamin oleh Danajamin. Takdirnya, AirAsia tidak mampu membayar balik hutang tersebut, Danajamin kena bayar sehingga 80 peratus daripadanya.

Kita tidaklah mahu berdendam dengan AirAsia atau penaja-penajanya. Kita akui sumbangan mereka kepada penjanaan pekerjaan, pelancongan dan teknologi berkaitan penerbangan di Malaysia tetapi kita tidak boleh ketepikan begitu sahaja apa yang kita nampak sebagai layanan luar biasa kerajaan terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu.

Mungkin kita masih ingat skim pertukaran saham AirAsia-MAS pada 2011 ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tidak sampai setahun, perjanjian tersebut terpaksa dibubarkan kerana mendapat tentangan daripada orang ramai.

Sebaliknya, apa yang berlaku dalam masa singkat itu, Kamarudin mengambil kesempatan membuat keuntungan kilat dengan melakukan insider trading ke atas saham MAS. Beliau didapati bersalah oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan pada 2019 dikompaun RM3.64 juta.

Jika di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Singapura, pesalah insider trading selalunya dipenjarakan dan diharamkan daripada berniaga di pasaran saham tetapi di Malaysia boleh terus pegang jawatan dalam syarikat.

Maaf cakaplah jika saya kata, pembabitan Danajamin, dan dengan itu juga BPMB dalam pemberian jaminan kepada AirAsia adalah menggusarkan kecuali wujud ketelusan dalam urusan mereka.

Sesiapa pun yang mengikuti perjalanan BPMB secara terperinci tentu tahu tentang layanan istimewa dan kerahsiaan luar biasa yang diberikan kepada sesetengah pelanggan.

Beberapa buah penerbitan ekonomi dan perdagangan telah melaporkan mengenai beberapa pelanggan istimewa BPMB termasuk Tan Sri Kenneth Eswaran dan Tan Sri Peter Sondakh.

Laporan Theedgemarkets mengatakan syarikat Eswaran yang dikaitkan dengan BPMB, iaitu Asian Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (ABN) telah muflis setelah meminjam RM450 juta. Wikipedia pula melaporkan syarikat itu tidak lagi beroperasi walaupun mendapat kemudahan pinjaman RM465 juta.

Sondakh, seorang warganegara Indonesia pula dilaporkan berhutang RM350 juta bagi mendirikan hotel super mewah St Regis di Langkawi. Kerahsiaan menyebabkan sukar untuk mengetahui kedudukan sebenar hutang-hutang tersebut.

AirAsia mengalami kerugian teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan sejak 2020 akibat kesan pandemik Covid-19.

Selain berhutang, syarikat yang memiliki AirAsia itu juga menukar namanya kepada Capital A Berhad dan mempelbagaikan bidang perniagaan di luar daripada pengangkutan udara.

Mulai awal tahun ini, ia diisytiharkan sebagai syarikat PN17 oleh Bursa Malaysia. PN17 ialah syarat tambahan dikenakan Bursa Malaysia ke atas syarikat-syarikat yang mengalami masalah kewangan.

Sehingga Jun lalu, AirAsia telah menderita kerugian selama lapan suku tahun atau dua tahun berturut-turut.

Kesimpulannya, bagi membantu syarikat-syarikat swasta yang terjejas oleh kegawatan ekonomi sekarang, kerajaan janganlah mengulangi perbuatan memberi hutang atas dasar pilih kasih seperti yang berlaku di BPMB.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca